Imam Abu Uthman al-Sobuni

  Imam Abu Uthman al-Sobuni, dan akidahnya dalam kitab Aqidah al-Salaf Wa Ashabi al-Hadits. 


Alhamdulillah, antara kitab akidah yang saya dah khatam, dan saya selesa dengan akidah sebegini, yang 'simple', tidak tenggelam dalam perbahasan yang terlalu teknikal tentang sifat-sifat Allah, tidak menyamakan Allah dengan makhluk, tidak memalingkan dalil-dalil berkaitan sifat Allah kepada maksud yang lain, memahami maknanya, dan menyerahkan atau tafwidh hakikat kaifiyat atau 'bagaimananya' kepada Allah.


Imam Abu Uthman al-Sobuni berkata:


أصحاب الحديث، حفظ الله أحياءهم ورحم أمواتهم، يشهدون لله تعالى بالوحدانية، وللرسول صلى الله عليه وآله وسلم بالرسالة والنبوة،

Ahli al-Hadith, semoga Allah memelihara mereka yang masih hidup dan merahmati mereka yang telah meninggal dunia, menyaksikan keesaan Allah Ta'ala, dan menyaksikan kerasulan dan kenabian Rasulullah SAW. 


 ويعرفون ربهم عز وجل بصفاته التي نطق بها وحيه وتنزيله، أو شهد له بها رسوله صلى الله عليه وسلم على ما وردت الأخبار الصحاح به، ونقلته العدول الثقات عنه، ويثبتون له جل جلاله ما أثبت لنفسه في كتابه، وعلى لسان رسوله صلى الله عليه وسم،

 Mereka mengenal Tuhan mereka Azza wa Jalla dengan sifat-sifat-Nya yang disebutkan dalam wahyu dan kitab-Nya, atau yang disaksikan oleh Rasul-Nya SAW seperti yang disebutkan dalam hadis-hadis yang sahih, dan yang telah diriwayatkan oleh perawi-perawi yang adil dan terpercaya. Mereka menetapkan bagi-Nya, apa yang Dia tetapkan untuk diri-Nya dalam Kitab-Nya, dan melalui lisan Rasul-Nya SAW.


 ولا يعتقدون تشبيها لصفاته بصفات خلقه، فيقولون: إنه خلق آدم بيده، كما نص سبحانه عليه في قوله- عز من قائل: (يا إبليس ما منعك ان تسجد لما خلقت بيدي) ولا يحرفون الكلام عن مواضعه بحمل اليدين على النعمتين، أو القوتين، تحريف المعتزلة الجهمية، أهلكهم الله،

Mereka tidak mempercayai adanya penyerupaan sifat-sifat-Nya dengan sifat-sifat makhluk-Nya. Mereka berkata: Sesungguhnya Allah menciptakan Adam dengan tangan-Nya, seperti yang disebutkan dalam firman-Nya, yang bermaksud: (Wahai Iblis, apakah yang menghalangimu untuk bersujud kepada apa yang telah Aku ciptakan dengan kedua tangan-Ku) [Shad: 75]. Mereka tidak memalingkan kata-kata dari tempatnya dengan menafsirkan kedua tangan tersebut sebagai nikmat atau kekuatan, seperti yang dilakukan oleh golongan Mu'tazilah dan Jahmiyyah, semoga Allah membinasakan mereka.


 ولا يكيفونهما بكيف أو تشبيههما بأيدي المخلوقين، تشبيه المشبهة، خذلهم الله، وقد أعاذ الله تعالى أهل السنة من التحريف والتكييف،

Mereka juga tidak menentukan cara bagi kedua tangan tersebut atau menyerupakannya dengan tangan makhluk, seperti yang dilakukan oleh golongan Musyabbihah, semoga Allah menghina mereka. Allah Ta'ala telah melindungi Ahlus Sunnah dari penyelewengan dan menentukan bagaimananya (sifat Allah), 


 ومن عليهم بالتعريف والتفهيم، حتى سلكوا سبل التوحيد والتنزيه، وتركوا القول بالتعطيل والتشبيه، واتبعوا قول الله عز وجل: ا ليس كمثله شيء وهو السميع البصير).

