KISAH PALSU TERHADAP IMAM BUKHARI TIDAK PANDAI FEKAH
𝐌𝐞𝐦𝐛𝐢𝐝𝐚𝐬 𝐤𝐢𝐬𝐚𝐡 𝐩𝐚𝐥𝐬𝐮 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐝𝐢𝐜𝐞𝐫𝐢𝐭𝐚𝐤𝐚𝐧 𝐨𝐥𝐞𝐡 𝐌𝐚𝐮𝐥𝐚𝐧𝐚 𝐖𝐚𝐧 𝐓𝐚𝐡𝐢𝐫.

Di dalam video berikut, Maulana Wan Tahir menceritakan kisah yang berunsur penghinaan terhadap Imam Bukhari. Anda boleh mendengarnya sendiri di sini:
https://youtu.be/eU9fondV03I
Berikut merupakan sumber asal kisah yang diceritakan oleh Wan Tahir:
ولو أرضع الصبيان من بهيمة لم يكن ذلك رضاعا وكان بمنزلة طعام أكلاه من إناء واحد ومحمد بن إسماعيل صاحب الإخبار رحمه الله تعالى يقول يثبت به حرمة الرضاع فإنه دخل بخارى في زمن الشيخ الإمام أبي حفص رحمه الله تعالى وجعل يفتي فقال له الشيخ رحمه الله تعالى لا تفعل فلست هنالك فأبى أن يقبل نصحه حتى استفتى عن هذه المسألة إذا أرضع صبيان بلبن شاة فأفتى بثبوت الحرمة فاجتمعوا وأخرجوه من بخارى بسبب هذه الفتوى
"Jika dua bayi minum susu daripada binatang yang sama, mereka tidak ada sebarang perhubungan disebabkan penyusuan ini. Ini sama sahaja dengan keadaan jika mereka berdua minum dari sebekas mangkuk yang sama.
Namun, Muhammad ibn Ismail Al-Bukhari berkata:
Ini menjadikan mereka mahram disebabkan penyusuan itu.
Imam Bukhari melawat Imam Abu Hafs dan memutuskan untuk berfatwa.
Sheikh Abu Hafs berkata:
"Jangan lakukannya kerana kamu tidak layak untuk berfatwa."
Imam Bukhari menolak nasihatnya, sehinggalah dia mengeluarkan fatwa bahawa 2 bayi menjadi adik-beradik susuan kerana minum susu daripada kambing yang sama.
Disebabkan fatwa ini, orang ramai berkumpul dan menghalaunya daripada Bukhara."
[Al Sarkhasi, Kitab Al-Mabsut, Jilid 5, m/s 139]
Kisah ini juga diriwayatkan oleh Fakhruddin Al-Zayla'i dalam kitabnya تبيين الحقائق.
Kritikan terhadap kisah ini:
1. Tiada sanad pada kisah ini.
Kisah ini tidak diriwayatkan dengan sebarang sanad, dan kisah ini juga tidak wujud dalam mana-mana kitab yang memuatkan biografi kisah hidup Imam Bukhari.
2. Tajuk dalam Sahih Bukhari karangan Imam Bukhari sendiri sudah menjelaskan pendapat Imam Bukhari dalam hal ini, yakni:
بَابٌ: {وَأُمَّهَاتُكُمُ اللاتِي أَرْضَعْنَكُمْ} وَيَحْرُمُ مِنَ الرَّضَاعَةِ مَا يَحْرُمُ مِنَ النَّسَبِ
Terjemahan:
"Bab: {Ibu-ibu kamu yang menyusukan kamu}
Penyusuan mengharamkan perkara yang sama seperti nasab"
Perhatikan, Imam Bukhari menggunakan perkataan أمهات;
Lazimnya, perkataan أمهات merujuk kepada golongan ibu daripada makhluk yang berakal.
Makhluk mana yang ada akal dan menyusukan anak selain manusia?
Jadi sangat jelas, Imam Bukhari sendiri tahu bahawa hubungan mahram disebabkan penyusuan hanya terjadi jika seseorang itu menyusu dengan susu manusia, bukan susu binatang;
3. Ijma' bahawa meminum susu haiwan tidak menjadikan seseorang itu adik-beradik susuan.
Ibn Mundhir (wafat 318 Hijrah) berkata:
وأجمعوا على أن صَبَّ لبن أو شرب لبن بهيمة: أنه لا يكون رضاعًا
"Para ilmuwan sepakat ijmak bahawa meminum susu suatu haiwan ternakan yang sama tidak menjadikan seseorang itu adik-beradik susuan"
الإجماع لابن المنذر ص٨٢
Mana mungkin Imam Bukhari, yang pada usia 12 tahun sahaja sudah hafal kitab-kitab Abdullah ibn Al-Mubarak, di mana Abdullah ibn Al-Mubarak merupakan ulama faqih yang bersahabat dengan Abu Hanifah; Imam Bukhari, yang berguru dengan ulama fiqh sehebat Imam Al-Humaydi dan Ahmad ibn Hanbal, boleh jahil tentang sesuatu hukum yang menjadi ijma' kaum Muslimin?
