Muhaddith tidak faqih?
Muhaddith tidak faqih?
Akhir-akhir ini kedengaran kata-kata, Muhaddith tidak faqih yakni ahli hadis yang menghimpunkan hadis-hadis sebagai tidak faqih dengan erti tidak memahami dengan mendalam makna hadis yang diriwayatkan oleh mereka. Dengan itu, mereka tidak berupaya untuk mengeluarkan sendiri hukum daripada hadis dan terpaksa bergantung kepada ulama fiqh.
Dakwaan ini sebenarnya tidak tepat malah tersasar daripada kebenaran. Ini kerana,
(1) Penilaian sebagai seorang itu faqih atau muhaddith tidak dapat dibuat melainkan penilai itu sendiri hendaklah daripada ahli bidang berkenaan. Contohnya, seorang ahli kalam tidak boleh menilai bahawa ahli hadis tidak faqih kerana dia bukan ahli dalam bidang hadis mahupun dalam fiqh. Bidangnya hanyalah ilmu kalam.
(2) Bagaimana Ulama hadis dikatakan sebagai tidak faqih dan tidak faham hukum hadis yang diriwayatkan olehnya sedangkan hadis itu dalam bahasa Arab dan syarat periwayatan hadis dari penerimaan dan penyampaian mestilah memahami bahasa Arab, nahunya dan balaghahnya supaya apa yang diriwayatkan olehnya tidak tersalah lalu menyebabkan tersalah makna.
(3) Tambahan pula kebanyakan hadis yang diriwayatkan adalah secara makna dan diringkaskan daripada matan yang panjang. Syarat untuk meriwayatkan hadis secara makna hendaklah perawi itu mengetahui perbezaan makna lafaz jika ditukarkan dengan lafaz lain.
(4) Apakah teks hadis itu terlalu kabur dan rumit sehingga tidak dapat difahami oleh ahli hadis sehingga dia tidak mampu memahaminya dan mengeluarkan hukum daripadanya? Tidakkah apabila ahli hadis mengumpulkan pelbagai hadis di suatu tempat maka dia dapat memahami maknanya. Ini kerana hadis itu saling menafsirkan antara satu sama lain.
(5) Berdasarkan kepada metodologi penulisan kitab oleh para ulama hadis jelas bahawa mereka memiliki kefahaman yang mendalam terhadap hadis yang diriwayatkan dan pengelasan yang dibuat pada setiap hadis yang diriwayatkan. Semuanya itu diletakkan pada tempat yang sesuai dengan makna dan kefahamannya.
Penyusunan bab oleh imam hadis menunjukkan kepada kefahaman mereka. Hafiz Ibn Hajar berkata kefaqihan imam al-Bukhari terletak pada pembinaan tajuk-tajuk bab (tarjamatulbab). Demikian juga penyusunan Sahih Muslim walaupun tidak dinyatakan tajuk-tajuk secara spesifik namun ia disusun berdasarkan kepada kefahaman secara sistematik tentang hukum hakam agama. Tidak lupa juga kepada kehebatan Ibn Hibban dalam kitabnya yang asal kepada Sahih Ibn Hibban, al-Anwa' Wa al-Taqsim menzahirkan fikrah usuliyyah.
(6) Selain daripada pembinaan tajuk dalam kitab Sunannya, ketokohan Imam Tirmizi sebagai seorang faqih dapat dilihat beliau dapat menukilkan pendapat ahli ilmu dalam sesuatu masalah sejak daripada zaman sahabat sehingga zaman imam-imam mazhab. Ini menunjukkan bahawa imam Tirmizi menekuni setiap pendapat sama ada yang disepakati atau diperselisihkan oleh ulama di samping hadis yang menjadi pegangan mereka.
(7) Imam hadis seperti Ibnu Hibban selain dari berijtihad untuk menentukan kesahihan hadis, beliau juga menghuraikan hadis yang diriwayatkannya pada banyak tempat.
Kesimpulannya, para imam hadis terutamanya penyusun-penyusun kitab hadis adalah ulama hadis yang mempunyai kefahaman yang mendalam terhadap makna hadis. Mereka ini juga dinamakan sebagai fuqaha muhaddithin yang mempunyai manhaj tersendiri. Di kalangan mereka ada yang mengikuti mazhab imam tertentu, ada yang merupakan mujtahid mutlak yang tidak terikat dengan mana-mana mazhab.
Comments
Post a Comment