KELEBIHAN PENYAKIT TA'UN

Ketika musim wabak ini, bermacam-macam teori mula dikaitkan oleh sebahagian pihak. Ada juga yang mengatakan bahawa COVID-19 ini merupakan penyakit Taun disebabkan jangkitannya yang sangat banyak. Cumanya adakah ia benar?

Imam Ibn Hajar al-Asqalani atau nama penuhnya Syihabuddin Abu Fadl Ahmad bin Nuruddin Ali bin Muhammad bin Hajar al-Asqalani al-Misri ada menulis sebuah kitab mengenainya bertajuk:
بذل الماعون في فضل الطاعون
Maksudnya: Hidangan Ilmu Bermanfaat Mengenai Kelebihan Taun.
Syeikh merupakan seorang ulamak besar dalam bidang hadis yang dilahirkan pada tahun 773H dan meninggal dunia pada 852H. Beliau menjadi yatim piatu ketika usia masih kecil namun dibesarkan dalam keluarga yang sangat baik setelah diwasiatkan oleh bapanya sebelum meninggal. Ramai ahli keluarganya tergolong dalam kalangan ulamak dan peniaga.
Semasa berumur 9 tahun, beliau dah hafal al-Quran. Umur 13 tahun pula menghafal pelbagai kitab-kitab besar pada zaman itu. Dan pada usia 15 tahun, beliau mula berniaga setelah kematian penjaganya. Beliau berkahwin dengan seorang anak kadi, yang juga merupakan seorang yang sangat hebat dalam ilmu hadis.
Mereka berdua dikurniakan 5 orang anak perempuan. Yang sulungnya, bernama Zain Khartun. Yang kedua, Farhah. Yang ketiga, Aliyah. Keempat, Rabiah dan kelima, Fatimah.
Antara karyanya yang menjadi rujukan zaman berzaman adalah kitab Fathul Bari, sebuah kitab syarah bagi Sahih Bukhari. Banyak lagi selain daripada itu, nanti boleh cari okey. Itu secara ringkasnya biodata syeikh.
Berkaitan kitab yang kita nak ceritakan ini, ia ditulis sebelum tahun 819H lagi sebenarnya. Beliau telah mengumpulkan hadis-hadis dan kisah yang berkaitan dengan penyakit Taun.
Namun berlaku satu peristiwa besar dalam hidupnya iaitu Mesir dilanda wabak Taun pada 819H sehingga mengorbankan anak ketiga dan bongsunya, Aliyah dan Fatimah.
Semenjak itu, syeikh berhenti menulis. Boleh jadi beliau tidak ingin hasil tulisannya dipengaruhi dengan kesedihan atas kematian kedua anaknya itu. Lihatlah betapa ikhlasnya niat seorang ulamak dalam mengarang kitab.
Pada tahun 833H, Taun menyerang kembali. Kali ini mengorbankan anak sulungnya pula, Zain Khartun. Tahun yang sama, barulah kitab ini berjaya disiapkan sepenuhnya pada bulan Syawal. Setelah 14 tahun lamanya sejak beliau berhenti menulis.
Pendek kata, 3 orang anak perempuannya meninggal dunia disebabkan wabak Taun yang menyerang Mesir pada ketika dahulu. Nak kata yang betapa dahsyatnya wabak ini, seramai 6000 orang mati dalam tempoh sehari.
Pada permulaan bab, syeikh menyatakan bahawa wabak Taun ini merupakan salah satu azab yang pernah Allah SWT timpakan kepada Bani Israel suatu ketika dahulu. Kita semua maklum dan jelas bahawa kaum ini sifatnya degil dan melawan. Selalu ingkar dan mempersoalkan tiap arahan Tuhan.
Jadi timbul rasa takut dan risau dengan segala wabak yang melanda dunia pada ketika ini, apakah itu sebabnya? Apakah kita penyebabnya? Oleh itu, paling utama sekarang adalah kena muhasabah diri dan sentiasalah memohon ampun daripada Allah SWT.
Kemudian, syeikh menyambung dengan mengatakan walaupun Taun ini azab bagi Bani Israel, ia merupakan rahmat bagi orang yang beriman. Hal ini ada disebutkan dalam sebuah hadis riwayat Imam Ahmad (24056).
