[𝐑𝐞𝐬𝐩𝐨𝐧 𝐊𝐞𝐩𝐚𝐝𝐚 𝐌𝐚𝐮𝐥𝐚𝐧𝐚 𝐖𝐚𝐧 𝐀𝐬𝐰𝐚𝐝𝐢 𝐓𝐞𝐧𝐭𝐚𝐧𝐠 𝐊𝐚𝐞𝐝𝐚𝐡 𝐇𝐚𝐝𝐢𝐬 𝐌𝐚𝐫𝐝𝐮𝐝 𝐔𝐬𝐭𝐚𝐳 𝐈𝐪𝐛𝐚𝐥]

 [𝐑𝐞𝐬𝐩𝐨𝐧 𝐊𝐞𝐩𝐚𝐝𝐚 𝐌𝐚𝐮𝐥𝐚𝐧𝐚 𝐖𝐚𝐧 𝐀𝐬𝐰𝐚𝐝𝐢 𝐓𝐞𝐧𝐭𝐚𝐧𝐠 𝐊𝐚𝐞𝐝𝐚𝐡 𝐇𝐚𝐝𝐢𝐬 𝐌𝐚𝐫𝐝𝐮𝐝 𝐔𝐬𝐭𝐚𝐳 𝐈𝐪𝐛𝐚𝐥]


Saya telah membaca ulasan Maulana Wan Aswadi ("Maulana") terhadap tulisan saya yang meluruskan kekeliruan Ustaz Iqbal Zain. Setelah membacanya, saya dapati ada beberapa kekeliruan yang Maulana lakukan melalui penulisannya ini. Berikut saya jelaskan:


𝟏. 𝐒𝐚𝐥𝐚𝐡 𝐅𝐚𝐡𝐚𝐦 𝐊𝐚𝐥𝐚𝐦 𝐀𝐥-𝐙𝐚𝐡𝐚𝐛𝐢 


Saya melihat Maulana menukilkan kalam al-Zahabi untuk membela kaedah Ustaz Iqbal.

Beliau berkata:


“𝘈𝘱𝘢𝘣𝘪𝘭𝘢 𝘜𝘭𝘢𝘮𝘢𝘬 𝘵𝘪𝘥𝘢𝘬 𝘣𝘦𝘳𝘴𝘦𝘱𝘢𝘬𝘢𝘵 𝘥𝘪 𝘢𝘵𝘢𝘴 𝘬𝘦𝘱𝘢𝘭𝘴𝘶𝘢𝘯 𝘴𝘶𝘢𝘵𝘶 𝘩𝘢𝘥𝘪𝘵𝘩, 𝘮𝘢𝘬𝘢 𝘬𝘪𝘵𝘢 𝘵𝘪𝘥𝘢𝘬 𝘣𝘰𝘭𝘦𝘩 𝘮𝘦𝘯𝘨𝘩𝘶𝘬𝘶𝘮 𝘩𝘢𝘥𝘪𝘵𝘩 𝘵𝘦𝘳𝘴𝘦𝘣𝘶𝘵 𝘴𝘦𝘣𝘢𝘨𝘢𝘪 “𝘔𝘢𝘶𝘥𝘩𝘶𝘬” 𝘴𝘦𝘤𝘢𝘳𝘢 𝘮𝘶𝘵𝘭𝘢𝘬. 𝘒𝘢𝘦𝘥𝘢𝘩 𝘪𝘯𝘪 𝘢𝘥𝘢 𝘥𝘢𝘴𝘢𝘳𝘯𝘺𝘢 𝘥𝘢𝘳𝘪 𝘱𝘢𝘳𝘢 𝘜𝘭𝘢𝘮𝘢𝘬 𝘏𝘢𝘥𝘪𝘴, 𝘥𝘪 𝘢𝘯𝘵𝘢𝘳𝘢𝘯𝘺𝘢 𝘢𝘱𝘢 𝘺𝘢𝘯𝘨 𝘥𝘪𝘴𝘦𝘣𝘶𝘵 𝘰𝘭𝘦𝘩 𝘈𝘻-𝘡𝘢𝘩𝘢𝘣𝘪 (𝘞-748𝘏) 𝘥𝘢𝘭𝘢𝘮 𝘬𝘪𝘵𝘢𝘣 𝘔𝘶𝘴𝘵𝘰𝘭𝘢𝘩𝘯𝘺𝘢 “𝘈𝘭-𝘔𝘶𝘲𝘪𝘻𝘢𝘩 𝘏𝘢𝘭𝘢𝘮𝘢𝘯 36”


Nukilan Maulana seharusnya diletakkan pada konteks yang betul. Saya bawakan teks penuh al-Zahabi untuk kita sama-sama lihat maksudnya yang sebenar. Al-Zahabi berkata:


الموضوع ما كان مَتْنُه مخالفاً للقواعد، وراويه كذَّاباً، كـ: "الأربعين الوَدْعانيَّة"، وكـ: "نسخة عليّ الرِّضَا" المكذوبةِ عليه. وهو مراتب: منه: ما اتفقوا على أنه كَذِب. ويُعرَفُ ذلك بإقرار واضعِه، وبتجربةِ الكذبِ منه، ونحوِ ذلك.  ومنه: ما الأكثرون على أنه موضوع. والآخَرُون يقولون: هو حديثٌ ساقطٌ مطروح، ولا ‌نَجسُرُ أن نُسمِّيَه موضوعاً. ومنه: ما الجمهورُ على وَهْنِه وسُقوطِه، والبعضُ على أنه كذِب


Maksudnya: “Hadis palsu (mawdhu') ialah hadis yang teksnya bercanggah dengan kaedah serta perawinya pendusta. Contohnya seperti kitab al-Arba'in al-Wad'aniyyah dan seperti naskah Ali al-Ridha yang dinisbahkan kepada Ali al-Ridha secara dusta. 


𝐇𝐀𝐃𝐈𝐒 𝐏𝐀𝐋𝐒𝐔 𝐈𝐍𝐈 𝐌𝐄𝐌𝐏𝐔𝐍𝐘𝐀𝐈 𝐁𝐄𝐁𝐄𝐑𝐀𝐏𝐀 𝐌𝐀𝐑𝐓𝐀𝐁𝐀𝐓: 


- 𝐃𝐈 𝐀𝐍𝐓𝐀𝐑𝐀𝐍𝐘𝐀 𝐈𝐀𝐋𝐀𝐇 𝐇𝐀𝐃𝐈𝐒 𝐘𝐀𝐍𝐆 𝐃𝐈𝐒𝐄𝐏𝐀𝐊𝐀𝐓𝐈 𝐏𝐀𝐋𝐒𝐔.  


Ia diketahui dengan pengakuan pemalsunya, pengalaman (ulama mengenal pasti) pembohongan pemalsu hadis dan seumpamanya. 


- 𝐃𝐈 𝐀𝐍𝐓𝐀𝐑𝐀𝐍𝐘𝐀 𝐉𝐔𝐆𝐀 𝐇𝐀𝐃𝐈𝐒 𝐘𝐀𝐍𝐆 𝐌𝐀𝐉𝐎𝐑𝐈𝐓𝐈 𝐔𝐋𝐀𝐌𝐀 𝐌𝐄𝐍𝐆𝐀𝐓𝐀𝐊𝐀𝐍: “𝐈𝐀 𝐏𝐀𝐋𝐒𝐔”, 𝐌𝐀𝐍𝐀𝐊𝐀𝐋𝐀 𝐔𝐋𝐀𝐌𝐀 𝐋𝐀𝐈𝐍 𝐏𝐔𝐋𝐀 𝐌𝐄𝐍𝐆𝐀𝐓𝐀𝐊𝐀𝐍: “𝐈𝐀 𝐇𝐀𝐃𝐈𝐒 𝐘𝐀𝐍𝐆 𝐆𝐔𝐆𝐔𝐑 𝐘𝐀𝐍𝐆 𝐃𝐈𝐁𝐔𝐀𝐍𝐆 𝐍𝐀𝐌𝐔𝐍, 𝐊𝐀𝐌𝐈 𝐓𝐈𝐃𝐀𝐊 𝐁𝐄𝐑𝐀𝐍𝐈 𝐌𝐄𝐍𝐀𝐌𝐀𝐊𝐀𝐍𝐍𝐘𝐀 𝐏𝐀𝐋𝐒𝐔”. 

- 𝐃𝐈 𝐀𝐍𝐓𝐀𝐑𝐀𝐍𝐘𝐀 𝐉𝐔𝐆𝐀 𝐈𝐀𝐋𝐀𝐇 𝐇𝐀𝐃𝐈𝐒 𝐘𝐀𝐍𝐆 𝐌𝐀𝐉𝐎𝐑𝐈𝐓𝐈 𝐔𝐋𝐀𝐌𝐀 𝐌𝐄𝐍𝐈𝐋𝐀𝐈𝐍𝐘𝐀 𝐋𝐄𝐌𝐀𝐇 𝐃𝐀𝐍 𝐆𝐔𝐆𝐔𝐑, 𝐌𝐀𝐍𝐀𝐊𝐀𝐋𝐀 𝐌𝐈𝐍𝐎𝐑𝐈𝐓𝐈 𝐔𝐋𝐀𝐌𝐀 𝐌𝐄𝐍𝐈𝐋𝐀𝐈𝐍𝐘𝐀 𝐃𝐔𝐒𝐓𝐀”.

Kesimpulan dari teks al-Zahabi di atas ialah hadis palsu terdiri daripada: 


a) Hadis yang disepakati palsu.


b) Hadis yang majoriti menghukumnya palsu, manakala ulama lain mengatakannya hadis gugur yang dibuang serta mereka tidak berani menghukumnya palsu.


c) Hadis yang majoriti ulama mengatakannya lemah, manakala sebahagian kecil ulama mengatakannya dusta.