4. Dalam kisah ini, seorang ulama Mazhab Hanafi, Abu Hafs, menasihatkan Imam Bukhari agar tidak berfatwa kerana Imam Bukhari tidak layak mengeluarkan fatwa. Imam Bukhari tidak mahu dengar nasihat Abu Hafs, dan akhirnya dia keluarkan fatwa ini dan dihalau dari Bukhara.
Hakikatnya:
I. Abu Hafs meninggal dunia di Bukhara pada tahun 217 Hijrah:
Al-Zahabi berkata:
مَاتَ أَبُو حَفْصٍ: بِبُخَارَى، فِي المُحَرَّمِ، سَنَةَ سَبْعَ عَشْرَةَ وَمائَتَيْنِ
Abu Hafs meninggal di Bukhara pada bulan Muharam, tahun 217H
سير أعلام النبلاء للذهبي (١٥٩/١٠)
II. Manakala Imam Bukhari hanya tiba di Nisapur pada tahun 250 Hijrah:
وَقَالَ أَبُو عَبْدِ الحَاكِمِ: أَوَّل مَا وَردَ البُخَارِيُّ نَيْسَابُوْرَ سَنَةَ تِسْعٍ وَمائَتَيْنِ، وَوَرَدَهَا فِي الأَخِيْرِ سنَةَ خَمْسِيْنَ وَمائَتَيْنِ، فَأَقَامَ بِهَا خَمْسَ سِنِيْنَ يُحَدِّثُ عَلَى الدّوامِ.
Abu Abdullah al-Hakim berkata:
“Pertama kali al-Bukhari tiba di Naysabur adalah pada tahun 209H. Beliau juga ada tiba di Naysabur pada akhir tahun 250H. Pada tahun 250H tersebut, beliau bermukim di Naysabur selama 5 tahun dan menyampaikan Hadith secara konsisten”
سير أعلام النبلاء للذهبي (٤٠٤/١٢)
III. Selepas menetap 5 tahun di Nisapur, Imam Bukhari pergi ke Bukhara dan keluar dari kota itu pada tahun 256 Hijrah, dan kemudian beliau mati di tahun yang sama:
Ibn Kathir menulis:
[سَنَةُ سِتٍّ وَخَمْسِينَ وَمِائَتَيْنِ]
Tahun 256 Hijrah
[مَنْ تُوُفِّيَ فِيهَا مِنَ الْأَعْيَانِ]
Tokoh yang wafat pada tahun ini
الْبُخَارِيُّ صَاحِبُ " الصَّحِيحِ "
Al-Bukhari, pengarang kitab al-Sahih
Kemudian, Ibn Kathir menulis
فَنَزَحَ الْبُخَارِيُّ مِنْ بَلَدِهِ إِلَى بَلْدَةٍ يُقَالُ لَهَا: خَرْتَنْكُ. عَلَى فَرْسَخَيْنِ مِنْ سَمَرْقَنْدَ فَنَزَلَ عِنْدَ أَقَارِبَ لَهُ بِهَا، وَجَعَلَ يَدْعُو اللَّهَ أَنْ يَقْبِضَهُ إِلَيْهِ حِينَ رَأَى الْفِتَنَ ; كَمَا جَاءَ فِي الْحَدِيثِ: وَإِذَا أَرَدْتَ بِقَوْمٍ فِتْنَةً فَتَوَفَّنَا إِلَيْكَ غَيْرَ مَفْتُونِينَ
ثُمَّ اتَّفَقَ مَرَضُهُ عَلَى إِثْرِ ذَلِكَ، فَكَانَتْ وَفَاتُهُ لَيْلَةَ عِيدِ الْفِطْرِ، وَكَانَتْ لَيْلَةَ السَّبْتِ، عِنْدَ صَلَاةِ الْعِشَاءِ وَصُلِّيَ عَلَيْهِ يَوْمَ الْعِيدِ بَعْدَ الظُّهْرِ مِنْ هَذِهِ السَّنَةِ - أَعْنِي سَنَةَ سِتٍّ وَخَمْسِينَ وَمِائَتَيْنِ -
Kemudian, al-Bukhari pun pindah keluar daripada Bukhara ke negeri yang dinamakan sebagai Khartank, dalam 2 farsakh daripada Samarqand. Beliau tinggal bersama ahli keluarga beliau di Samarqand. Beliau berdoa kepada Allah agar Allah mencabut nyawa beliau sepertimana Hadith: “Ya Allah, jika Engkau mahu turunkan fitnah kepada suatu kaum, wafatkan saya dalam keadaan tidak terkena fitnah tersebut” selepas beliau melihat fitan berlaku.
