RUQYAH JAMPI SERAPAH

 Perkara asas berkaitan jampi serapah.


Sesiapa yang ingin masuk ke dalam perbincangan tentang pengamalan jampi@ruqyah perlu memahami latar berkaitan jampi itu sendiri. Ia termasuk dalam kategori ibadah khusus, atau ia adalah salah satu bentuk rawatan.


Jika ia adalah ibadah khusus, maka terpakailah kaedah 'Apa dalilnya? Nabi s.a.w tak buat begitu', dan semisalnya.


Jika ia adalah satu bentuk kaedah rawatan, maka pastilah kaedah di atas tidak terpakai.


Mari kita rujuk hadis di bawah:


عَنْ عَوْفِ بْنِ مَالِكٍ الْأَشْجَعِيِّ ، قال : كُنَّا نَرْقِي فِي الْجَاهِلِيَّةِ ، فَقُلْنَا : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، كَيْفَ تَرَى فِي ذَلِكَ ؟ ، فَقَالَ : " اعْرِضُوا عَلَيَّ رُقَاكُمْ لَا بَأْسَ بِالرُّقَى مَا لَمْ يَكُنْ فِيهِ شِرْكٌ

Auf bin Malik al-Asyja‘iy radhiallahu 'anhu berkata: Kami di zaman Jahiliyyah mempraktikkan jampi-jampian.  Maka kami bertanya: “Ya Rasulullah, apakah pendapat anda tentang hal ini?” Rasulullah menjawab: Tunjukkan kepada aku jampi-jampian kamu.  Tidak mengapa dengan jampi-jampian yang di dalamnya tidak mengandungi syirik.  [Sahih Muslim, Kitab as-Salam, hadis no: 4086]


Hadis ini menunjukkan jampi@ruqyah adalah satu kaedah rawatan yang sudah sedia wujud di zaman jahiliyyah. Datangnya Islam tidak menghapuskan kaedah rawatan ini secara total, sebaliknya menghadkan kepada jampi serapah yang tidak mengandungi unsur kesyirikan.


Oleh sebab ia adalah kaedah rawatan, maka penggunaan 'soalan, apa dalilnya, Nabi s.a.w tak buat' adalah satu soalan yang tidak diletakkan pada tempatnya.


Oleh kerana ia adalah kaedah rawatan, maka ia bercampurlah jua dengan praktik-praktik rawatan yang sedia ada mengikut praktis masyarakat setempat. Dengan penggunaan bahan ubatan seperti lada hitam, garam, air, daun bidara, dan bahan-bahan lain yang berbeza-beza mengikut masyarakat. Sebagaimana setiap masyarakat ada kaedah perubatan tradisional mereka, maka begitu jua dengan jampi, cuma jampi serapah yang diterima hanyalah yang tidak mengandungi unsur syirik.


'Unsur syirik' inilah elemen penting yang berbahaya dalam bab jampi serapah. Sebab adakalanya ia tidak jelas dalam lafaz-lafaz jampi serapah yang dibaca.


عَنْ زَيْنَبَ ، امْرَأَةِ عَبْدِ اللهِ عَنْ عَبْدِ اللهِ ، قَالَ : سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ : إِنَّ الرُّقَى ، وَالتَّمَائِمَ ، وَالتِّوَلَةَ شِرْكٌ 

Zainab radiallahu ‘anha, isteri kepada ‘Abdullah bin Mas’ud radiallahu ‘anhu meriwayatkan daripada suaminya, beliau berkata: Aku pernah mendengar Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Sesungguhnya jampi, tangkal, dan sihir pengasih adalah syirik.  


قَالَتْ : قُلْتُ : لِمَ تَقُولُ هَذَا ؟ وَاللَّهِ لَقَدْ كَانَتْ عَيْنِي تَقْذِفُ وَكُنْتُ أَخْتَلِفُ إِلَى فُلاَنٍ الْيَهُودِيِّ يَرْقِينِي فَإِذَا رَقَانِي سَكَنَتْ ، 

Zainab berkata: Kenapa engkau berkata begitu? Sesungguhnya mata aku sakit, lalu aku pergi menemui seorang yahudi dan dia menjampi aku.  Apabila dia menjampi aku, maka mata aku, mata aku akan kembali tenang.  