Apabila dinukil penuh, jelas 𝐊𝐄𝐒𝐄𝐌𝐔𝐀𝐍𝐘𝐀 termasuk dalam kategori hadis palsu 𝐃𝐈 𝐒𝐈𝐒𝐈 𝐀𝐋-𝐙𝐀𝐇𝐀𝐁𝐈. Martabat kepalsuannya berbeza sesuai dengan kesepakatan dan perbezaan pandangan para ulama. 


Al-Zahabi menjadikan hadis palsu mempunyai beberapa martabat. Al-Zahabi meletakkan hadis yang ulama berkhilaf tentang statusnya termasuk dalam martabat kedua dan ketiga dalam kategori hadis palsu. 


Ini bukti jelas bahawa al-Zahabi tidak menjadikan khilaf sebagai penghalang untuk menilai sesebuah hadis sebagai palsu selagi ada bukti yang kuat menunjukkan hadis tersebut palsu. 


Kekeliruan mungkin timbul sama ada pada Maulana atau orang lain pada lafaz:


ولا نجسر أن نسميه موضوعا


Maksudnya: “Kami tidak berani untuk menamakannya palsu”. 


Jika kita mengembalikan dhamir atau kata nama pada perkataan نجسر kepada al-Zahabi, maksud ayat ini menjadi: 


“Kami (al-Zahabi) tidak berani menamakannya palsu”


Bagi saya ia adalah salah. Saya cenderung untuk mengatakan dhamir atau kata nama pada perkataan نجسر kembali kepada الآخرون iaitu golongan minoriti yang tidak berani memberikan status palsu kepada sesebuah hadis, sedangkan majoriti menghukumnya palsu


Maka makna sebenar teks al-Zahabi ini bermaksud begini:


Di antaranya (hadis palsu) juga ialah hadis yang majoriti ulama mengatakan: “Ia palsu”, manakala ulama lain pula mengatakan: “Ia hadis yang gugur dan dibuang (saqit matruh) dan kami (ulama tersebut) tidak berani menamakan ia palsu”.


Maksudnya, lafaz "kami tidak berani" itu bukannya pendapat al-Zahabi, sebaliknya minoriti ulama yang tidak berani menghukum hadis tersebut palsu. Namun al-Zahabi tetap menganggap ia termasuk dalam martabat kedua hadis palsu. Dengan kata lain, khilaf dalam penentuan hadis palsu tidak menghalangnya untuk menjadikannya termasuk dalam kategori hadis palsu. 


Ini disokong oleh Syeikh Ahmad Ma'bad seorang ulama hadis di Universiti al-Azhar yang juga membuat kesimpulan sama apabila beliau menghuraikan kalam al-Zahabi ini dengan katanya:


لكن كل هذا، لا يمنع، أو لا يجعل أنك لا تحكم بالوضع


Maksudnya: “Tetapi semua (khilaf ulama pada penilaian palsu) ini, tidak menghalang atau tidak menjadikan kamu tidak boleh menghukum hadis sebagai palsu”. (Lihat minit 23:59 di link youtube: https://youtu.be/a7w9oJgkGPw?si=A8hp95Be2c5fBMvM)


Apatah lagi jika karya-karya al-Zahabi diteliti, kita akan melihat terdapat hadis yang beliau sendiri hukum palsu, tetapi ia tidak dihukum palsu pada ulama lain contohnya ulasan beliau terhadap Mustadrak al-Hakim.


𝟐.  𝐌𝐚𝐮𝐥𝐚𝐧𝐚 𝐠𝐚𝐠𝐚𝐥 𝐟𝐚𝐡𝐚𝐦 𝐢𝐬𝐮 𝐮𝐭𝐚𝐦𝐚 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐝𝐢𝐛𝐢𝐧𝐜𝐚𝐧𝐠𝐤𝐚𝐧.


Jika Maulana mengikuti perbahasan saya dengan teliti, seharusnya beliau lebih faham akan apa isu yang dibangkitkan.


Isunya bukan sama ada sebuah hadis palsu boleh berlaku khilaf pada statusnya yakni ada yang kata palsu ataupun ada yang kata daif. 


Isunya di sini apabila ustaz Iqbal secara mutlak mengatakan kategori hadith daif yang mardud hanyalah hadis palsu yang disepakati kepalsuannya oleh semua Muhaddithin. 


Maksudnya, selagi tidak ada kesepakatan muhaddithin akan kepalsuan sebuah hadis, kita tidak boleh kata ia mardud (ditolak). Ini sebenarnya bercanggah dengan apa yang disebutkan Maulana sendiri. Maulana sendiri akui bahawa penghukuman kepada status hadis memerlukan perincian. 


