KHATAM QURAN DALAM SOLAT TERAWIH

 Kesunnahan khatam al-Quran dalam solat tarawih diperselisihkan ulama. Menurut jumhur, hukumnya sunat. Menurut Ibnu al-Ṣalāḥ dalam fatwanya, itulah yang menjadi amalan sejak zaman Saidina ‘Umar RA. Imam Mālik dalam riwayat yang masyhur pula dinukilkan berpendapat khatam al-Quran dalam solat tarawih bukan sunnah, senada dengan gurunya, Rabī‘ah al-Ra’y yang mengatakan:

وَلَوْ أَنَّ الرَّجُلَ أَمَّ النَّاسَ بِسُورَةٍ حَتَّى يَنْقَضِيَ الشَّهْرُ لَأَجْزَأَ ذَلِكَ عَنْهُ، فَإِنِّي لَأَرَى* أَنْ قَدْ كَانَ يَؤُمُّ النَّاسَ مَنْ لَمْ يَجْمَعْ الْقُرْآنَ.

“Sekiranya seseorang mengimami orang ramai dengan satu surah sehingga habis bulan (Ramadan), maka itu memadai, kerana sungguh aku pernah melihat bahawa ada yang tidak hafiz menjadi imam (tarawih) orang ramai.”

Walau bagaimanapun, “bukan sunnah” yang dimaksudkan oleh Imam Mālik ini ditakwil dengan makna “bukan seperti sunnah-sunnah (yang lain), dan tidaklah beliau bermaksud mengatakannya bidaah... tetapi ia termasuk amalan yang digalakkan dan disukai.” Demikian pendapat yang dimuktamadkan sebahagian ulama Mālikiyyah.

Segelintir Ḥanafiyyah berpendapat “yang afdalnya membaca dengan kadar bacaan solat maghrib kerana solat-solat sunat dibina di atas keringanan terutamanya yang dilakukan secara berjemaah.” Menurut al-Kāsānī, galakan mengkhatamkan al-Quran dalam solat tarawih sesuai dengan zaman salaf, “adapun pada zaman kita, maka yang afdalnya imam membaca mengikut malas rajinnya makmum. Jadi, ia membaca dengan kadar yang tidak menyebabkan makmum lari daripada berjemaah, kerana meramaikan jemaah lebih afdal daripada memanjangkan bacaan.”

Sebetulnya, isunya bukan khatam atau tidak, tetapi memanjangkan bacaan atau memendekkannya. Sunnah dalam qiyām Ramadan dan malam-malam lain adalah memanjangkan bacaan, tidak kiralah dengan mengulang-ulang surah al-Baqarah, misalnya, atau meneruskannya hingga ke surah al-Nās. Itulah maksud sebenar qiyām, kerana tiada qiyām tanpa bacaan dan panjang qiyām adalah dengan panjangnya bacaan. Itulah juga sebab sebenar solat tarawih dikerjakan berjemaah, iaitu supaya orang yang tidak mampu memanjangkan qiyām ketika solat bersendirian kerana malas atau tidak menghafal al-Quran boleh melakukannya dengan “menumpang” orang lain; itulah sebab ada salaf yang menjadi imam tarawih sambil melihat mushaf, iaitu supaya qiyām dapat dipanjangkan walaupun al-Quran tidak dihafal; dan itulah sebab ‘Umar menyuruh imam yang laju bacaannya membaca lebih banyak ayat berbanding imam yang lambat bacaannya, iaitu supaya waktu qiyām tetap panjang walaupun imam membaca cepat.

Meraikan makmum itu dituntut tetapi ini adalah solat sunat, bukan fardu. Malah, untuk tarawih secara khusus banyak riwayat menggambarkan bacaan dipanjangkan lebih daripada kebiasaan. (Dan tarawih itu sendiri dipanggil “tarawih” kerana duduk rehat di antara setiap empat rakaat tarawih kerana kepanjangannya.) Antaranya, athar ‘Irāk b. Mālik, seorang tabiin dalam riwayat yang sahih tentang pengalamannya pada zaman sahabat di Madinah:

أَدْرَكْتُ النَّاسَ فِي شَهْرِ رَمَضَانَ يَرْبِطُونَ لَهُمُ الْحِبَالَ يَسْتَمْسِكُونَ بِهَا مِنْ طُولِ الْقِيَامِ.

