KECELARUAN AHLI KALAM TENTANG SIFAT ALLAH, HUKUM ALAM
Tentang sifat Allah, hukum alam, dan kecelaruan ahli kalam dalam hal ini.
1. Di neraka kelak, penghuni neraka mempunyai gigi geraham sebesar Gunung Uhud. Kulit penghuni neraka sangat tebal, setebal 3 hari perjalanan.
ضِرْسُ الْكَافِرِ أَوْ نَابُ الْكَافِرِ مِثْلُ أُحُدٍ وَغِلَظُ جِلْدِهِ مَسِيرَةُ ثَلاَثٍ
[Sahih Muslim, Kitab Al-Jannah, bab yang sombong akan ke neraka, dan yang dhaif akan ke syurga.]
2. Dalam hal ini, berlakunya pelanggaran hukum fizik, yakni bertentangan dengan hukum square cube law;
Secara mudahnya, hukum ini menyatakan bila mana ada objek yang saiznya meningkat secara berkadar, kawasan permukaan baharunya akan meningkat dengan kadar kuasa dua manakala isipadu baharunya meningkat dengan kadar kuasa tiga.[1].
Maksudnya, jika kita besarkan skala sesuatu hidupan kepada 2 kali ganda daripada saiz asalnya, kawasan permukaan tulang kakinya akan meningkat 4 kali ganda, manakala isipadu dan beratnya akan meningkat sebanyak 8 kali ganda[2]! Dalam keadaan ini, makhluk sebesar ini akan tumbang disebabkan berat badannya sendiri!
Contohnya ada di dalam sejarah, di mana orang yang paling tinggi, Robert Wadlow, mempunyai ketinggian 2.72 meter, atau 8 kaki 11 inci, dan mempunyai berat badan 199 kg semasa dia meninggal dunia, terpaksa menggunakan tongkat dan pendakap kaki untuk berjalan disebabkan kekuatan struktur tulangnya sukar menampung ketinggian dan berat badannya[3].
Jadi, usahkan berjalan, manusia hendak duduk pun tidak mampu! Macam mana malaikat hendak menyeksa manusia di neraka?
3. Sebenarnya hal ini mudah sahaja difahami.
Di akhirat kelak, hukum alam di sini ini tidak terpakai di alam sana.
Itu sebabnya di syurga kelak, akan ada perkara yang tidak logik kalau difikirkan dengan hukum alam ini, contohnya:
I. Ada lautan susu, madu dan arak;
إِنَّ فِي الْجَنَّةِ بَحْرَ الْمَاءِ وَبَحْرَ الْعَسَلِ وَبَحْرَ اللَّبَنِ وَبَحْرَ الْخَمْرِ ثُمَّ تُشَقَّقُ الأَنْهَارُ بَعْدُ
[Sunan Tirmidhi, Kitab Sifat Al-Jannah, Hadith 2771]
II. Minuman arak di dalam syurga tidak memudaratkan, dan juga tidak memabukkan.
[Surah As-Saffat, ayat 45 - 47]
Namun, Allah juga berfirman di dalam hadith qudsi, bahawa nikmat syurga itu adalah sesuatu yang tidak pernah dilihat oleh mata manusia, tidak pernah terdengar oleh telinga manusia, malahan tidak pernah terlintas di dalam hati manusia.
قَالَ اللَّهُ أَعْدَدْتُ لِعِبَادِي الصَّالِحِينَ مَا لاَ عَيْنٌ رَأَتْ، وَلاَ أُذُنٌ سَمِعَتْ، وَلاَ خَطَرَ عَلَى قَلْبِ بَشَرٍ "
[Sahih Bukhari, Kitab At-Tauhid, Hadith 123]
Malah Ibn Abbas juga berkata:
"ليس في الدنيا شيء مما في الجنة إلا الأسماء"
"Tiada penyerupaan di antara nikmat sama yang ada di dunia dan di syurga, melainkan nama sahaja”
تفسير الطبري (٤١٦/١)
Maksudnya, nikmat di syurga ini hanya ada persamaan nama sahaja seperti susu, madu, arak, bidadari dan seumpamanya.