Maulana berkata: 

“𝘕𝘢𝘮𝘶𝘯 𝘬𝘢𝘦𝘥𝘢𝘩 𝘪𝘯𝘪 𝘣𝘶𝘬𝘢𝘯𝘯𝘺𝘢 𝘬𝘢𝘦𝘥𝘢𝘩 𝘔𝘶𝘵𝘭𝘢𝘬, 𝘥𝘪 𝘴𝘢𝘯𝘢 𝘵𝘦𝘳𝘥𝘢𝘱𝘢𝘵 𝘵𝘢𝘩𝘳𝘪𝘳 𝘺𝘢𝘯𝘨 𝘛𝘌𝘙𝘗𝘌𝘙𝘐𝘕𝘊𝘐 𝘺𝘢𝘯𝘨 𝘢𝘬𝘢𝘯 𝘥𝘪𝘭𝘢𝘬𝘶𝘬𝘢𝘯 𝘰𝘭𝘦𝘩 𝘗𝘢𝘳𝘢 𝘜𝘭𝘢𝘮𝘢𝘬 𝘕𝘶𝘲𝘲𝘢𝘥 (𝘱𝘦𝘯𝘨𝘬𝘳𝘪𝘵𝘪𝘬 𝘩𝘢𝘥𝘪𝘵𝘩) 𝘺𝘢𝘯𝘨 𝘮𝘢𝘩𝘪𝘳 𝘥𝘢𝘭𝘢𝘮 𝘣𝘪𝘥𝘢𝘯𝘨 𝘫𝘢𝘳𝘩 𝘸𝘢 𝘵𝘢’𝘥𝘪𝘭, 𝘢𝘱𝘢𝘣𝘪𝘭𝘢 𝘵𝘦𝘳𝘫𝘢𝘥𝘪 𝘱𝘦𝘳𝘴𝘦𝘭𝘪𝘴𝘪𝘩𝘢𝘯 𝘥𝘪 𝘢𝘯𝘵𝘢𝘳𝘢 𝘮𝘦𝘳𝘦𝘬𝘢 𝘥𝘢𝘭𝘢𝘮 𝘮𝘦𝘯𝘦𝘯𝘵𝘶𝘬𝘢𝘯 𝘴𝘵𝘢𝘵𝘶𝘴 𝘴𝘶𝘢𝘵𝘶 𝘩𝘢𝘥𝘪𝘴 𝘴𝘢𝘮𝘢𝘥𝘢 𝘚𝘢𝘩𝘪𝘩, 𝘏𝘢𝘴𝘢𝘯, 𝘋𝘩𝘢𝘪𝘧 𝘮𝘢𝘩𝘶𝘱𝘶𝘯 𝘔𝘢𝘶𝘥𝘩𝘶𝘬.”


Ini bermaksud hadis tetap boleh dihukum palsu walaupun tidak berlaku kesepakatan pada penilaiannya. Yang ditekankan adalah tahrir yang terperinci. Dalam erti kata lain, perlu ada hujah kukuh yang menetapkan sama ada ia palsu atau tidak. Bukannya hadis mardud hanya pada hadis palsu yang ulama bersepakat tentang statusnya seperti dakwaan Ustaz Iqbal.


Jadi perbahasan tentang contoh ikhtilaf, pertembungan Naqid Mutasahil dan sebagainya, semua tidak relevan dalam perbincangan ini kerana ia bukan titik perbezaan antara kita. Jadi, secara tidak langsung tulisan Maulana sebenarnya menyanggahi kaedah yang Ustaz Iqbal letakkan. 


𝟑. 𝐌𝐚𝐮𝐥𝐚𝐧𝐚 𝐯𝐬 𝐚𝐥-𝐊𝐚𝐰𝐭𝐡𝐚𝐫𝐢 𝐛𝐞𝐫𝐤𝐞𝐧𝐚𝐚𝐧 𝐩𝐚𝐧𝐝𝐚𝐧𝐠𝐚𝐧 𝐚𝐥-𝐀𝐲𝐧𝐢.


Seterusnya, kita beralih kepada hujah berkaitan dengan hadis palsu tentang pujian terhadap Imam Abu Hanifah dan celaan terhadap Imam al-Syafi'i. 


Sebelum berbincang lebih jauh, saya tegaskan dari awal bahawa saya berpegang hadis ini palsu. Lafaz mencela Imam al-Syafi'i palsu, termasuklah lafaz memuji Imam Abu Hanifah juga palsu. 


Cuma, yang menjadi titik perbezaan antara saya dan Maulana ialah bahagian mana yang dianggap palsu dan apakah hadis ini sebenarnya cantuman dari dua lafaz yang berbeza (satu pujian terhadap Imam Abu Hanifah dan satu lagi celaan terhadap Imam al-Syafi'i)?