Allah telah mengurniakan kepada mereka kefahaman yang benar, sehingga mereka mengikuti jalan tauhid dan penyucian (tanzih) [iaitu menyucikan Allah daripada sama dengan makhluk], dan meninggalkan kefahaman yang menggugurkan@menafikan (sifat-sifat Allah),  dan ajaran yang menyamakan (tasybih) [Allah dengan makhluk]. Mereka mengikuti firman Allah Ta'ala: (Tiada sesuatu pun yang serupa dengan Dia, dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat) [Al-Syura: 11].


Kata beliau lagi:


وكذلك يقولون في جميع الصفات التي نزل بذكرها القرآن، ووردت بها الأخبار الصحاح من السمع والبصر والعين والوجه والعلم والقوة والقدرة، والعزة والعظمة والإرادة، والمشيئة والقول والكلام، والرضا والسخط والحياة، واليقظة والفرح والضحك وغيرها من غير تشبيه لشيء من ذلك بصفات المربوبين المخلوقين،

Dan demikian juga mereka (Ahlu al-Hadits) berkata tentang semua sifat yang disebutkan dalam Al-Quran, dan yang disebutkan dalam hadis-hadis sahih seperti pendengaran, penglihatan, mata, wajah, ilmu, kekuatan, kemampuan, kemuliaan, kebesaran, kehendak,  berkata-kata, keredhaan, kemurkaan, kehidupan, kegembiraan, ketawa, dan sifat-sifat lain tanpa menyerupakan apa pun daripada sifat-sifat tersebut dengan sifat-sifat makhluk yang diciptakan.


 بل ينتهون فيها إلى ما قاله الله تعالى، وقاله رسوله صلى الله عليه وآله وسلم من غير زيادة عليه ولا إضافة إليه، ولا تكييف له ولا تشبيه، ولا تحريف ولا تبديل ولا تغيير، ولا إزالة للفظ الخبر عما تعرفه العرب، وتضعه عليه بتأويل منكر،

Sebaliknya, mereka berhenti pada apa yang telah disebutkan oleh Allah Ta'ala dan Rasul-Nya SAW tanpa menambah apa-apa, tanpa menentukan bagaimana caranya, tanpa menyerupakannya dengan makhluk, tanpa menyelewengkannya, tanpa menggantikan atau mengubah, tanpa mengalihkan lafaz khabar (tentang sifat-sifat Allah) daripada makna yang diketahui oleh orang Arab, serta tidak memberikan penafsiran yang munkar. 


 ويجرونه على الظاهر، ويكلون علمه إلى الله تعالى، ويقرون بأن تأويله لا يعلمه إلا الله، كما أخبر الله عن الراسخين في العلم أنهم يقولونه في قوله تعالى: (والراسخون في العلم يقولون: آمنا به، كل من عند ربنا. وما يذكر إلا أولو الألباب).

Mereka mengikutinya sesuai dengan zahirnya dan menyerahkan ilmunya kepada Allah Ta'ala, serta mengakui bahawa penafsirannya hanya diketahui oleh Allah, sebagaimana Allah telah mengkhabarkan tentang orang-orang yang mendalam ilmunya, bahawa mereka mengatakan dalam firman Allah Ta'ala: (Dan orang-orang yang mendalam ilmunya berkata: Kami beriman kepadanya, semuanya dari sisi Tuhan kami. Dan tiadalah yang mengambil pelajaran melainkan orang-orang yang berakal) [Ali Imran: 7].

.

Berkaitan Allah Istiwa atau bersemayam di atas 'Arsy pula, beliau menyebutkan:


ويعتقد أهل الحديث ويشهدون أن الله سبحانه وتعالى فوق سبع سموات على عرشه كما نطق به كتابه في قوله عز وجل 

Dan Ahl al-Hadith percaya dan menyaksikan bahawa Allah SWT berada di atas tujuh langit di atas Arasy-Nya sebagaimana disebutkan dalam Kitab-Nya dalam firman-Nya:


(إن ربكم الله الذي خلق السموات والأرض في ستة أيام، ثم استوى على العرش، يدبر الأمر، ما من شفيع إلا من بعد إذنه) 

“Sesungguhnya Tuhanmu ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam hari, kemudian Dia bersemayam di atas Arasy, mengatur segala urusan. Tidak ada seorang pun yang dapat memberi syafaat melainkan setelah ada izin-Nya” (Surah Yunus: 3).


