SALAF TAKWIL?

 Mengatakan "في" dengan maksud "على" pada ayat "أَأَمِنْتُمْ مَنْ فِي السَّمَاءِ" [al-Mulk: 16] bukanlah takwil, kerana takwil mengikut definisi penggunaan ilmuwan المتأخرين (terkemudian) bermaksud mengalihkan makna suatu lafaz daripada maknanya yang jelas kepada makna lain yang tidak jelas kerana terdapat dalil yang menyokongnya. 

Perbahasan dan perselisihan tentang نيابة حروف الجر antara ilmuwan bahasa Kūfah dan Basrah agak tersohor dalam bab ini. Mereka yang berpandangan "في" boleh membawa maksud "على" berhujahkan dengan bahasa al-Quran yang fasih seperti ayat:

فَسِيحُواْ فِى ٱلۡأَرۡضِ أَرۡبَعَةَ أَشۡہُرٍ۬ 

"Oleh itu hendaklah kamu bergerak di atas muka bumi selama empat bulan" [al-Tawbah: 2].


Huruf al-Jar "في" di situ bermaksud atas atau meninggi (استعلاء) kerana sifat berjalan itu asalnya di atas tanah atau muka bumi, bukan di dalamnya.

Begitu juga dengan ayat:

وَلَأُصَلِّبَنَّكُمۡ فِى جُذُوعِ ٱلنَّخۡلِ

"Dan aku pasti akan menyalib kamu pada batang-batang pohon kurma" [Taha: 71].


Yakni sifat menyalib itu ialah tubuh diletakkan di atas kayu bukan ditanam di dalamnya.

Tafsiran ini tidak sama sekali menyanggahi prinsip Salaf tentang ketinggian (علو) Allah. Ia bukan penambahan atau penukaran makna sesuka hati tanpa disiplin atau berdasarkan hawa nafsu, bahkan ia sebahagian daripada makna yang bertepatan dengan bahasa Arab mengikut konteksnya.

Begitu juga dengan tafsiran Ibn 'Abd al-Bar yang berpandangan السماء pada ayat tersebut sebagai meninggi (di atas Arasy) juga bukanlah takwil yang memalingkan maksud asal, kerana kalimah السماء sendiri merupakan اسم الجنس  bagi ketinggian yang berasal daripada kalimah سما: السمو iaitu meninggi (الارتفاع والعلو). 

Misalnya: "سما إليه بصري" yang bermaksud "aku mengangkat pandanganku melihatnya". Hal ini telah disebutkan oleh Ibn al-Manzhūr dalam kamusnya Lisān al-'Arab [6/265]. 

Manakala pemahaman Arasy itu juga bukan penukaran lafaz daripada "langit" kepada "Arasy", sebaliknya sekadar penerangan dan penjelasan (البيان والتوضيح) daripada kesinambungan ayat-ayat lain, yakni Arasy merupakan makhluk yang tertinggi dan Allah meninggi mengatasi sekalian makhluknya.

"Hujah yang power-power" begini sebenarnya bukanlah baru dilontarkan kepada ulama Salaf, bahkan telah dijawab dan dibahas lama dulu dalam penulisan mereka.

الله يهدينا جميعا

-Dr. Kamilin Jamilin-

Comments

Popular posts from this blog

ALLAH DIATAS LANGIT DAN BERTEMPAT DILANGIT?

AKIDAH IMAM Abu Uthman al-Sobuni

MALAIKAT MAUT BERNAMA IZRAIL?