Maulana berpendapat riwayat yang pelbagai merujuk kepada pujian terhadap Imam Abu Hanifah dan inilah bahagian yang tidak dianggap palsu oleh al-Ayni. Adapun, bahagian celaan kepada Imam al-Syafi'i itu palsu dan hanya datang dari jalur Anas r.a. Maulana berkata:


𝘠𝘢𝘯𝘨 𝘥𝘢𝘵𝘢𝘯𝘨 𝘥𝘦𝘯𝘨𝘢𝘯 𝘴𝘢𝘵𝘶 𝘱𝘢𝘬𝘦𝘫 𝘩𝘢𝘯𝘺𝘢𝘭𝘢𝘩 𝘥𝘢𝘳𝘪 𝘳𝘪𝘸𝘢𝘺𝘢𝘵 𝘈𝘯𝘢𝘴 𝘉𝘪𝘯 𝘔𝘢𝘭𝘪𝘬 𝘳.𝘢,…


….𝘠𝘢𝘯𝘨 𝘥𝘪𝘮𝘢𝘬𝘴𝘶𝘥𝘬𝘢𝘯 𝘰𝘭𝘦𝘩 𝘈𝘭-𝘈𝘪𝘯𝘪 رح 𝘮𝘦𝘮𝘱𝘶𝘯𝘺𝘢𝘪 𝘣𝘢𝘯𝘺𝘢𝘬 𝘵𝘶𝘳𝘶𝘲 𝘴𝘦𝘳𝘵𝘢 𝘮𝘢𝘵𝘢𝘯 𝘥𝘢𝘯 𝘱𝘦𝘳𝘢𝘸𝘪 𝘺𝘢𝘯𝘨 𝘱𝘦𝘭𝘣𝘢𝘨𝘢𝘪 𝘢𝘥𝘢𝘭𝘢𝘩 𝘣𝘢𝘩𝘢𝘨𝘪𝘢𝘯 𝘬𝘦-2 𝘩𝘢𝘥𝘪𝘵𝘩 (𝘱𝘢𝘴𝘢𝘭 𝘐𝘮𝘢𝘮 𝘈𝘣𝘶 𝘏𝘢𝘯𝘪𝘧𝘢𝘩 رضى الله عنه) 𝘥𝘢𝘯 𝘣𝘶𝘬𝘢𝘯𝘯𝘺𝘢 𝘣𝘢𝘩𝘢𝘨𝘪𝘢𝘯 𝘱𝘦𝘳𝘵𝘢𝘮𝘢 𝘩𝘢𝘥𝘪𝘵𝘩 𝘪𝘢𝘪𝘵𝘶 𝘣𝘦𝘳𝘬𝘦𝘯𝘢𝘢𝘯 𝘐𝘮𝘢𝘮 𝘚𝘺𝘢𝘧𝘪𝘦 رضى الله عنه . 𝘓𝘢𝘭𝘶 𝘺𝘢𝘯𝘨 𝘥𝘪𝘱𝘦𝘳𝘬𝘢𝘵𝘢𝘬𝘢𝘯 له أصلاً ( 𝘢𝘥𝘢 𝘢𝘴𝘢𝘭 𝘣𝘢𝘨𝘪𝘯𝘺𝘢) 𝘰𝘭𝘦𝘩 𝘈𝘭-𝘈𝘪𝘯𝘪 𝘥𝘢𝘯 𝘴𝘦𝘰𝘭𝘢𝘩 𝘣𝘦𝘭𝘪𝘢𝘶 𝘮𝘦𝘯𝘺𝘢𝘭𝘢𝘩𝘪 𝘬𝘦𝘴𝘦𝘱𝘢𝘬𝘢𝘵𝘢𝘯 𝘜𝘭𝘢𝘮𝘢𝘬 𝘏𝘢𝘥𝘪𝘵𝘩 𝘵𝘦𝘯𝘵𝘢𝘯𝘨 𝘬𝘦𝘱𝘢𝘭𝘴𝘶𝘢𝘯 𝘩𝘢𝘥𝘪𝘵𝘩 𝘵𝘦𝘳𝘴𝘦𝘣𝘶𝘵 (𝘴𝘦𝘱𝘦𝘳𝘵𝘪 𝘺𝘢𝘯𝘨 𝘥𝘪𝘯𝘶𝘬𝘪𝘭 𝘰𝘭𝘦𝘩 𝘈𝘭-𝘘𝘢𝘳𝘪), 𝘩𝘢𝘯𝘺𝘢𝘭𝘢𝘩 𝘱𝘢𝘥𝘢 𝘣𝘢𝘩𝘢𝘨𝘪𝘢𝘯 𝘬𝘦-𝘥𝘶𝘢 𝘵𝘦𝘬𝘴 𝘩𝘢𝘥𝘪𝘵𝘩 𝘪𝘢𝘪𝘵𝘶 𝘣𝘦𝘳𝘬𝘦𝘯𝘢𝘢𝘯 𝘐𝘮𝘢𝘮 𝘈𝘣𝘶 𝘏𝘢𝘯𝘪𝘧𝘢𝘩, 𝘥𝘢𝘯 𝘣𝘶𝘬𝘢𝘯𝘯𝘺𝘢 𝘣𝘦𝘭𝘪𝘢𝘶 𝘮𝘦𝘯𝘰𝘭𝘢𝘬 𝘬𝘦𝘴𝘦𝘱𝘢𝘬𝘢𝘵𝘢𝘯 𝘜𝘭𝘢𝘮𝘢𝘬 𝘏𝘢𝘥𝘪𝘵𝘩 𝘵𝘦𝘯𝘵𝘢𝘯𝘨 𝘬𝘦𝘱𝘢𝘭𝘴𝘶𝘢𝘯 𝘣𝘢𝘩𝘢𝘨𝘪𝘢𝘯 𝘱𝘦𝘳𝘵𝘢𝘮𝘢 𝘵𝘦𝘬𝘴 𝘩𝘢𝘥𝘪𝘵𝘩 𝘪𝘢𝘪𝘵𝘶 𝘣𝘦𝘳𝘬𝘦𝘯𝘢𝘢𝘯 𝘐𝘮𝘢𝘮𝘶𝘯𝘢 𝘈𝘴-𝘚𝘺𝘢𝘧𝘪’𝘦𝘪 رضى  .الله تعالى عنه