وقوله في سورة الرعد: الله الذي رفع السموات بغير عمد ترونها، ثم استوى على العرش) 

Dan dalam firman-Nya dalam Surah ar-Ra’d: “Allah yang meninggikan langit tanpa tiang (sebagaimana) kamu melihatnya, kemudian Dia bersemayam di atas Arasy” (Surah ar-Ra’d: 2).


وقوله في سورة الفرقان (ثم استوى على العرش الرحمن، فاسأل به خبيرا) 

Dan dalam Surah al-Furqan: “Kemudian Dia bersemayam di atas Arasy, Tuhan Yang Maha Pemurah, maka tanyakanlah kepada orang yang mengetahui tentang Dia” (Surah al-Furqan: 59).


وقوله في سورة السجدة (ثم استوى على العرش) 

Dan dalam Surah as-Sajdah: “Kemudian Dia bersemayam di atas Arasy” (Surah as-Sajdah: 4).


وقوله في سورة طه: (الرحمن على العرش استوى) 

Dan dalam Surah Taha: “Tuhan Yang Maha Pemurah, yang bersemayam di atas Arasy” (Surah Taha: 5).


يثبتون له من ذلك ما أثبته الله تعالى، ويؤمنون به ويصدقون الرب جل جلاله في خبره، ويطلقون ما أطلقه سبحانه وتعالى من استوائه على العرش، ويمرونه على ظاهره ويكلون علمه إلى الله، ويقولون: (آمنا به، كل من عند ربنا، وما يذكر إلا أولو الألباب) كما أخبر الله تعالى عن الراسخين في العلم أنهم يقولون ذلك، ورضيه منهم، فأثنى عليهم به.

Mereka menetapkan untuk-Nya apa yang telah Allah tetapkan untuk diri-Nya, dan mereka beriman kepadanya dan mempercayai Tuhan yang Maha Suci dalam khabar-Nya, serta menyatakan apa yang Allah SWT sebutkan tentang bersemayam-Nya di atas Arasy. Mereka memahaminya dengan zahirnya dan menyerahkan ilmunya kepada Allah, dan mereka berkata: “Kami beriman kepadanya, semuanya dari sisi Tuhan kami, dan tiadalah yang mengambil pelajaran melainkan orang-orang yang berakal,” sebagaimana Allah SWT telah mengkhabarkan tentang orang-orang yang mendalam ilmunya bahwa mereka mengatakan demikian dan Dia meredhai mereka serta memuji mereka kerana itu.


Kemudian Imam al-Sobuni ada meriwayatkan beberapa riwayat perkataan salaf dengan sanadnya berkaitan hal ini (ada antara riwayat ini sanadnya lemah), antaranya:


عن أم سلمة في قوله تعالى: (الرحمن على العرش استوى) قالت: الاستواء غير مجهول، والكيف غير معقول، والإقرار به إيمان، والجحود به كفر.

Daripada Umm Salama dalam firman Allah SWT: “Tuhan yang Maha Pemurah yang bersemayam di atas Arasy,” dia berkata: "Bersemayamnya bukanlah perkara yang tidak diketahui, akan tetapi caranya tidak dapat difikirkan. Mengakuinya adalah keimanan, dan mengingkari-Nya adalah kekufuran."


سئل مالك بن أنس عن قوله: (الرحمن على العرش استوى) كيف استوى؟ قال: (الاستواء غير مجهول، والكيف غير معقول والإيمان به واجب والسؤال عنه بدعة وما أراك إلا ضالا وأمر به أن يخرج من مجلسه)

Imam Malik bin Anas ditanya tentang firman Allah SWT: “Tuhan yang Maha Pemurah yang bersemayam di atas Arasy,” Bagaimana Allah bersemayam? Dia berkata: "Bersemayam itu bukanlah sesuatu yang tidak diketahui, akan tetapi caranya tidak dapat difikirkan. Beriman dengannya adalah wajib, dan bertanya mengenainya adalah bid’ah. Aku tidak melihatmu melainkan seorang yang sesat." Lalu dia memerintahkan agar orang itu dikeluarkan daripada majlisnya.