Setelah doa itu, al-Bukhari pun jatuh sakit. Beliau wafat ketika solat isyak pada malam sabtu hari raya. Solat jenazah beliau dilakukan selepas zohor hari raya pada tahun 256H
البداية والنهاية لابن كثير (٥٣٣/١٤)
Jadi mana mungkin Abu Hafs, yang telah mati 39 tahun sebelum Imam Bukhari tiba di kota Bukhara pada tahun 256 Hijrah, sempat berjumpa dan menasihatinya sebelum Imam Bukhari dihalau keluar dari Bukhara?
Maka sangat jelas bahawa kisah ini merupakan kisah palsu yang direka oleh mereka yang gagal sejarah.
5. Kefaqihan Imam Bukhari itu sesuatu yang diakui ulama lain, malah ada ulama yang menyatakan bahawa Imam Bukhari sama faqih dengan Imam Malik!
Al-Khatib Al-Baghdadi (wafat 463 Hijrah) meriwayatkan dari Ahmad ibn Abi Bakr Al-Madini yang menyatakan bahawa:
"Jika kamu melihat kepada Al-Bukhari dan (Imam) Malik, kamu akan nampak bahawa mereka setaraf dalam ilmu fiqh dan ilmu hadith."
[Al-Khatib Al-Baghdadi, Tarikh Baghdad, (2/19)]
Kesimpulannya:
1. Imam Bukhari, yang hafal kitab-kitab ulama faqih seperti Abdullah ibn Al-Mubarak pada usia 12 tahun, yang berguru dengan ulama fiqh sehebat Imam Ahmad ibn Hanbal dan Imam Al-Humaydi, tahu dengan ijma kaum Muslimin bahawa 2 orang yang minum susu haiwan ternakan tidak menjadikan mereka adik-beradik susuan; bahkan tajuk dalam Sahih Bukhari karangan beliau sendiri menunjukkan beliau tahu akan hal ini.
2. Maulana Wan Tahir patut bertaubat kerana menyebarkan kisah palsu dengan tujuan menghina Imam Bukhari.
Berdosa kita menyampaikan kisah palsu:
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ "
Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Cukuplah seseorang (dianggap) berdusta apabila dia menceritakan semua yang dia dengar."
[Sahih Muslim]
3. Akhir sekali, bukan semua kisah dalam kitab itu benar dan boleh dipakai;
Jangan terikut-ikut dengan perangai ceritakan apa sahaja yang anda jumpa dalam kitab. Itulah sebabnya dari dulu kita dah nasihat, tak boleh sebarkan cerita dengan alasan "ada dalam kitab", sebab wujudnya sesuatu kisah di dalam kitab itu bukan petanda sesuatu kisah itu benar.
Sekian.
Wallahualam.
Fb: su han wen shu
*********
Maulana Wan Tahir membawa sebuah kisah berkaitan fatwa Imam Bukhari lalu mengatakan bahawa beliau tidak faqih atau dengan kata lain tidak pandai dalam fiqh kerana fatwa itu. Boleh baca penerangan Su Han Wen Shu disini :
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=973513367131342&id=100034180625185&mibextid=Nif5oz
Walaupun kisah ini terdapat dalam kitab-kitab ulama bermazhab Hanafi termasuk Imam al Sarakhsi. Namum tiada sanad sahih yang pernah dikemukan oleh mana-mana ulama setakat ini.
Sebabnya ia merupakan kisah rekaan untuk menghalang Imam Bukhari daripada berfatwa. Telah diceritakan bahawa Ahlul Ra'yi menguasai kawasan khurasan dan Iraq, apabila Imam Bukhari datang ke sana untuk berfatwa maka ada pentaasub mazhab Hanafi yang tidak gemar akan hal ini. Maka dirancang satu pakatan jahat supaya pemerintah menentang Imam Bukhari lalu menghalangnya daripada berfatwa.Maka mereka menyebarkan kisah palsu tadi.
Al-Fadhil al-Laknawi mengatakan :
"Hikayat ini amat masyhur di dalam kitab-kitab ashab (pengikut) Mazhab Hanafi, pengarang kitab al-Inayah dan selainnya daripada mereka yang mensyarahkan kitab al-Hidayah ada menyatakannya. Akan tetapi pada aku, jauh sekali berlakunya hal sebegini jika dilihat kepada kemuliaan dan kedudukan al- Bukhari, kefahamannya yang amat mendalam, pandangannya yang luas serta fikirannya yang tajam, hal ini tidak asing lagi bagi sesiapa yang memperolehi manfaat daripada Kitab Sahihnya. Katakanlah bahawa sekiranya hal itu benar, maka seorang manusia itu tidak terlepas daripada melakukan kesalahan." [al-Fawaid al-Bahiyyah ms 12]
W/a
Comments
Post a Comment