Saya katakan Maulana sangat tidak cermat ketika mendakwa dakwaan ini. Jika Maulana lebih teliti, riwayat jalur Abu Hurairah juga datang dengan kedua-dua teks yang bercantum, bukan riwayat dari Anas r.a sahaja (𝐏𝐑𝐈𝐍𝐓 𝐒𝐂𝐑𝐄𝐄𝐍 𝟏 & 𝟐). Terdapat versi bercantum dan tidak bercantum bagi riwayat Anas r.a. Kesemua jalur sanadnya terdapat pemalsu hadis.


Saya bawakan lafaz penuhnya:


"سيَكُونُ فِي أُمَّتِي رَجُلٌ اسْمُهُ النُّعْمَانُ، وَكُنْيَتُهُ أَبُو حَنِيفَةَ هُوَ سِرَاجُ أُمَّتِي وَسَيَكُونُ فِي أُمَّتِي رَجُلٌ يُقَالُ لَهُ مُحَمَّدُ بْنُ إِدْرِيسَ، فِتْنَتُهُ عَلَى أُمَّتِي أَضَرُّ مِنْ إِبْلِيسَ"


Maksudnya: “Akan datang kepada umatku seorang lelaki yang bernama al-Nu'man, gelarannya Abu Hanifah. Dia adalah pelita umatku. Akan muncul dalam umatku lelaki yang dipanggil Muhammad bin Idris.  Bencananya lebih mudarat ke atas umatku berbanding Iblis”. 


Ini lafaz penuh hadis jalur Abu Hurairah dalam kitab-kitab riwayat seperti yang diriwayatkan oleh al-Khatib al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad (jil. 3, hal. 246-247) dan Ibn al-Jawzi melalui jalur al-Khatib dalam al-Maudhu'at (jil. 2, hal. 48-49). Namun tidak dinafikan ada sedikit perbezaan lafaz dalam kedua-dua kitab ini. Walau bagaimanapun, lafaz pujian dan celaan tetap ada.


Al-Khatib, Ibn al-Jawzi, al-Suyuti dan Ibn 'Iraq al-Kinani menilai hadis ini palsu. Manakala al-Ayni menerima hadis ini dari jalur Abu Hurairah atas alasan terdapat jalurnya banyak.  


Justeru, dakwaan Maulana bahawa lafaz celaan terhadap Imam al-Syafi'i itu hanya datang dari jalur Anas sahaja adalah dakwaan separuh masak dan cuai. 


Kemudiannya, kenapa Maulana mendiamkan pandangan al-Kawthari berkenaan hadis ini? 


Al-Kawthari menerima hadis pujian kepada Abu Hanifah ini dengan alasan berikut:


“Perawi-perawi hadis ini kebanyakannya daripada kalangan ulama. Mereka tergolong dalam golongan orang yang terbaik di kalangan umat-umat manusia. 𝐎𝐥𝐞𝐡 𝐢𝐭𝐮, 𝐝𝐞𝐧𝐠𝐚𝐧 𝐬𝐭𝐚𝐭𝐮𝐬 𝐦𝐞𝐫𝐞𝐤𝐚 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐬𝐞𝐝𝐞𝐦𝐢𝐤𝐢𝐚𝐧, 𝐭𝐢𝐝𝐚𝐤 𝐥𝐚𝐲𝐚𝐤 𝐮𝐧𝐭𝐮𝐤 𝐦𝐞𝐫𝐞𝐤𝐚 𝐦𝐞𝐫𝐞𝐤𝐚-𝐜𝐢𝐩𝐭𝐚 𝐩𝐞𝐦𝐛𝐨𝐡𝐨𝐧𝐠𝐚𝐧 𝐚𝐭𝐚𝐬 𝐧𝐚𝐦𝐚 𝐑𝐚𝐬𝐮𝐥𝐮𝐥𝐥𝐚𝐡 ﷺ sedangkan mereka tahu hadis yang diriwayatkan tentang ancaman terhadap golongan yang menipu atas nama Nabi ﷺ secara sengaja boleh terkena pada mereka”. (al-Ta'nib, hal. 61)


Jika melihat kepada alasan al-Kawthari, perawi yang meriwayatkan hadis pujian terhadap Abu Hanifah bukanlah pemalsu hadis. Mereka adalah ulama yang terbaik dalam golongan umat ini. Maksudnya menurut neraca al-Kawthari, perawi-perawi hadis ini adalah orang baik yang takut meriwayatkan hadis palsu. Perlu diingat perawi yang dipuji oleh al-Kawthari ini juga adalah perawi yang meriwayatkan lafaz celaan kepada Imam al-Syafi'i.