“Aku mendapati mereka pada bulan Ramadan mengikat tali untuk dijadikan tempat berpegang kerana panjangnya qiyām.”

Lagipun, hadis إِنَّهُ مَنْ قَامَ مَعَ الإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ كُتِبَ لَهُ قِيَامُ لَيْلَةٍ yang masyhur dan dianggap sahih oleh ramai ulama itu sebenarnya ziyādah yang ma‘lūl dari sudut sanad dan munkar dari sudut matan kerana bercanggah dengan hadis lain yang diriwayatkan oleh al-Bukhārī dalam peristiwa yang sama iaitu فصلوا أيها الناس في بيوتكم فإن أفضل الصلاة صلاة المرء في بيته إلا المكتوبة. (Oleh sebab itulah para sahabat dan ramai salaf tidak menganggap afdal tarawih berjemaah berbanding sendirian bagi yang mampu membaca sendiri. Sangkaan umum bahawa ‘Umar adalah orang pertama menghidupkan semula solat berjemaah selepas ditinggalkan pada zaman Rasulullah SAW tidak benar. “Bidaah ḥasanah” yang dilakukan oleh ‘Umar adalah menggabungkan jemaah-jemaah tarawih yang sedia ada sebelum itu menjadi satu. Ijmak sahabat adalah tentang keharusan, bukan keafdalan tarawih berjemaah.) Jadi, tiada sebab imam perlu memendekkan bacaan sekali gus mempercepat solat tarawih supaya makmum boleh ikut sama sampai selesai dan mendapat pahala qiyām semalaman. Jika tidak larat berdiri lama, makmum boleh memilih untuk solat sendiri, solat di masjid lain, atau bertahan setakat mampu; dan imam boleh meneruskan solat bersama jemaah yang lain.

Tidak dinafikan bahawa salaf juga berusaha memberi keringanan kepada jemaah, namun bukannya dengan memendekkan bacaan dan mengekalkan jumlah rakaat, tetapi dengan menambah bilangan rakaat dan mengekalkan kadar bacaan. Demikian yang zahir daripada kata-kata al-A‘raj, seorang tabiin, yang diriwayatkan oleh Mālik dalam al-Muwaṭṭa’, juga tentang pengalamannya bersama para sahabat di Madinah:

مَا أَدْرَكْتُ النَّاسَ إِلَّا وَهُمْ يَلْعَنُونَ الْكَفَرَةَ فِي رَمَضَانَ، وَكَانَ الْقَارِئُ يَقْرَأُ سُورَةَ الْبَقَرَةِ فِي ثَمَانِ رَكَعَاتٍ فَإِذَا قَامَ بِهَا فِي اثْنَتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةً، رَأَى النَّاسُ أَنَّهُ قَدْ خَفَّفَ.

“Tidaklah aku sempat menyaksikan mereka kecuali mereka melaknat orang-orang kafir pada bulan Ramadan dan imam membaca surah al-Baqarah dalam lapan rakaat. Apabila ia membacanya dalam 12 rakaat, jemaah beranggapan bahawa keringanan sudah diberikan.”

Kesimpulannya, memanjangkan kadar bacaan baik dengan mengulang-ulang bacaan yang sama mahupun dengan mengkhatamkan al-Quran sekali atau berkali-kali bertepatan dengan sunnah, amalan salaf, dan itulah yang terbaik dan seharusnya dikekalkan, meskipun secara berjemaah dan tidak disukai makmum.

Wallahualam.

https://t.me/alkutawi91

Comments

Popular posts from this blog

DOSA DAN ANCAMAN TIDAK MELURUSKAN SAF

IMAM AL GHAZALI KEMBALI KE MAZHAB SALAF (english)

TEMPAT KEDIAMAN IBLIS DI BUMI : BILIK AIR