KISAH KHAULAH BINTI AL-AZWAR
Kritikan ilmiah Ustaz Emran Ahmad حفظه الله terhadap kesahihan kisah Khaulah al-Azwar dari penulisan terbitan page The Patriots.
_____________________________________________
Kisah Khaulah binti al-Azwar tidak sahih
Ada ramai muslimah berpurdah, tak berpurdah bertudung labuh, bersarung lengan dan berjubah atau tidak berjubah merasakan mereka wajar turut berjuang untuk Islam bersama orang lelaki, mencontohi wira wanita yang bernama Khaulah binti al-Azwar.
Kononnya wanita ini berjihad di medan perang bersama para sahabat nabi seperti Khalid bin Al-Walid RA (wafat 21 H) menaiki kuda, berselubung hitam sambil menutupi wajahnya,
Cerita ini tidak sahih bahkan menyalahi nas dan juga sejarah.
1. Menurut Syeikh Dr Muhammad bin Abdullah Al-Qannas kisah Khaulah ini tidak ada dalam kitab makrifah sahabat atau kitab tarikh dan tarajim.
2. Telah masyhur dalam nas dan sirah bahawa kaum wanita tidak terlibat dalam peperangan dan membunuh musuh. Mereka hanya merawat tentera dan berkhidmat sebagai pemberi minum dan makan. Ada beberapa riwayat sahabat wanita nabi salallahualaihiwassalam yang membunuh musuh seperti Nasibah, Ummu Amarah yang mempertahankan nabi dalam perang Uhud, Ummu Sulaim yang membawa pisau khanjar dalam perang Hunain dan beberapa yang lain seperti Ummu Haram dan sebagainya.
Nama mereka disebut jelas dalam sejarah. Sementara Khaulah ini pula tidak ada riwayatnya baik dalam kitab biografi sahabat, riwayat sirah, lughah dan adab atau tarikh yang berkaitan. Cuma ada yang menisbahkan kisahnya kepada Al-Waqidi namun hal itu juga adalah tidak benar.
3. Syeikh Abd Aziz bin Muhammad As-Sadhan pula menyebutkan satu-satunya riwayat tentang kewujudan cerita Khaulah ini datang daripada kitab Al-A'lam oleh Al-Zirikli dan Futuh al -Syam yang dinisbah kepada Al-Waqidi secara tidak benar.
Hal yang sama disebut oleh Syeikh Mashyur bin Hasan Alu Salman bahawa diragui kesahihan kitab Futuh Al-Syam kepada Al-Waqidi dan kepalsuan kisah Khaulah binti Al-Azwar.
4. Jika dipandang daripada aspek riwayat sirah, peperangan di Yarmuk berlaku pada tahun 13 hijrah, pada waktu itu umat Islam telah memiliki ketenteraan yang solid, terancang, tersusun dan bukan lagi sesiapa wanita naik kuda tutup muka boleh datang dan pergi 'menyertai' perang bagi pihak Islam.
Pasukan perang memiliki formasi, kapten atau ketua platun, posisi tentera disusun dengan tepat oleh komander bagi mencapai kekuatan yang optimum. Adalah mustahil seseorang yang tidak dikenali, misteri tutup muka, wanita pula lagi, boleh menjadi perwira medan perang berlawan musuh tanpa dikenali identiti.
Pendek kata, kisah ini mengarut dan disebar luas dalam usrah ketika zaman fakta dan kesahihan riwayat yang tidak dipandang berat berbanding cerita romantis seperti kisah Khaulah ini, Rabiatul Adawiyah, Tariq bin Ziyad membakar kapal, mayat Mustapha Kamal At-Tartuk tidak diterima bumi dan lain-lain.
Diriwayatkan Abdullah bin Mas'ud RA (wafat 32 H) berkata;
ومن جاءك بالحق فاقبل منه وإن كان بعيدا بغيضا, ومن جاءك بالباطل فاردد عليه وإن كان حبيبا قريبا
Barangsiapa yang datang kepadamu dengan kebenaran maka terimalah kebenaran itu daripadanya, meskipun dia adalah orang yang jauh dan dibenci. Dan barangsiapa yang datang kepadamu dengan kebatilan maka tolaklah, meskipun dia adalah orang yang dicintai dan dekat.
[Hilyah Al-Awliya, Abu Nuaym]
13 sep 22
Comments
Post a Comment