Justeru, jelas di sini al-Kawthari telah bercanggah dengan pandangan Maulana.


𝟒. 𝐓𝐢𝐝𝐚𝐤 𝐊𝐨𝐧𝐬𝐢𝐬𝐭𝐞𝐧 𝐃𝐚𝐥𝐚𝐦 𝐏𝐞𝐧𝐢𝐥𝐚𝐢𝐚𝐧 𝐇𝐚𝐝𝐢𝐬 𝐏𝐚𝐥𝐬𝐮.


Maulana membangkitkan isu al-Ayni hanya menerima sebahagian lafaz jalur Abu Hurairah iaitu pujian terhadap Abu Hanifah bukannya celaan terhadap Imam al-Syafi'i. Saya jawab seperti berikut:


i. Tiada keperluan untuk dipisahkan dua lafaz ini dengan alasan hanya perenggan memuji Abu Hanifah sahaja diterima. Ini kerana riwayat tersebut datang sekali dengan lafaz cemuhan kepada Imam al-Syafi'i dalam satu sanad dari perawi yang sama. Kedua-duanya datang dengan jalan al-Buraqi (pemalsu hadis) melalui jalur Abu Hurairah. 


Al-Khatib menjelaskan tentang jalur sanad al-Buraqi ini:


هكذا حدث به في بلاد خراسان، ثم حدث به بالعراق بإسناده، وزاد فيه أنه قال: وسيكون في أمتي رجل ‌يقال له محمد بن إدريس، فتنته على أمتي أضر من فتنة إبليس!! قلت: ما كان أجرأ هذا الرجل على الكذب، كأنه لم يسمع حديث رسول الله صلى الله عليه وسلم: من كذب علي متعمدا فليتبوأ مقعده من النار. نعوذ بالله من غلبة الهوى، ونسأله التوفيق لما يحب ويرضى


"Beginilah yang al-Buraqi riwayatkan di negeri Khurasan (lafaz tanpa cemuhan). Kemudian dia riwayatkan pula hadis yang sama di Iraq dengan sanadnya dan dia menambah: Akan datang pada umatku seorang lelaki yang dipanggil Muhammad bin Idris, bencananya ke atas umatku lebih mudarat berbanding Iblis. 


Saya (al-Khatib) katakan: Alangkah beraninya lelaki ini melakukan pembohongan. Seolah-olah dia tidak pernah mendengar hadis Rasulullah sallallah alaih wasallam: "Sesiapa yang berdusta di atas namaku dengan sengaja maka persiapkan tempatnya di neraka". Kita berlindung kepada Allah dari kekuasaan hawa nafsu dan kita memintaNya petunjuk taufiq untuk apa yang Dia suka dan Redha". (Tarikh Baghdad, jil. 3, hal. 247)


Ulama-ulama mazhab Hanafi semisal 'Ala' al-Din al-Haskafi yang membela hadis ini siap mengkritik Ibn al-Jawzi dengan tohmahan taksub apabila beliau menilai palsu hadis ini. Lafaz hadis yang dihukum palsu oleh Ibn al-Jawzi itu merangkumi pujian kepada Abu Hanifah dan celaan kepada Imam al-Syafi'i kerana ia adalah hadis yang sama dari perawi yang sama.


ii. Jika Maulana masih berkeras mahu memisahkan dua lafaz ini dengan mengatakan sebahagian diterima dan sebahagian ditolak, maka soalan-soalan berikut relevan untuk dijawab:


A. Adakah Maulana boleh terima lafaz pujian Imam Abu Hanifah yang datang dari seorang perawi sedangkan dia adalah orang sama yang meriwayatkan hadis palsu berkaitan celaan kepada Imam al-Syafi'i?


B. Jika benar separuh matan hadis ini, iaitu bahagian puji Imam Abu Hanifah boleh dinaiktaraf kepada status tidak palsu atas dasar lebih daripada 1 jalur, adakah lafaz celaan kepada Imam al-Syafi'i pun tetap dikira palsu juga, walaupun ia juga mempunyai lebih daripada 1 jalur?


Jika lafaz celaan kepada Imam al-Syafi'i tetap palsu walaupun terdapat lebih daripada 1 jalur, bagaimana lafaz pujian Imam Abu Hanifah dinaiktaraf atas dakwaan terdapat lebih daripada 1 jalur?


Bukankah sepakat ulama bahawa hadis palsu tidak boleh dinaiktaraf? 


Jika lafaz celaan kepada Imam al-Syafi'i bukan palsu, maka ia pastinya daif berat atau ringan. Jika begitu, menurut kaedah Ustaz Iqbal sebelum ini, hadis ini bukan hadis mardud kerana ia bukan palsu yang disepakati oleh muhaddithin. Sanggupkah kita anggap hadis celaan kepada Imam al-Syafi'i ini bukan mardud?