Dalam riwayat lain yang Imam al-Sobuni riwayatkan, Imam Malik sangat marah dengan pertanyaan itu

عن جعفر بن عبد الله قال: جاء رجل إلى مالك بن أنس يعني يسأله عن قوله: (الرحمن على العرش استوى) قال: فما رأيته وجد من شيء كوجده من مقالته، وعلاه الرحضاء، وأطرق القوم، فجعلوا ينتظرون الأمر به فيه، ثم سري عن مالك فقال: الكيف غير معلوم، والاستواء غير مجهول، والإيمان به واجب، والسؤال عنه بدعه، وإني لأخاف أن تكون ضالا، ثم أمر به فأخرج".

Ja'far bin Abdullah berkata: Seorang lelaki datang kepada Malik bin Anas untuk bertanya tentang firman Allah: "Tuhan Yang Maha Pemurah, yang bersemayam di atas Arasy." Aku tidak pernah lihat beliau sangat terganggu sebagaimana marahnya beliau dengan soalan tersebut sehingga wajahnya sangat berpeluh, dan orang-orang di sekelilingnya tertunduk. Mereka menunggu untuk melihat apa yang akan dilakukan oleh Malik. Setelah keadaan reda, Malik berkata: "Bagaimana (Allah bersemayam) tidak diketahui, tetapi bersemayam itu bukanlah sesuatu yang tidak diketahui, beriman dengannya adalah wajib, dan bertanya mengenainya adalah bid’ah. Aku bimbang kamu adalah orang yang sesat." Kemudian dia memerintahkan agar lelaki itu diusir keluar.


وسئل أبو علي الحسين بن الفضل البجلي عن الاستواء، وقيل له كيف استوى على عرشه، فقال: أنا لا أعرف من أنباء الغيب إلا مقدار ما كشف لنا، وقد أعلمنا جل ذكره أنه استوى على عرشه، ولم يخبرنا كيف استوى.

Abu Ali al-Husain bin al-Fadl al-Bajali ditanya tentang bersemayamnya Allah SWT, dan ditanyakepadanya: Bagaimana Allah bersemayam di atas Arasy-Nya, lalu dia berkata: "Aku tidak mengetahui tentang perkara ghaib melainkan apa yang telah didedahkan kepada kita, dan Allah SWT telah memberitahu kita bahawa Dia bersemayam di atas Arasy-Nya, tetapi Dia tidak memberitahu kita bagaimana cara-Nya bersemayam."


Ali bin al-Husain bin Shaqiq berkata: Aku mendengar Abdullah bin al-Mubarak berkata:

" نعرف ربنا فوق سبع سموات على العرش استوى بائنا منه خلقه، ولا نقول كما قالت الجهمية إنه ها هنا " وأشار إلى الأرض. 

 "Kami mengetahui bahwa Tuhan kita berada di atas tujuh langit di atas Arasy-Nya, terpisah dari makhluk-Nya, dan kami tidak mengatakan seperti yang dikatakan oleh golongan Jahmiyyah bahwa Dia berada di sini," sambil menunjuk ke bumi.


Beliau juga meriwayatkan kalam Ibnu Khuzaimah yang terlampau keras dalam hal ini (Saya hanya menukilkan apa yang Imam al-Sobuni riwayatkan daripada Ibnu Khuzaimah, dan saya tidak berpegang dengan pendirian sebegini yang sampai mengkafirkan) :

وسمعت الحاكم أبا عبد الله في كتابه (التاريخ) الذي جمعه لأهل نيسابور، وفي كتابه (معرفة الحديث) اللذين جمعهما ولم يسبق إلى مثلهما يقول: سمعت أبا جعفر محمد بن صالح بن هانئ يقول: سمعت أبا بكر محمد بن إسحاق بن خزيمة يقول: من لم يقل بأن الله عز وجل على عرشه، فوق سبع سمواته، فهو كافر بربه، حلال الدم، يستتاب فإن تاب

وإلا ضربت عنقه، وألقي على بعض المزابل حتى لا يتأذى المسلمون ولا المعاهدون بنتن رائحة جيفته، وكان ماله فيئا لا يرثه أحد من المسلمين، إذ المسلم لا يرث الكافر، كما قال الني صلى الله عليه وسلم " لا يرث المسلم الكافر ولا الكافر المسلم " رواه البخاري.