Malaikat Jibril pernah datang menemui Nabi SAW di Madinah dengan membawa penyakit demam dan Taun. Lalu Nabi SAW memilih demam agar kekal di Madinah. Manakala Taun pula dihantar ke Syam memandangkan ianya adalah syahid dan rahmat bagi mereka. Boleh tengok hadis Imam Ahmad (19839).
Syeikh juga membawa beberapa kisah nabi terdahulu mengenai azab Taun yang menimpa kaum mereka.
Antaranya kisah satu kaum yang ingkar akan seruan nabi mereka. Kemudian nabi tersebut ditanya apakah dengan azab kebuluran sepatutnya mereka kena? Jawabnya tidak. Apakah dengan diutuskan musuh iaitu berperang? Jawabnya juga tidak, bahkan dengan kematian yang menyeksakan. Lalu Allah SWT hantarkan Taun sehingga habis populasi mereka.
Ketika pembinaan Baitul Maqdis pula, Bani Israel ada diberikan 3 pilihan. Sama ada 2 tahun kemarau, 2 bulan berperang ataupun dihantar Taun selama 3 hari. Mereka dengan angkuhnya menyuruh agar Nabi Ishak memlihnya buat mereka. Akhirnya Allah SWT hantarkan Taun sehingga meragut nyawa seramai 70 ribu orang dalam tempoh tak sampai sehari.
"Macam mana penyakit Taun yang sebenarnya ni?"
Biasa kita dengar adalah, Taun ini merupakan jangkitan pada bahagian penghadaman yang mengakibatkan sakit perut, cirit birit dan muntah. Ia boleh disebabkan makanan yang kotor dan tempat-tempat yang kotor. Jika A yang makan kotor, maka A lah yang dijangkiti, bukan B.
Namun sebenarnya, Taun yang disebutkan dalam hadis Nabi SAW dan kisah-kisah para ulamak dahulu adalah lain. Sangat berbeza dengan Taun yang kita kenalnya dengan nama Kolera ini.
Sebab itu, kena faham terlebih dahulu apakah maksudnya sebelum kita nak kaitkan dengan sesuatu peristiwa. Bukannya dengan main ambil dan kaitkan sahaja. Taun yang dahulunya merebak cepat seperti virus, lalu mengakibatkan beribu kematian dalam masa sehari.
Menurut Imam Ibn Hajar ini, Taun ada 4 jenis:
1. Timbulnya ketumbuhan di celah-celah anggota.
2. Taun ini memakan daging badan dan kulit yang mengakibatkannya jatuh luruh daripada anggota.
3. Seakan penyakit kusta.
4. Menyebabkan maut.
Pendek kata, Taun adalah wabak. Dan tak semua wabak adalah Taun. Dalam hadis yang biasa kita dengar, Nabi SAW menyebut perkataan TAUN. Jadi tak boleh juga nak terjemahkannya kepada maksud wabak kerana ianya terlalu luas skopnya.
Kesimpulannya, Taun adalah sejenis wabak yang lebih khusus. Seperti dalam hadis Imam Bukhari, Nabi SAW menyatakan bahawa Madinah tidak akan dimasuki oleh Dajal dan Taun. Disebut perkataan Taun, bukan wabak. Dan semestinya bukanlah sebagaimana Taun yang kita faham pada zaman ini.
Madinah juga pernah dilanda wabak pada zaman pemerintahan Sayidina Umar al-Khattab sehingga mengakibatkan kematian yang ramai. Sungguhpun begitu, belum dicatatkan lagi dalam sejarah bahawa Taun ada masuk menyerang Madinah. Hal ini kerana sudah didoakan oleh Nabi SAW.
Akhirnya, syeikh mengatakan bahawa perbezaan Taun dengan wabak penyakit yang lain adalah adalah, Taun merupakan hasil tikaman jin. Hal ini tidak dapat dibuktikan dengan teknologi sains dunia.
Oleh itu, Ibn Hajar sertakan bersama zikir amalan pelindung daripada gangguan jin berdasarkan hadis Nabi SAW:
1. Bacaan al-Fatihah dan al-Ikhlas sebelum tidur dapat menyelamatkan diri daripada semua benda kecuali mati.
2. Syaitan lari daripada rumah yang dibacakan surah al-Baqarah.
3. Bacaan ayat Kursi sebelum tidur bagi berada dalam peliharaan Allah dan tidak didekati syaitan sehingga subuh.
4. Membaca surah al-Nas dan al-Falaq