C. Maulana perlu ingat bahawa saya mengkritik kaedah Ustaz Iqbal yang berkata hadis palsu yang disepakati oleh muhaddithin sahaja yang dikategorikan sebagai mardud. Bagi saya, jika berlaku khilaf dalam penentuan hadis itu palsu atau tidak, ia tidak menghalang kita untuk menilai palsu hadis tersebut jika ada bukti dan hujah yang kukuh.


Ayuh kita kembali kepada isu ini. Menurut kaedah Ustaz Iqbal, hanya hadis yang disepakati palsu oleh muhaddithin saja yang dikira sebagai mardud. Manakala menurut al-Kawthari pula, perawi-perawi hadis pujian terhadap Imam Abu Hanifah ini adalah golongan ulama yang merupakan generasi terbaik. Maka pastinya riwayat mereka terbebas dari status palsu menurut al-Kawthari.


Perlu diingat bahawa riwayat pujian kepada Abu Hanifah ini adalah bersekali dengan cemuhan kepada Imam al-Syafi'i. Kedua-dua lafaz ini datang dari perawi yang sama. Jika lafaz pujian kepada Imam Abu Hanifah diterima kerana perawinya ulama terbaik menurut al-Kawthari, maka riwayat yang mencela al-Syafi'i tidak mardud kerana ia juga datang dari jalur perawi terbaik menurut al-Kawthari. Lalu, berlaku khilaf antara al-Kawthari dan majoriti muhaddithin dalam status perawi ini.


Persoalannya, adakah Maulana setuju jika Ustaz Iqbal konsisten dengan kaedah batilnya untuk mengatakan hadis ini tidak mardud kerana ada khilaf dalam status palsunya? Lalu, adakah perlu berlapang dada jika ada pihak menyebarkan hadis celaan kepada Imam al-Syafi'i ini dengan alasan muhaddithin tidak sepakat tentang statusnya?


𝟓. 𝐂𝐡𝐞𝐜𝐤𝐦𝐚𝐭𝐞 𝐌𝐚𝐮𝐥𝐚𝐧𝐚 𝐤𝐞𝐩𝐚𝐝𝐚 𝐔𝐬𝐭𝐚𝐳 𝐈𝐪𝐛𝐚𝐥?


Maulana dalam kesimpulan menyebutkan isu ini tidak ‘checkmate’ kepada Ustaz Iqbal:


𝘒𝘶𝘪𝘻 𝘪𝘯𝘪 𝘵𝘪𝘥𝘢𝘬 𝘮𝘦𝘯𝘫𝘢𝘥𝘪 𝘤𝘩𝘦𝘬-𝘮𝘢𝘵𝘦 𝘬𝘦𝘱𝘢𝘥𝘢 𝘈𝘭-𝘍𝘢𝘥𝘩𝘪𝘭 𝘜𝘴𝘵𝘢𝘻 𝘐𝘲𝘣𝘢𝘭 𝘴𝘦𝘩𝘪𝘯𝘨𝘨𝘢 𝘫𝘪𝘬𝘢 𝘣𝘦𝘭𝘪𝘢𝘶 𝘮𝘦𝘯𝘦𝘳𝘪𝘮𝘢 𝘩𝘢𝘥𝘪𝘵𝘩 𝘪𝘯𝘪 𝘱𝘢𝘭𝘴𝘶.


Jika Maulana faham isu yang dibincangkan, sebenarnya beliau sendiri telah mengenakan “checkmate” kepada Ustaz Iqbal kerana menurut neraca al-Kawthari lafaz celaan kepada Imam al-Syafi'i itu bukan pemalsu hadis. Maka berlaku khilaf pada statusnya palsunya.


Kemudian, jika benar mahu diasingkan perenggan pujian terhadap Imam Abu Hanifah daripada celaan terhadap Imam al-Syafi'i walaupun sanadnya sama, perenggan itu juga ada khilaf pada statusnya. 


Al-Ayni menerimanya. Manakala al-Khatib menilainya palsu. Bagaimana pula khilaf ulama pada status perenggan pertama yang memuji Imam Abu Hanifah ini? Adakah tidak boleh dianggap ia hadis mardud kerana status kepalsuannya tidak disepakati oleh ulama hadis menurut kaedah Ustaz Iqbal? Jika tidak boleh menganggapnya mardud maka adakah al-Khatib telah menyalahi kaedah apabila menghukumnya palsu? Adakah kita bersedia menerima riwayat pendusta semisal al-Buraqi ini? 


Saya mengharapkan agar kita semua bersikap jujur ketika membela. Ilmu hadis lebih utama untuk dijaga daripada membela rakan yang jelas tersalah. wallahu a'lam.


Dr Rozaimi Ramle

Al-Madinah al-Munawwarah (2024).




Comments

Popular posts from this blog

ALLAH DIATAS LANGIT DAN BERTEMPAT DILANGIT?

AKIDAH IMAM Abu Uthman al-Sobuni

MALAIKAT MAUT BERNAMA IZRAIL?