Abu Bakr Muhammad bin Ishaq bin Khuzaymah berkata: "Barang siapa yang tidak mengatakan bahwa Allah SWT berada di atas Arasy-Nya, di atas tujuh langit-Nya, maka dia adalah kafir kepada Tuhannya, halal darahnya, mesti diminta bertaubat, jika dia bertaubat diterima, dan jika tidak maka dia harus dibunuh dan dibuang ke tempat pembuangan sampah agar orang Islam dan orang yang mendapat perlindungan tidak terganggu oleh bau busuk mayatnya. Hartanya menjadi rampasan yang tidak diwarisi oleh seorang pun dari orang Islam, kerana orang Islam tidak mewarisi harta orang kafir, sebagaimana sabda Nabi SAW: 'Orang Islam tidak mewarisi harta orang kafir dan orang kafir tidak mewarisi harta orang Islam,'" diriwayatkan oleh al-Bukhari.


Perkataan Imam al-Sobuni, dengan riwayat-riwayat yang beliau bawa menunjukkan bahawa, dalam isu istiwa atau bersemayamnya Allah di atas Arsy. Imam al-Sobuni berpegang bahawa Allah bersemayam di atas Arsy tanpa sama dengan makhluk. Riwayat-riwayat ini jua menunjukkan Imam al-Sobuni memahami maksud istiwa atau bersemayam pada zahirnya, dan yang Imam al-Sobuni tafwidhkan atau serahkan kepada Allah ialah bagaimana Allah bersemayam tersebut.


Ini pula pendirian Imam al-Sobuni berkaitan Allah nuzul atau turun ke langit dunia pada setiap malam.


ويثبت أصحاب الحديث نزول الرب سبحانه وتعالى كل ليلة إلى السماء الدنيا، من غير تشبيه له بنزول المخلوقين، ولا تمثيل ولا تكييف بل يثبتون ما أثبته رسول الله صلى الله عليه وسلم، وينتهون فيه إليه، ويمرون الخبر الصحيح الوارد بذكره على ظاهره، ويكلون علمه إلى الله .

Ahli hadis menetapkan bahawa Allah turun ke langit dunia setiap malam, tanpa menyamakan-Nya dengan turunnya makhluk, tanpa penyerupaan atau menentukan bagaimana caranya. Mereka menetapkan apa yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW dan berhenti di situ. Mereka menerima hadis yang sahih mengenainya secara zahir, dan menyerahkan pengetahuan tentangnya kepada Allah. 


Imam al-Sobuni membawakan beberapa Riwayat perkataan ulama silam berkaitan turunnya Allah ke langit dunia ini.


يا أبا يعقوب هذا الحديث الذي ترويه عن رسول الله صلى الله عليه وسلم " ينزل ربنا كل ليلة إلى السماء الدنيا. كيف ينزل؟ قال، قلت: أعز الله الأمير، لا يقال لأمر الرب كيف؟ إنما ينزل بلا كيف.

"Wahai Abu Ya'qub, hadis yang kamu riwayatkan daripada Rasulullah SAW bahawa Tuhan kita turun setiap malam ke langit dunia, bagaimana Dia turun?" Aku menjawab: "Muliakan Allah wahai Amir, tidak boleh dikatakan bagaimana bagi urusan Tuhan, tetapi Dia turun tanpa bagaimana."


حدثنا محمد بن سلام، سألت عبدالله بن المبارك عن نزول ليلة النصف من شعبان، فقال عبدالله: يا ضعيف ليلة النصف! ينزل في كل ليلة، فقال الرجل يا أبا عبدالله! كيف ينزل؟ أليس يخلو ذلك المكان منه؟ فقال عبدالله: ينزل كيف يشاء " 

Muhammad bin Salam berkata: Aku bertanya kepada Abdullah bin Al-Mubarak tentang turunnya Tuhan pada malam Nisfu Sya'ban, beliau menjawab: "Wahai orang yang lemah, Dia turun setiap malam. Aku berkata: "Wahai Abu Abdullah, bagaimana Dia turun? Tidakkah tempat itu kosong darinya?" Abdullah berkata: "Dia turun sebagaimana Dia kehendaki."


Sekali lagi Imam al-Sobuni menukilkan perkataan Imam Ibnu Khuzaimah.


