MENGAMALKAN ZIKIR DAN DOA YANG WARID DARIPADA RASULULLAH
Dalam isu zikir dan doa, tidak dinafikan bahawa syarak memberikan keluasan pada keduanya tanpa mengehadkan pengamalan kepada bacaan yang ma’tsūr sahaja. Meskipun begitu, sentiasalah yang lebih utama untuk kita mengamalkan zikir dan doa yang wārid daripada Rasulullāh SAW.
Inilah sikap yang ditunjukkan oleh Al-Imām Al-Syāfi’e (w. 204 h). Beliau berkata :
ولا يضيق على أحد في مثل ما قال ابنُ عمر ولا غيره من تعظيم الله تعالى ودعائه مع التلبية ، غير أن الاختيار عندي أن يفرد ما روي عن النبي صلى الله عليه وسلم من التلبية ولا يصل بها شيئا إلا ما ذكر عن النبي صلى الله عليه وسلم ويعظم الله تعالى ويدعوه بعد قطع التلبية
Terjemahan : Tidak menjadi kesempitan ke atas seseorang (untuk beramal) dengan apa yang dibaca oleh Ibnu ‘Umar dan selainnya dari (bacaan) membesarkan Allah dan berdoa kepada-Nya bersekali dengan talbiah. Cuma yang terpilih di sisiku, seseorang itu menunggalkan bacaan talbiah yang diriwayatkan daripada Nabi SAW dan dia tidak menyambungkan ia dengan sesuatu melainkan apa yang disebutkan dari Nabi SAW, dan dia membesarkan Allah serta berdoa kepada-Nya setelah tamat dari talbiah.
Rujuk Al-Umm, Al-Syāfi’e (2/170)
Begitu juga dinukilkan daripada Al-Syaikh ‘Abdullāh bin ‘Alawi Al-Haddād (w. 1132 h), bahawa beliau berkata :
نحنُ في الصلاةِ نأتِي باللفْظِ الواردِ للاتِّباعِ ، وفي غيرِها نُسَيِّد
Terjemahan : Di dalam solat, kami membaca lafaz yang wārid dengan tujuan untuk mengikuti sunnah. Manakala pada selain solat, kami menyebut lafaz sayyiduna (ketika menyebut nama Rasulullāh SAW).
Rujuk Fatāwa Al-Solāt (Halaman 147).
Demikian Al-Syaikh ‘Abdullāh bin Mahfūz Al-Haddād, ketika ditanyakan berkenaan hukum menyebut ربنا ولك الحمد والشكر ketika i’tidāl, beliau mengakhiri jawapannya dengan menyebut :
ولكن الأولى بالمصلي الاقتصار على الوارد
Terjemahan : Akan tetapi yang lebih utama untuk orang yang solat ialah berpada dengan bacaan yang wārid.
Rujuk Fatāwa Al-Solāt (Halaman 133)
✍🏻 Muhammad Fahmi Rusli
Comments
Post a Comment