فَقَالَ عَبْدُ اللهِ : إِنَّمَا ذَاكَ عَمَلُ الشَّيْطَانِ كَانَ يَنْخُسُهَا بِيَدِهِ فَإِذَا رَقَاهَا كَفَّ عَنْهَا ، إِنَّمَا كَانَ يَكْفِيكِ أَنْ تَقُولِي كَمَا كَانَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ :

Lalu ‘Abdullah pun berkata: Sesungguhnya itu adalah kerja syaitan yang mana dia mengusik dengan tangannya, apabila bomoh itu menjampinya, maka syaitan itu berhenti.  Sesungguhnya cukup untuk engkau membaca apa yang Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam sering baca: 


 أَذْهِبِ الْبَأْسَ رَبَّ النَّاسِ ، اشْفِ أَنْتَ الشَّافِي ، لاَ شِفَاءَ إِلاَّ شِفَاؤُكَ شِفَاءً لاَ يُغَادِرُ سَقَمًا. 

Hapuskanlah kesusahan wahai Tuhan kepada manusia, sembuhkanlah sesungguhnya engkau Maha Penyembuh.  Tiada penyembuh melainkan sembuhan Mu yang tidak akan meninggalkan sebarang penyakit [Sunan Abi Daud, Kitab at-Tibb, hadis no: 3883.  Shaikh al-Albani mensahihkannya]


Oleh sebab itu para ulama meletakkan syarat pada jampi serapah. Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani rahimahullah berkata:


وقد أجمع العلماء على جواز الرقي عند اجتماع ثلاثة شروط أن يكون بكلام الله تعالى أو بأسمائه وصفاته وباللسان العربي أو بما يعرف معناه من غيره وأن يعتقد أن الرقية لا تؤثر بذاتها بل بذات الله تعالى

Dan sesungguhnya telah sepakat para ulama’ atas kebolehan jampi-jampian, kesepakatan ini adalah berdasarkan 3 syarat: 


(1) Bahawasanya ia adalah dengan Kalam Allah Ta‘ala atau Nama-nama-Nya dan sifat-sifat-Nya, 

(2) Dan (ia adalah) dengan bahasa Arab atau dengan apa yang dikenali maknanya, jika ia daripada selain (bahasa Arab), 

(3) Dan bahawasanya dia berkeyakinan bahawa jampi-jampian tersebut, bukanlah ia yang berpengaruh, tetapi yang berpengaruh adalah Allah Ta‘ala. [Fathul Bari]


Berapa ramaikah daripada kita yang apabila meminta dirawat oleh penjampi telah memenuhi syarat ini? Adakah kita tahu apa yang dibaca oleh penjampi? Jika bukan ayat al-Quran misalnya, adakah kita faham maksudnya sehingga kita dapat elakkan daripada jampi yang syirik?


Kita digalakkan menjampi manusia bila keadaan memerlukan, sebab ia termasuk dalam membantu orang lain.


قَالَ أَبُو الزُّبَيْر : وَسَمِعْتُ جَابِرَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ ، يَقُولُ : لَدَغَتْ رَجُلًا مِنَّا عَقْرَبٌ وَنَحْنُ جُلُوسٌ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فَقَالَ رَجُلٌ : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، أَرْقِي ، قَالَ : " مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمْ أَنْ يَنْفَعَ أَخَاهُ فَلْيَفْعَلْ

Abu Zubair berkata: Aku mendengar Jabir radiallahu ‘anhu berkata: Kala jengking telah menyengat seorang lelaki daripada kami ketika kami sedang duduk-duduk bersama Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, lalu seorang lelaki berkata: Ya Rasulullah, aku boleh menjampi.  Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: Sesiapa di kalangan kalian yang mampu memberi manfaat kepada saudaranya, maka lakukanlah.  [Sahih Muslim, Kitab as-Salam, hadis no: 4083]


Walaupun begitu, kita lebih digalakkan menjampi diri kita sendiri.


عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ: أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «يَدْخُلُ الجَنَّةَ مِنْ أُمَّتِي سَبْعُونَ أَلْفًا بِغَيْرِ حِسَابٍ، هُمُ الَّذِينَ لاَ يَسْتَرْقُونَ، وَلاَ يَتَطَيَّرُونَ، وَعَلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ»

Daripada Ibnu 'Abbas r.a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: "70 ribu orang daripada umat ku akan masuk ke dalam syurga tanpa hisab. Mereka adalah yang orang yang tidak meminta dijampi, tidak melakukan amalan tathayyur (sial), dan mereka bertawakkal kepada Tuhan mereka" [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Riqaq, Bab ayat 3 surah al-Thaqal, no: 6472].


