AKIDAH JAHMIYAH

 Al Jahmiyah

Adalah penting untuk kita tahrir istilah Al Jahmiyah di sisi ulama Al Salaf rahimahumullah dan cabang-cabangnya. Ini kerana akidah Jahmiyah telah meresap ke dalam beberapa aliran yang muncul selepasnya dan bermusuhan dengannya dalam beberapa isu lain namun dalam masa yang sama menerima sejumlah prinsip dasar Al Jahmiyah. 

Al Imam Harb bin Isma'il Al Kirmani rahimahullah (w.280 H) menjelaskan bahawa akidah asasi Jahmiyah ialah: 

-menganggap Al Quran adalah makhluk 

-menyangka Allah ta'ala tidak berbicara dengan Musa 'alaihis salam

-juga bahawa Allah itu tidak sebenar-benarnya berbicara dan berkata-kata

-tidak dapat dilihat

-tidak diketahui bagiNya tempat

-tiada bagiNya Arasy

-tiada Kursi

Kemudian ada beberapa aliran yang dihukum sebagai Jahmiyah juga iaitu: 

1- Al Waqifah: mereka yang mengatakan Al Quran Kalam Allah sahaja tanpa menjazamkannya sebagai ‘bukan makhluk’

2- Al Lafziyah: yang mengatakan Al Quran bukan makhluk tetapi lafaznya adalah makhluk (yakni huruf al Quran yang dibaca dalam bahasa arab yang diturunkan kepada Nabi Muhammad Sallallahu alaihi wa sallam) 

Mereka ini semua dinamakan oleh al Salaf sebagaimana Jahmiyah. 

Bandingkan dengan kepercayaan yang terkandung dalam kitab-kitab muktabar Al Asya’irah hari ini: 

- Allah wujud tanpa tempat yakni menafikan keberadaan zatNya di atas Arasy

- Al Quran lafzi yakni yang dibaca dalam bahasa arab adalah makhluk

- Allah tidak benar-benar berbicara dengan suara yang didengari, hanya kalam nafsi yang tiada huruf dan tiada suara.

- sabit juga sebahagian Al Asya’irah mentakwilkan Arasy dan Kursi

Maka tidak diragui lagi Al Asya’irah Mutaakhirin akidah mereka lebih hampir kepada kepercayaan Jahmiyah. Syeikh Hasan al Syafi’i, salah seorang Ulama Al Azhar kontemporari juga mengakui bahawa Al Asya’irah di fasa kedua semenjak Ibn Furak sehinggalah ke zaman Al Razi lebih hampir dengan Muktazilah bahkan hampir bersedaging dengan Muktazilah. (Rujuk: Al Madkhal ila Dirasah Ilmil Kalam) sedangkan beliau sendiri antara tokoh yang berpegang dengan Al Asya’irah -tanpa taqlid buta dan taksub- (semoga Allah meninggikan kedudukan beliau di sisiNya).

Ini jika kita telusuri hakikat mazhab itu sendiri tanpa memerhatikan orang yang menisbahkan diri kepadanya. Adapun Aimmah kaum Muslimin yang berjasa kepada Islam dan diketahui elok ke-Islaman mereka sama ada daripada kalangan Muktazilah, Asy'ariyah, Maturidiyah, Sufiyah, dll mereka ini kebaikan mereka yang banyak -Insya Allah- menenggelamkan kesilapan mereka dan tidak dilupuskan kedudukan mulia mereka sebaliknya diberikan Wala` yang sewajarnya. 

Bak diketahui dalam Ilmu Fiqh: “Air jika sampai dua qullah tidak lagi menanggung najis” demikianlah tokoh-tokoh ulama kaum muslimin yang mempunyai kesilapan Ijtihad kerana tidak ada beza antara ijtihad dalam Usul mahupun Furuk dari sudut diberi pahala selama mana ia dilakukan dalam rangka yang muktabar; jika benar dua pahala, jika salah satu pahala. 

Ahli Sunnah waljamaah Tidak Menghukum Ahli Kalam dengan kaedah Ahli Kalam sendiri yang pada pandangan Ahli Sunnah adalah kaedah yang BATIL iaitu: kesilapan Ijtihad dalam Usul tidak dimaafkan dan pelakunya tetap berdosa. Kaedah ini tidak tepat diterapkan kepada Ahli Kiblat yang telah sabit keIslamannya. 

Oleh itu, sesiapa jua yang benar dalam ikrarnya dengan dua kalimah syahadah dan mendirikan solat menghadap ke kiblat kaum muslimin dan beriltizam dengan tuntutan teras Syahadah (tiada sembahan yang hak kecuali Allah) adalah Muslim; baik ia beraliran Syi’ah, Jabariyah, Qadariyah, Muktazilah, Mu’attilah, dll. 

Telah menjadi satu kefahaman dasar Ahli Sunnah bahawa 73 firqah, 72 daripadanya diancam dengan Neraka, ini adalah Wa'iid Mutlaq yang tidak menjadi kemestian terkena pada individu, bahkan kesemua 73 ini adalah Umat Ijabah yang ada peluang untuk mendapat keampunan Allah berdasarkan dalalah sabda Nabi sallallahu alaihi wa sallam (أمتي).

Bahkan seseorang yang telah sabit keislamannya jika dia melakukan segala macam kufur akbar tidaklah boleh kita mengatakan dia secara individu sebagai Kafir sehingga ditegakkan hujah risaliyah dan dihilangkan segala mawani' dan syubhat. 

Manhaj Ahli Sunnah waljamaah dalam Takfir, Tafsiq, dan Tabdi' adalah sgt jelas bagaikan Mentari di rembang tengah hari. Mereka menyatakan yang Haq namun merahmati makhluk. Inilah isi dan inti Wasatiyah yang disifatkan kepada Khayrul Ummah. 

والله الموفق للحق وهو الهادي وحده لا إله غيره ولا رب سواه.

Comments

Popular posts from this blog

KAJIAN TENTANG MAKNA HADIS JIKA KALIAN TIDAK BERBUAT DOSA ALLAH AKAN HILANGKAN KALIAN

AKIDAH IMAM Abu Uthman al-Sobuni