[Asyairah dan al-Quran: Ulasan Terhadap Undian Netizen]

 [Asyairah dan al-Quran: Ulasan Terhadap Undian Netizen]


1. Saya telah membuat satu hantaran di Page Facebook ini 3 hari lalu berkenaan al-Quran berbahasa Arab yang diturunkan melalui perantaraan Jibril kepada Nabi sallallah alaih wasallam itu makhluk atau pun tidak.


2. Saya memberikan 2 pilihan jawaoan kepada netizen:


A. Kalam yang difirmankan oleh Allah

B. Makhluk yang diciptakan oleh Allah.


3. Alhamdulillah hantaran ini mendapat sambutan ramai. Setelah 3 hari, berikut adalah hasil undian:


i. Sebanyak 97% menjawab pilihan A iaitu al-Quran berbahasa Arab yang diturunkan kepada Nabi sallallah alaih wasallam itu adalah kalam yang difirmankan oleh Allah iaitu seramai 7647 orang.


ii. Manakala yang menjawab dengan pilihan B iaitu al-Quran berbahasa Arab itu adalah makhluk sebanyak 2% iaitu mewakili 164 orang sahaja. (Info setakat 16 Julai 2024, jam 11:27 pagi)


4. Ini petunjuk bahawa orang awam di Malaysia ini bukanlah berpegang dengan mazhab Ashairah. Ini kerana Ashairah menegaskan bahawa al-Quran berbahasa Arab itu adalah makhluk. Ia bukan kalam Allah yang sebenar kerana menurut mereka kalam Allah yang sebenar hanya ada pada zat Allah yang tidak bersuara dan tidak berhuruf. Ia juga tidak berjuzuk dan tidak berbahasa. Lafaz al-Quran yang ada pada kita sekarang ini adalah makhluk yang menunjukkan kepada kalam Allah. Al-Baijuri menjelaskan:


ومذهب أهل السنة أنّ القرآن بمعنى الكلام النفسي ليس بمخلوق، وأما القرآن بمعنى اللفظ الذي نقرؤه فهو مخلوق، لكن يمتنع أن يقال: القرآن مخلوق ويراد به اللفظ الذي نقرؤه إلا في مقام التعليم؛ لأنه ربما أوهم أنّ القرآن بمعنى كلامه تعالى مخلوق، ولذلك امتنعت الأئمة من القول بخلق القرآن


Maksudnya: Dan mazhab Ahlussunnah (al-Ashairah) bahawasanya al-Quran dengan makna kalam nafsi bukan makhluk. Manakala al-Quran dengan makna LAFAZ YANG KITA BACA ADALAH MAKHLUK. Tetapi tidak boleh untuk dikatakan: al-Quran makhluk dengan maksud lafaz yang kita baca melainkan pada situasi mengajar kerana boleh ia membayangkan maksud bahawa al-Quran dengan makna kalamNya (kalam nafsi) makhluk. Oleh itu, ramai ulama tidak mahu menyebutkan al-Quran makhluk. (Tuhfat al-Murid, hal. 160)


Justeru, pada mazhab al-Ashairah lafaz al-Quran yang kita baca ini lafaz siapa? Seorang tokoh mazhab al-Ashairah bernama Al-Baqilani menyatakan bahawa ia adalah kalam Jibril. (Al-Insaf, hal. 92)


5. Saya mempunyai kepercayaan kuat bahawa kebanyakan orang awam di Malaysia ini tidak tahu bahawa al-Ashairah berpegang kepada akidah lafaz al-Quran berbahasa arab adalah makhluk. Oleh itu, ramai yang memilih jawapan A ketika menjawab soalan saya sebelum ini.


6. Adakah pandangan al-Ashairah ini tidak mempunyai khilaf dan mesti diimani oleh semua aliran Ahlussunnah? Jawapannya tidak. Ada saja ulama muktabar yang menyatakan pendirian berbeza dengan mazhab al-Ashairah. Al-Bukhari menjelaskan:


سَمِعْتُ عُبَيْدَ اللَّهِ بْنَ سَعِيدٍ يَقُولُ: سَمِعْتُ يَحْيَى بْنَ سَعِيدٍ يَقُولُ: مَا زِلْتُ أَسْمَعُ مِنْ أَصْحَابِنَا يَقُولُونَ: إِنَّ أَفْعَالَ الْعِبَادِ مَخْلُوقَةٌ


قَالَ أَبُو عَبْدِ اللَّهِ: "حَرَكَاتُهُمْ وَأَصْوَاتُهُمْ وَاكْتِسَابُهُمْ وَكِتَابَتُهُمْ مَخْلُوقَةٌ، فَأَمَّا الْقُرْآنُ الْمَتْلُوُّ الْمُبَيَّنُ الْمُثَبَّتُ فِي الْمُصْحَفِ الْمَسْطُورُ الْمَكْتُوبُ الْمُوعَى فِي الْقُلُوبِ فَهُوَ كَلَامُ اللَّهِ لَيْسَ بِخَلْقٍ" 


Maksudnya: Saya mendengar Ubaidullah bin Said berkata: Saya mendegar Yahya bin Said berkata: Saya sentiasa mendengar daripada ashab kita berkata: Sesungguhnya perbuatan kita makhluk.


