PERKATAAN IMAM ABU SA'ID 'UTHMAN AL-DARIMI TENTANG ALLAH
Kata Imam Abu Sa`id `Uthman al-Darimi -semoga Allah merahmatinya- :
Segala puji bagi Allah yang memiliki segala yang ada di langit dan di bumi serta apa yang ada di antara kedua-duanya dan yang ada di bawah tanah. Yang mengetahui perkara ghaib, tidak terluput dari pengetahuannya walau seberat semut yang halus, baik di langit mahupun di bumi. Dia mengetahui perbuatan makhluk-Nya yang tersembunyi dan yang terang-terangan, dan Dia mengetahui apa yang mereka kerjakan.
Kita memuji-Nya dengan segala puja puji, dan menyifatkan-Nya sebagaimana Dia sendiri menyifatkan diri-Nya, dan sebagaimana Rasul-Nya menyifatkan diri-Nya. Dialah: Allah, yang Maha Pemurah, yang Maha Mengasihani, yang Maha Dekat, yang Maha Memperkenankan, yang Maha Bercakap, yang Maha Berkata, yang Maha Berkehendak, dan yang Maha Berkemahuan. Dia Maha Melakukan apa yang Dia Mahu. Dialah yang Terawal sebelum segala sesuatu, dan Terakhir selepas segala sesuatu.
Segala urusan sebelum dan sesudahnya hanyalah milik-Nya. Hanya milik-Nyalah urusan penciptaan dan pemerintahan, Maha Berkat Allah, Tuhan sekalian alam. Dia memiliki nama-nama yang indah, [bertasbih kepadaNya segala yang ada di langit dan di bumi; dan Dialah Yang Gagah Perkasa, lagi Maha Bijaksana]. Dia mempunyai sifat menggenggam, membentang luas, bercakap, redha, marah, murka, sayang, benci, menyampah dan ketawa. Dia memerintah dan melarang.
Dia memiliki wajah yang mulia, pendengaran yang maha mendengar, penglihatan yang maha melihat, dan perkataan yang terang nyata. Dia memiliki dua tangan dan dua genggaman. Dia memiliki kekuatan, kekuasaan, keagungan dan ilmu yang azali. Dia senantiasa dan akan berterusan bersifat dengan sifat-sifat ini. Dia bersemayam di atas arasy-Nya, terpisah daripada makhluk-Nya, tanpa tersembunyi sesuatupun makhluk-Nya daripada-Nya.
Ilmu-Nya meliputi mereka dan penglihatan-Nya menembusi mereka, [tiada sesuatupun yang sebanding dengan-Nya, dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat]. Dengan Tuhan inilah kami beriman, hanya Dia yang kami sembah, kepada-Nya sahaja kami solat dan sujud. Sesiapa yang tujukan ibadatnya kepada tuhan yang bersifat sebaliknya, maka dia hanyalah menyembah selain Allah. Sembahannya itu bukanlah Tuhan. Dia kufur kepada Allah bukannya meminta keampunan-Nya.
- al-Radd `ala al-Jahmiyyah, halaman 31-32
قال الإمام أبو سعيد عثمان الدارمي رحمه الله:
الحمد لله الذي له ما في السماوات وما في الأرض وما بينهما وما تحت الثرى، عالم الغيب لا يعزب عنه مثقال ذرة في السماوات ولا في الأرض، يعلم سر خلقه وجهرهم ويعلم ما يكسبون. نحمده بجميع محامده، ونصفه بما وصف به نفسه ووصفه به الرسول، فهو: الله الرحمن الرحيم قريب مجيب متكلم قائل وشاء ومريد، فعال لما يريد، الأول قبل كل شيء، والآخر بعد كل شيء، له الأمر من قبل ومن بعد، وله الخلق والأمر، تبارك الله رب العالمين، وله الأسماء الحسنى (يسبح له ما في السموت والأرض وهو العزيز الحكيم)، يقبض ويبسط، ويتكلم ويرضى، ويسخط ويغضب، ويحب ويبغض، ويكره ويضحك، ويأمر وينهى، ذو الوجه الكريم، والسمع السميع، والبصر البصير، والكلام المبين، واليدين والقبضتين، والقدرة والسلطان والعظمة والعلم الأزلي، لم يزل كذلك ولا يزال، استوى على عرشه فبان من خلقه لا تخفى عليه منهم خافية، علمه بهم محيط وبصره فيهم نافذ (ليس كمثله شيء وهو السميع البصير). فبهذا الرب نؤمن، وإياه نعبد، وله نصلي ونسجد، فمن قصد بعبادته إلى إله بخلاف هذه الصفات، فإنما يعبد غير الله وليس معبوده بإله، كفرانه لا غفرانه.
[الرد على الجهمية، ص ٣١-٣٢]
Comments
Post a Comment