وقال الإمام أبو بكر محمد بن إسحاق بن خزيمة في كتاب التوحيد الذي صنفه وسمعته من حامله أبي طاهر رحمه الله تعالى. باب ذكر أخبار ثابتة السند رواها علماء الحجاز والعراق في نزول الرب إلى السماء الدنيا كل ليلة من غير صفة كيفية النزول مع إثبات النزول نشهد شهادة مقر بلسانه، مصدق بقلبه، متيقن بما في هذه الأخبار من ذكر النزول من غير أن نصف الكيفية، لأن نبينا صلى الله عليه وسلم لم يصف لنا كيفية نزول خالقنا إلى السماء - الدنيا، وأعلمنا أنه ينزل، والله عز وجل ولى نبيه صلى الله عليه وسلم بيان ما بالمسلمين إليه الحاجة من أمر دينهم، فنحن قائلون مصدقون بما في هذه الأخبار من ذلك النزول، غير متكلفين للنزول بصفة الكيفية، إذ النبي صلى الله عليه وسلم لم يصف كيفية النزول. اهـ.

Imam Abu Bakar Muhammad bin Ishaq bin Khuzaymah berkata dalam kitab "At-Tauhid" yang dikarangnya dan yang saya dengar daripada Abu Tahir rahimahullah Ta'ala. Bab menyebutkan hadis-hadis yang sahih sanadnya yang diriwayatkan oleh ulama Hijaz dan Iraq mengenai turunnya Tuhan ke langit dunia setiap malam tanpa menyifatkan bagaimana turunnya disertai dengan menetapkan turunNya. Kami menyaksikan dengan pengakuan lisan, mempercayai dengan hati, dan yakin dengan apa yang disebut dalam hadis-hadis ini mengenai turunnya Tuhan tanpa kita menyifatkan bagaimana caranya, kerana Nabi kita ﷺ tidak menerangkan kepada kita bagaimana turunnya Pencipta kita ke langit dunia. Baginda hanya memberitahu bahawa Dia turun. Dan Allah Maha Agung lagi Maha Mulia mengajarkan kepada Nabi ﷺ apa yang diperlukan oleh umat Islam dalam urusan agama mereka. Oleh itu, kami mengatakan dan mempercayai apa yang terdapat dalam hadis-hadis ini mengenai turunnya Tuhan tanpa berusaha untuk menerangkan sifat bagaimana caranya, kerana Nabi ﷺ tidak menerangkan bagaimana turunnya.


Ini hanyalah sebahagian yang dapat saya nukilkan sekadar perkongsian kerana beberapa perkara:


1- Mengajak semua membaca kitab Imam al-Sobuni bertajuk Akidah al-Salaf wa Ashabil Hadits. Bacalah dan biarkan teks kitab beliau menyampaikan apa yang beliau pegang. Jangan sesekali cuba menafsirkan pendirian beliau dengan pendirian aliran yang pembaca ikuti. Saya melihat terdapat kecenderungan sebahagian pihak untuk memaksa-maksa teks kitab akidah susunan Imam al-Sobuni ini untuk selari dengan pendirian aliran mereka, walau jelas ia tak sama.


2- Saya jua mendapati ada ilmuan yang menyatakan Imam Abu Uthman al-Sobuni berakidah dengan akidah Asya'irah. Dakwaan ini bukan baru timbul, tetapi kelihatan penghujahan banyak berkisar kepada sejarah di mana Imam al-Sobuni mempertahankan ulama Asya'irah, belajar dengan ulama Asya'irah, disokong oleh ulama Asya'irah. 


Pada pendapat saya, apabila berbicara tentang akidah beliau, yang wajar dilihat ialah sumber utama daripada beliau iaitu kitab beliau sendiri. Hanya kerana berbaik, mempertahankan ulama aliran lain, tidaklah bermaksud seseorang itu daripada aliran itu.


Misalnya, jika ada seorang Asya'irah di Malaysia mempertahankan aliran Salafiyyah atau Wahhabiyyah daripada tuduhan takfir, tajsim, dan semisalnya; tidaklah patut kita terus menyatakan yang si fulan tadi itu beraliran Wahhabiyyah, dan bukan Asya'irah. 