Abu Abdullah (al-Bukhari) berkata: Gerakan mereka, usaha mereka dan tulisan mereka makhluk. Manakala al-Quran yang dibaca, dijelaskan, ditetapkan dalam mushaf, dilembarkan, ditulis, dihafal dalam jiwa-jiwa (manusia) adalah kalam Allah bukan makhluk. (Khalq Af'al al-'Ibad, hal. 26)


Inilah kepercayaan ulama Ahlussunnah yang awal. Oleh kerana itulah, Ibn al-Jawzi mengkritik pendirian Abu al-Hasan al-Ash'ari berkaitan konsep kalam nafsi ini. Ibn al-Jawzi menegaskan:


علي بن إسماعيل بن أبي بشر، واسمه: إسحاق بن سالم بن إسماعيل بن عبد الله بن موسى بن بلال بن أبي بردة بن أبي موسى أبو الحسن الأشعري المتكلم

ولد سنة ستين ومائتين، وتشاغل بالكلام، 


وكان على مذهب المعتزلة زماناً طويلاً، ثم عنَّ له مخالفتهم، وأظهر مقالة خبطت عقائد الناس، وأوجبت الفتن المتصلة، وكان الناس لا يختلفون أن هذا المسموع كلام الله، وأنه نزل به جبريل عليه السلام على محمد صلى الله عليه وسلم، فالأئمة المعتمد عليهم قالوا: إنه قديم، والمعتزلة قالوا: مخلوق، فوافق الأشعرى المعتزلة في أن هذا مخلوق، وقال: ليس هذا كلام الله، إنما كلام الله صفة قائمة بذاته، ما نزل، ولا هو مما يُسمع، وما زال منذ أظهر هذا خائفاً على نفسه لخلافه أهل السنة، حتى إنه استجار بدار أبي الحسن التميمي حذراً من القتل، ثم نبغ أقوام من السلاطين فتعصبوا لمذهبه، وكثر أتباعه حتى تركت الشافعية معتقد الشافعي، ودانوا بقول الأشعري


Maksudnya: Beliau [al-Ash'ari] dilahirkan pada tahun 260H, mendalami ilmu kalam dan bermazhab Muktazilah pada tempoh yang panjang. Kemudian beliau meninggalkan fahaman mereka dan menerbitkan perkataan yang menggoncang akidah orang ramai serta mencetuskan bencana berterusan.


Sedangkan orang ramai tidak pernah mempertikaikan bahawa kalam yang boleh didengari [al-masmu'] itu adalah Kalamullah, ia diturunkan oleh Jibril عليه السلام ke atas Muhammad ﷺ.


Para imam-imam (Ahli Sunnah) yang menjadi sandaran orang ramai berkata ia qadim. Muktazilah pula berkata ia makhluk. Lalu al-Ash'ari menyepakati Muktazilah bahawa ia makhluk, dan berkata:


"Ini bukanlah Kalamullah, sesungguhnya kalam Allah ialah sifat yang berdiri dengan zat-Nya [Kalam Nafsi]. Ia tidak diturunkan dan tidak pula diperdengarkan."


Sejak kemunculan pandangan ini, beliau berterusan ketakutan pada diri sendiri kerana menyelisihi Ahli Sunnah, sehingga beliau berlindung di rumah Abu al-Hasan al-Tamimi kerana khuatir dibunuh.


Kemudian golongan pemerintah mengikut mazhabnya dan taksub kepadanya. Maka bertambahlah pengikutnya sehingga golongan Shafi'iyyah meninggalkan iktikad al-Shafi'i رضي الله عنه dan menganut fahaman al-Ash'ari. (Al-Muntazam, jil. 14, hal. 29)


7. Ada pihak menjelaskan bahawa teori kalam nafsi ini diambil daripada Ibn Kullab. Namun Al-Zahabi menyatakan bahawa pendirian Ibn Kullab ini tidak pernah disebutkan oleh mana-mana ulama sebelum beliau. Al-Zahabi berkata:


وكان يقول بأن القرآن قائم بالذات بلا قدرة ولا مشيئة . وهذا ما سبق إليه أبدا ، قاله في معارضة من يقول بخلق القرآن


Ibn Kullab berpegang bahawa al-Quran merupakan sesuatu yang berdiri pada zat Allah tanpa memerlukan qudrah dan kehendak. Tiada yang mendahului beliau dalam memegang pegangan ini. Beliau menyatakan perkara ini ketika menentang golongan yang menyatakan bahawa al-Quran itu makhluk. (Siyar A'lam al-Nubala', jil. 11, hal. 174)


Dengan ini jelaslah bahawa pegangan Ibn Kullab dan al-Ashairah dalam bab penciptaan lafaz al-Quran tidak dipegang oleh ulama Ahlussunnah dari kalangan Ahli Hadis. Oleh kerana itu al-Razi sendiri mengakui bahawa kalam nafsi adalah perkara yang hanya dibawa oleh golongan al-Ashairah sahaja.


Ramai orang awam di Malaysia juga tidak mengetahui hakikat ini.


Justeru, dakwaan asatizah bahawa Ashairah adalah majoriti di Malaysia perlu dinilai semula ketepatannya.


Dr Rozaimi Ramle

Comments

Popular posts from this blog

ALLAH DIATAS LANGIT DAN BERTEMPAT DILANGIT?

AKIDAH IMAM Abu Uthman al-Sobuni

MALAIKAT MAUT BERNAMA IZRAIL?