-----


Walaupun praktis jampi seperti disebut di atas tidaklah terhad kepada sekadar apa yang Nabi s.a.w lakukan, pastilah sangat perlu dilihat kepada kesannya kepada masyarakat. 


Kita semua tahu, ada perawat yang merawat manusia menggunakan senapang mainan, sambil tembak pesakit, keluarlah bunyi 'Fire! Fire! Fire!'. Jika perawat ini, jampinya tidak mengandungi kesyirikan, adakah ia tetap perlu dibiarkan atas alasan 'tidak ada unsur syirik'. Bagaimana agaknya bila orang Islam melihat rawatan ini, yang mana diser


Berkaitan air jampi yang digunakan untuk disiram kepada kenderaan baru. Ia menimbulkan persoalan kerana sudah ada doa yang diajar Nabi s.a.w yang boleh dibaca apabila baru membeli kenderaan.


Jika dikaitkan dengan 'ain pula, praktis mandi dengan air wudhu@mandi pula adalah kepada benda yang memang dikenal pasti atau disyaki terkena 'ain. 


Jika dikaitkan dengan 'ain jua, sangat tidak cocok perbuatan itu dengan praktis pelakunya yang memuat naik di media sosial. Ini kerana 'ain ini berkaitan pandangan mata manusia kepada seseorang atau objek. Ada ulama mengkhususkan kepada pandangan yang diiringi hasad dengki. Ada yang kata cukup dengan rasa takjub sangat tanpa disertai pujian kepada Allah, boleh menyebabkan terkena 'ain. Jadi, pelik pula jika renjisan air untuk jampi merawat 'ain, atau nak elak 'ain, dalam masa yang sama disiarkan pula untuk tatapan ribuan orang di media sosial.


Jika dilihat fatwa ulama yang bertebaran seperti fatwa Shaikh Ibnu Jibrin, Shaikh Ibnu al-Uthaimin berkaitan menyiram kenderaan, semua fatwa itu dalam konteks kenderaan yang memang disyaki terkena 'ain.


Jika berhujahkan 'keluasan praktis ruqyah', hujah ini nampak benar, cuma perlu jua diperhalusi perlaksanaannya, supaya tidak membuka pintu kerosakan kepada umat Islam. Kita tidak mahu membuka pintu kepada kepercayaan sial, lalu orang yang membeli kereta menganggap sial itu ada pada kenderaan mereka.


Atas dasar itulah kita lihat sebahagian ilmuan di negara kita menolak amalan ini walaupun mereka mengetahui tentang kaedah rawatan 'ain dengan cara menyiram air. Ini semua adalah untuk menolak pintu kerosakan. Dr. Zulkifli al-Bakri menyebutkan:  Pada adat sebahagian pihak, amalan ini dilakukan dengan kepercayaan menolak bala yang bakal menimpa dan melindungi pemilik kereta daripada perkara yang tidak diingini. Bahkan ada di antara mereka yang meletakkan kaifiyat khusus untuk amalan ini. Mereka mengatakan bahawa selepas kereta tersebut dimandikan dengan air yasin, ia perlu dibiarkan selama 3 hari tanpa dimandikan dengan air biasa. Ia merupakan perkara khurafat yang dicampur adukkan agama dan kepercayaan mengarut padanya. Perbuatan ini juga jelas tiada sandarannya daripada al-Quran atau Sunnah Nabi SAW. Sesuatu amalan, meskipun ia disangka baik, akan tetapi tidak mempunyai sebarang dalil yang membenarkannya maka amalan tersebut tertolak. Dr. Zulkifli jua menukil pandangan Mufti Negeri Sembilan yang menyatakan ia khurafat. [https://maktabahalbakri.com/1750-mandikan-kereta-dengan-air-yasin/]


Dalam bahagian soal jawab jabatan Mufti Pulau Pinang pula disebutkan dengan lebih terperinci: 


1. Hukum Renjis / Bilas Kenderaan Bagi Menolak Musibah


Merenjis air jampi pada kenderaan boleh diumpamakan dengan upacara tepung tawar atau merenjis ketika pernikahan. Amalan dan petua ini bertujuan untuk menjauhkan sebarang musibah. Perkara ini masih banyak diamalkan dalam masyarakat melayu dan dianggap petua dan amalan nenek moyang.

Bagi menentukan hukum perbuatan itu, maka ia perlu diperhalusi dari pelbagai sudut. Hukumnya perlu dibahagikan kepada dua keadaan.

