MEREMEHKAN MANHAJ SALAF

 Hairan dan kecewa bila terdengar ada yang menganggap manhaj Salaf seakan "dangkal" apabila berhadapan dengan persoalan-persoalan daripada orang Kristian atau ateis, seperti pada tafsiran ayat {وَكَلِمَتُهُ أَلْقَاهَا إِلَىٰ مَرْيَمَ} dengan menganggap Salaf menterjemah "kalimah" itu literal sebagai perkataan Allah sedangkan ia merujuk kepada Nabi 'īsā AS. 

Lalu orang Kristian pun menjadikan ia sebagai hujah bahawa Nabi 'īsā AS itu adalah Tuhan kerana "perkataan Tuhan" itu bukanlah makhluk ciptaan. 

Maka Salaf dipersalahkan kerana hujah padang pasir yang "tidak mantap" atau "very weak" menurutnya. Sedangkan dia sendiri yang salah faham dengan tafsiran Salaf terhadap ayat ini.

Perkataan "kalimah" dalam ayat tersebut seperti yang disebut oleh Imam Ahmad tidak 'directly' merujuk kepada Nabi 'īsā AS, bahkan merujuk kepada kalimah perintah daripada Allah yakni "كُن" (jadilah) sebagaimana dalam firman Allah:

إِنَّ مَثَلَ عِيسَى عِنْدَ اللَّهِ كَمَثَلِ آَدَمَ خَلَقَهُ مِنْ تُرَابٍ ثُمَّ قَالَ لَهُ كُنْ فَيَكُونُ

"Sesungguhnya perbandingan (kejadian) Nabi 'īsā di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Nabi Ādam. Allah telah menciptakan Ādam dari tanah lalu berfirman kepadanya: Jadilah engkau! Maka jadilah ia" [Āli-'Imrān: 59].

Yakni sepertimana Nabi Ādam AS yang tidak berbapa dan tidak beribu pun mampu dicipta oleh Allah dengan semudah kalimah "كُن", maka begitulah jua dengan Nabi 'Īsā AS, dengan semudah perintah tersebut yang disampaikan kepada Maryam, maka terciptalah Baginda natijah daripada kalimah tersebut. Pemahaman ayat ini sama sekali bukan takwil yang memesongkan makna asal, bahkan termasuk dalam bab Tafsir al-Quran dengan al-Quran.

Manhaj Salaf bukan tidak memiliki disiplin ilmu dalam menghadapi persoalan seperti ini sehingga disangka dangkal atau caca merba. Jangan kerana tidak memahami manhaj Salaf dengan sebenarnya atau kerana tidak sepandangan, maka segala 'negativity' dilemparkan kepada Salaf? Sehinggakan kes murtad yang berlaku di Arab Saudi juga dipersalahkan manhaj Salaf yang dianggap "tidak memberikan akal haknya". 

Jika demikian, bagaimana pula dengan kes murtad yang berlaku di negara ini? 

Adakah kerana terlebih memberikan hak akal pula? 

Adakah perlu dipersalahkan manhaj tertentu? 

Sedangkan ramai sedia maklum dengan perubahan drastik politik, gaya hidup dan pemikiran di Arab Saudi yang dipengaruhi barat sehingga sedikit demi sedikit menghakis jati diri dan sinar ilmu di sana. Mengapa pula tidak diberi kredit bahawa manhaj Salaf inilah yang telah mengislamkan ratusan atau ribuan orang setiap bulan di sana? Adakah mereka yang memeluk Islam ini "kurang akal"nya?

Be wise and fair brother.

Cukup-cukuplah merendah-rendahkan manhaj Salaf dan mendabik dada sendiri. Manhaj ini telah berdiri lebih 1000 tahun lamanya dan memiliki ramai cerdik pandainya yang istiqamah. Jika kamu merasakan ilmu kalam yang kamu miliki itu mampu menjadi senjata yang menangkis serangan pemikiran musuh Islam, tak apalah dan gunakanlah ia sebaiknya untuk membela agama. 

Jangan kerana kamu memiliki "busur panah", maka kamu perlekeh sahabat kamu yang memiliki "pedang" dalam medan yang sama. Betapa ramai para pendakwah Salafi di luar sana yang menjadi 'frontliners' berhadapan dengan golongan ateis dan non-muslim. Mereka juga memiliki kaedah tersendiri dalam berhadapan dengan mereka tanpa mengorbankan prinsip ilmu Salaf.

Di nusantara, mazhab Asyāirah adalah mazhab yang dominan. Di sesetengah benua atau negara lain, mazhab Salafiyyah juga besar pengaruhnya.Tidak mungkin untuk dipadamkan perselisihan prinsip ilmu yang terbina sejak sekian lama ini. 

Kita perlu akui, sukar untuk 'Asyāirah memahami prinsip Salafi dalam beberapa perbahasan, begitu juga Salafi yang sukar menerima metodologi Asyāirah. Berhujahlah bagaimana sekalipun, akhirnya pengharmonian hanya pada sudut muamalah sebagai saudara seagama dan sudut yang boleh disepakati bersama. Kita pernah bersama sepentas membicarakan isu ini.

Lalunya apa??

Masing-masing elakkanlah daripada memperlekeh atau memperkecil pihak yang tidak sepandangan. Tegakkan prinsip, sebarkan ilmu, perbetulkan salah faham, perjelaskan yang kelam. Jalan yang tiada titik temu, boleh saja bersetuju untuk tidak bersetuju dengan hemah dan adab.

-Dr. Kamilin Jamilin-

Comments

Popular posts from this blog

ALLAH DIATAS LANGIT DAN BERTEMPAT DILANGIT?

AKIDAH IMAM Abu Uthman al-Sobuni

MALAIKAT MAUT BERNAMA IZRAIL?