Jika ada seorang yang secara jelas menzahirkan aliran pemikiran Salafiyyah atau Wahhabiyyah, dalam masa yang sama dia mempertahankan Asya'irah daripada dikeluarkan daripada saf Ahlus Sunnah, tidaklah bermaksud dia seorang Asya'irah.


Tambahan pula, bukanlah satu kepelikan dalam dunia keilmuan umat Islam di mana seorang murid belajar daripada guru yang berbeza aliran dengannya. Ia bukan satu kepelikan.


3- Imam Abu Uthman al-Sobuni menukilkan kalam-kalam Ibnu Khuzaimah daripada kitab al-Tawhid Imam Ibnu Khuzaimah. Sedangkan ulama Asyairah semisal Imam al-Razi mentohmah kitab itu sebagai kitab syirik kerana Imam Ibnu Khuzaimah menetapkan sifat-sifat Allah yang pada pandangan aliran lain itu bentuk menyerupakan Allah dengan makhluk. Bahkan Imam al-Razi telah menempelak Ibnu Khuzaimah dengan perkataan yang keras. Lihat perkataan Imam al-Razi di bawah:


مفاتيح الغيب ـ نسخة محققة (27/ 582)

واعلم أن محمد بن إسحاق بن خزيمة أورد استدلال أصحابنا بهذه الآية في الكتاب الذي سماه «بالتوحيد» ، وهو في الحقيقة كتاب الشرك ، واعترض عليها ، وأنا أذكر حاصل كلامه بعد حذف التطويلات ، لأنه كان رجلا مضطرب الكلام ، قليل الفهم ، ناقص العقل 

Dan ketahuilah bahawa Muhammad bin Ishaq bin Khuzaymah telah mengemukakan hujah para ulama kami berkaitan ayat ini dalam kitab yang dinamakan "At-Tauhid", yang sebenarnya adalah kitab syirik. Beliau mengkritiknya, dan saya akan menyebutkan intipati kata-katanya selepas membuang bahagian yang panjang, kerana beliau adalah seorang yang bicaranya tidak menentu, kurang faham, dan akalnya lemah.


Saya akhiri tulisan panjang ini agar kita kembali memfokuskan kepada membaiki iman kita agar ia membuahkan amal dan akhlak yang mulia. Imam al-Sobuni menyebutkan tentang etika Ahli al-Hadis, antaranya:


ويتواصون بقيام الليل للصلاة بعد المنام، وبصلة الأرحام وإفشاء السلام وإطعام الطعام، والرحمة على الفقراء والمساكين والأيتام، والاهتمام بأمور المسلمين، والتعفف في المأكل والمشرب والملبس والمنكح والمصرف، والأمر بالمعروف والنهي عن المنكر، والبدار إلى فعل الخيرات أجمع.

Dan mereka saling berpesan untuk mendirikan qiamullail, menyambung silaturahim, menyebarkan salam, memberi makanan, bersifat rahmah kepada orang miskin, fakir, dan anak yatim, serta mengambil berat tentang urusan umat Islam. Mereka juga berpesan untuk bersederhana dalam makan, minum, berpakaian, perkahwinan, dan perbelanjaan, serta mengajak kepada kebaikan, mencegah kemungkaran, dan segera melakukan semua kebaikan.


عن عمر بن حبيب قال: الإيمان يزيد وينقص 

Daripada 'Umar bin Habib, beliau berkata: Iman itu naik dan turun.


فقيل: وما زيادته وما نقصانه؟

Beliau ditanya: Apakah yang menaikkannya, dan apa pula yang menurunkannya?


 قال: إذا ذكرنا الله فحمدناه سبحانه فتلك زيادته، 

Beliau menjawab: Apabila kita mengingati Allah, lalu kita memujiNya, maka itulah pertambahan iman.


وإذا غفلنا وضيعنا ونسينا فذلك نقصانه.

Apabila kita lalai, melakukan perkara sia-sia, dan kita lupa, maka itulah perkurangan iman.


#MMMR

Comments

Popular posts from this blog

DOSA DAN ANCAMAN TIDAK MELURUSKAN SAF

IMAM AL GHAZALI KEMBALI KE MAZHAB SALAF (english)

TEMPAT KEDIAMAN IBLIS DI BUMI : BILIK AIR