Namun hakikat sebenarnya, kita tidak tahu rupa dan kayfiyyah nikmat syurga ini, kerana ia tidak pernah dilihat dan didengari oleh manusia, malahan tidak pernah terlintas langsung dalam hati manusia.
Subhanallah! Itu baru gambaran tentang syurga Allah, pun kita tidak mampu memikirkan kayfiyyahnya.
Jika kayfiyyah nikmat syurga pun kita tidak tahu bagaimana, walaupun kita tahu nama-namanya; apatah lagi kayfiyyah sifat-sifat Allah?
Allah berfirman yang Dia berada di atas Arasy, bahawa Dia turun ke langit dunia, dan Dia akan menggulung langit dengan Tangan-Nya, itulah yang kita beriman, dan serahkan kayfiyyah-Nya kepada Allah.
Ini kerana kalau kayfiyyah nikmat syurga dan keadaan neraka pun kita tidak boleh bayangkan, walaupun Allah telah menyatakan apa yang akan kita alami di sana kelak, maka tidak perlu sibuk membayangkan kayfiyyah (bagaimana) Allah istawa, nuzul, dan menggulung langit dengan Tangan-Nya ketika hari kiamat nanti.
4. Masalahnya timbul bila ahli kalam memakaikan hukum fizik di alam ini kepada kayfiyyah Allah.
Mereka, dengan pemikiran manusia yang sangat terhad, cuba menafikan sifat-sifat Allah dengan menggunakan logik akal yang dirumuskan oleh pemerhatian manusia terhadap hukum alam dan hukum fizik di alam fana ini, walhal hukum-hukum alam dan fizik ini tidak terpakai di alam akhirat sama.
Mereka menafikan Allah berada di atas Arasy dan nuzul ke langit dunia, kerana ia tidak logik mengikut hukum alam dan hukum fizik alam ini, yang mereka pakaikan ke atas Allah, walhal Allah itu tidak terikat dengan sebarang hukum alam ini seperti yang mereka sangkakan.
Malahan kalau kita lihat pandangan ahli kalam yang lebih ekstrim lagi, ahli falsafah menafikan bahawa Allah Maha Melihat dan Mendengar, kerana menurut mereka, perbuatan melihat dan mendengar itu perbuatan makhluk yang bergantung dengan makhluk.
Bagaimana kita (makhluk) melihat?
Melalui pupil mata, cahaya, melalui satu sumber (sama ada matahari atau lampu), menerangi objek yang kita lihat. Apabila cahaya terpancar kepada sesuatu objek, partikel cahaya, yakni photon, akan melantun dari objek tersebut dan masuk ke mata kita. Mata kita kemudian akan menghantar maklumat ini melalui saraf optik kepada otak kita untuk diproses, barulah kita mengenal pasti objek yang kita lihat.
Senang kata, pancaindera penglihatan bergantung dengan partikel photon.
Adakah Allah memerlukan photon untuk melihat? Sudah tentu tidak.
Begitu juga dengan sifat mendengar.
Bagaimana kita (makhluk) mendengar?
Gelombang bunyi, melalui medium udara, sampai kepada gegendang telinga kita, dan kemudian gegendang telinga proses maklumat gelombang bunyi dan menghantar maklumat itu melalui saraf auditori kepada otak untuk diproses, barulah kita mengenal pasti bunyi yang ada di sekeliling kita.
Mudah kata, sifat mendengar ini bergantung dengan medium udara atau air. Tanpa medium ini, gelombang bunyi tidak akan boleh pergi ke mana-mana, dan makhluk juga tidak boleh mendengar apa-apa langsung.
Adakah Allah bergantung dengan sebarang medium untuk mendengar?
Sudah tentu tidak!
Sebab itu Ahli Falsafah dan Mu'tazilah menyatakan bahawa Sifat Allah, yakni Sama' (mendengar), Basar (melihat), hakikatnya adalah sifat Al-Ilm (mengetahui).