Pertama, jika acara itu bertujuan meniru budaya golongan bukan Islam maka perbuatan merenjis diharamkan kerana ia punca kepada membudayakan budaya orang kafir dalam amalan seharian. 

Kedua, jika acara merenjis atau menjirus air ke kenderaan dilakukan bagi memenuhi upacara pemujaan dan kepercayaan terhadap mitos bahawa amalan itu akan menghindarkan seseorang daripada segala malang seperti kemalangan atau kerosakan ia juga diharamkan kerana perbuatan dan iktikad tersebut mempunyai unsur kesyirikan kepada Allah SWT.

Kesimpulannya, cara permohonan yang terbaik ialah dengan solat dan berdoa kepada Allah SWT. Apabila membeli kenderaan baru, rumah baru atau mendapat sebarang bentuk nikmat maka bersolatlah dan berdoa kepada Allah SWT, mohon supaya diberi keselamatan dan kesejahteraan dengan anugerah nikmat daripada Allah SWT itu. Perbuatan sebegitulah yang menjadi sunnah dan amalan para salaf al-Salih yang patut kita contohi. Bukannya amalan yang diwarisi daripada golongan yang melakukan kesyirikan kepada Allah SWT. Justeru perbuatan merenjis air jampi atau tepung tawar kepada kenderaan atau apa-apa objek adalah suatu perbuatan yang boleh menimbulkan fitnah dan mirip kepada ajaran agama Hindu yang ada unsur pemujaan dan kesyirikan. Maka perbuatan tersebut adalah dilarang dan ia boleh menjadi haram apabila wujudnya unsur membudayakan budaya orang kafir dalam amalan seharian serta tidak patut dipraktikkan dalam masyarakat kita. Kemudian, jawapan disusuli dengan bolehnya menyiram air pada kenderaan yang disyaki terkena 'ain. 

Kesimpulannya, hukum menyiram atau merenjis kereta kerana disyaki kenderaan yang digunakan terkena ‘ain adalah harus sebagai ikhtiar dengan syarat tidak berlebih-lebihan, seumpama diadakan upacara khusus menepung tawar disertai dengan kenduri-kendara, bertahlil dan sebagainya. Sebaliknya yang afdal adalah disarankan untuk mengamalkan doa menaiki kenderaan secara istiqamah untuk menghilangkan sebarang bentuk gangguan, jin dan manusia serta memohon dijauhi segala musibah.

[ http://ekemusykilan.penang.gov.my/bank_detail.php?id=668 ] Rujuk jua soal jawab di web Mufti Selangor [ https://emusykil.muftiselangor.gov.my/index.php/site/jawapan?id=1367 ]


Ringkasnya, saya berpendapat:


1- Perlu satu kawalan kepada pengamalan ruqyah. Walaupun tidak ada unsur syirik, praktisnya jangan sampai menyebabkan agama kita menjadi bahan ketawa [seperti guna pistol mainan, Fire! Fire! Fire!].

2- Tidak perlu upload di media sosial, sebab orang akan sangka praktis ruqyah ini sememangnya diajar dalam Islam, sedangkan kebanyakan cara itu hanyalah hasil pengalaman perawat sahaja. Menyebabkan timbul fitnah kepada agama kita.

3- Pendakwah dan ilmuan, galakkan dan promosi amalan-amalan yang memang datang daripada sunnah Nabi s.a.w. Pelbagai zikir dan doa perlindungan diajar oleh Nabi s.a.w.

4- Para agamawan perlu berhati-hati dengan tindakan mereka. Ditakuti membuka pintu kerosakan yang lain.

5- Tanamkan sifat bersangka baik sesama Muslim, jangan mudah mensyirikkan sesuatu benda tanpa asas yang kukuh.

6- Galakkan manusia menjampi diri sendiri, agar kebergantungan mereka tidak lagi kepada si penjampi [rujuk hadis 70 ribu masuk syurga tanpa hisab].


Paling akhir, apa pun perbezaan kita. Jagalah adab dan akhlak kita. Budaya troll, menganjing, bukan cara dakwah atau amar ma'ruf nahi munkar.


#MMMR

Comments

Popular posts from this blog

DOSA DAN ANCAMAN TIDAK MELURUSKAN SAF

IMAM AL GHAZALI KEMBALI KE MAZHAB SALAF (english)

TEMPAT KEDIAMAN IBLIS DI BUMI : BILIK AIR