Dalam hadis riwayat Imam Ahmad (18707), Nabi SAW bersabda, "Kehancuran umatku adalah kerana al-Tha'n (fitnah) dan Taun." Lalu sahabat melontarkan soalan, "Wahai Rasulullah, al-Tha'n kami tahu. Namun Taun itu bagaimana?"
Jawab Nabi SAW, "Ianya merupakan tikaman musuh kalian daripada golongan jin. Dan keduanya merupakan mati syahid."
Kata Ibn Hajar, syarat untuk mati diserang Taun bagi mendapatkan pahala syahid perang adalah dengan duduk berkuarintin dalam keadaan sabar, yakin dan reda dengan ketentuan Tuhan.
Antara kelebihan mati syahid adalah:
1. Terawal mendapat keampunan Allah SWT.
2. Dapat melihat tempatnya di syurga ketika dalam kubur lagi.
3. Selamat daripada azab kubur.
4. Selamat daripada terkejut besar di akhirat kelak.
5. Akan dipakaikan mahkota.
6. Akan dikahwinkan dengan 72 bidadari.
7. Dapat memberikan syafaat kepada 70 orang ahli keluarganya.
Berikut pula darjat tingkatan mati syahid. Ada 3 menurut hadis:
1. Orang yang berjuang dengan jiwa dan hartanya di jalan Allah. Bertemu musuh, memeranginya lalu terbunuh. Inilah syahid yang dibanggakan Allah. Martabatnya paling tinggi. Beza mereka dengan para nabi adalah darjat kenabian sahaja.
2. Seorang pelaku dosa keluar berjihad dengan jiwa dan hartanya. Kemudian bertemu musuh Allah dan berperang sungguh-sungguh akhirnya terbunuh. Lalu Allah ampunkan dosanya dan masuklah dia ke syurga melalui mana-mana pintu yang dikehendaki.
3. Seorang munafik yang berjuang dengan jiwa dan hartanya di jalan Allah, lalu terbunuh. Dia berada di dalam neraka kerana senjatanya itu tidak memadamkan sifat nifak dalam diri.
Berkenaan mati yang disebabkan Taun ini pula, pahalanya menyamai syahid perang. Dalam sebuah hadis riwayat Imam Ahmad mengatakan apabila para syuhada dibangkitkan nanti, mereka akan melihat sesiapa yang lukanya mengalirkan darah seperti syuhada dan berbau harum bak haruman kasturi.
Jika diperhatikan sifat Taun yang disebutkan di atas tadi, kenalah dengan sifat syuhada di dalam syurga. Darah mereka yang mengalir itu adalah disebabkan luka. Berbeza pula maksudnya dengan Taun yang kita faham pada zaman ini.
Antara kisah wabak Taun yang popular adalah Taun Amwas. Ianya muncul daripada perkampungan Amwas di negeri Syam pada tahun ke-17H. Ketika itu Sayidina Umar al-Khattab memerintah. Tahun ke-18H pula berlaku kebuluran yang sangat dahsyat di Tanah Hijaz sehingga mengakibatkan sekitar 30 ribu kematian.
Taun al-Jarf pula berlaku pada tahun 67H hingga 69H di Basrah. Berulang kembali pada tahun 87H. Ianya digelar al-Jarf kerana penyakit ini telah menyapu habis kebanyakan populasi dunia.
Kata Ibn Hajar, Taun paling dahsyat berlaku pada kurun ke-8H, sekitar tahun 749H di Mesir. Kematian yang dicatatkan ketika itu adalah sekitar 6000 orang sehari.
Ini sedikit sebanyak yang saya dapat kongsikan bersama setelah menonton Bedah Kitab oleh Dr. Kamilin Jamilin - Seni Hadith. Jika ada kekurangan, saya mohon maaf sangat-sangat. Rakaman hampir 2 jam, terlalu sarat dengan ilmu. Penuh!
Itu baru bahagian satu. Belum lagi bahagian kedua. Kitab ini boleh kira tebal jugalah untuk dibaca, 450 muka surat. Namun, banyak benda dan perkara baru yang dapat kita perolehi.

Itulah.
Sebarkan manfaat.

Comments

Popular posts from this blog

DOSA DAN ANCAMAN TIDAK MELURUSKAN SAF

IMAM AL GHAZALI KEMBALI KE MAZHAB SALAF (english)

TEMPAT KEDIAMAN IBLIS DI BUMI : BILIK AIR