Namun kita Ahl Sunnah ithbat sifat Allah yang Maha Melihat dan Mendengar, dan serahkan (tafwid) kayfiyyah-Nya kepada Allah.
5. Kemudian sekarang timbul pula golongan bodoh yang menyatakan bila kita ithbat makna sifat Allah, bererti kita ithbat kayfiyyah Allah.
Kenapa?
Sebab golongan ini berfikiran seperti golongan Mu'tazilah, Jahmiyyah dan Ahli Falsafah seperti yang aku nyatakan di atas.
Dalam pemikiran cetek lagi dangkal dalam otak 3 suku mereka itu, mereka membayangkan bila kita ithbat sifat Allah Maha Melihat, kita telah mendakwa bahawa Allah perlukan pantulan cahaya photon untuk melihat, kemudian mereka tuduh orang yang ithbat sifat Melihat Allah itu sebagai Musyabbihah dan Mujassimah.
Walhal kita ithbat sifat Melihat Allah, di mana kita yakin bahawa Allah benar-benar Melihat, namun kita tafwid kayfiyyah-Nya; kerana kita tidak tahu bagaimana (kayfiyyah) Allah Melihat.
Kita ithbat sifat Mendengar Allah, di mana kita yakin bahawa Allah benar-benar Mendengar, namun kita tafwid kayfiyyah-Nya; kerana kita tidak tahu bagaimana (kayfiyyah) Allah Mendengar.
Begitulah juga dengan sifat Tangan, Wajah, Istawa dan Nuzul.
Kita ithbat semua sifat-sifat ini, namun kita tafwid kayfiyyah sifat-sifat ini, kerana kita tidak tahu bagaimana (kayfiyyah) sifat-sifat ini.
Kemudian orang-orang bodoh ini akan bertanya:
"Bagaimana kamu mendakwa Allah ada 2 Tangan, tapi tidak tahu kayfiyyah-Nya?"
Kita jawab:
"Allah berfirman wujudnya madu, arak dan susu di dalam syurga, namun kita juga tidak tahu kayfiyyahnya, kerana Allah telah berfirman bahawa nikmat-nikmat ini tidak pernah dilihat, tidak pernah didengar, bahkan tidak pernah terlintas dalam hati manusia.
Jika kayfiyyah nikmat syurga, yang merupakan makhluk Allah pun kita tidak tahu bagaimana (kayfiyyah), lalu mengapa kita sibukkan diri bertanya dan memikirkan tentang kayfiyyah sifat-sifat Allah?"
6. Ahli Hadis seperti Abdullah ibn Al-Mubarak, Uthman ibn Sa'id Ad-Darimi, Harb Al-Kirmani, Ibn Khuzaymah, mereka beriman sebagaimana yang wahyu sampaikan, dan mereka tidak bertanya tentang kayfiyyah-Nya, kerana mereka sedar, sedangkan sifat makhluk seperti syurga dan neraka sahaja pun mereka tidak mampu fahamkan kayfiyyahnya mengikut hukum fizik di alam ini, masakan kita (manusia) mampu fahamkan sifat-sifat Allah menggunakan hukum fizik di alam ini.
Akhir kata, ikutlah jejak langkah para salaf seperti Abdullah ibn Al-Mubarak, Uthman ibn Sa'id Ad-Darimi, Harb Al-Kirmani dan sekalian ulama ahli hadis dalam hal ini, maka anda dijamin tidak sesat.
Janganlah ikut jejak langkah ahli kalam, yang mana mereka sangka mereka lebih bijak dengan memikirkan tentang kayfiyyah sifat Allah dengan ilmu kalam, sehingga mereka menjadi gila.
Sekian.
Nota kaki:
[1] https://fathom.lib.uchicago.edu/2/21701757/
[2] https://www.dinosaurtheory.com/scaling.html
[3]https://www.guinnessworldrecords.com/news/2022/6/the-tragic-death-of-robert-wadlow-the-tallest-man-ever-708849
Su han wen shu
Comments
Post a Comment