‘ULAMĀ` BERCERITA TENTANG DUYUNG.

 ‘ULAMĀ` BERCERITA TENTANG DUYUNG.

Duyung merupakan suatu makhluk yang sehingga kini masih belum dapat dibuktikan secara empirikal. Namun, kewujudan makhluk ini disebut-sebut oleh masyarakat seluruh dunia hingga perkhabarannya seolah-olah 'mutawatir'.

Ratusan tahun ke belakang, di era ketiadaan media massa dan kemudahan internet, para ‘ulamā` telah berbicara mengenai sosok tubuh makhluk ini, hukum memakan dan menikahinya, bahkan ada yang pernah melihatnya.

Sebelum pergi lebih jauh, disclaimer, tulisan ini sekadar santai-santai dan untuk mengisi masa lapang. Don't take it too serious.

Duyung dikenali dengan beberapa jenis nama di dalam kitab-kitab para ‘ulamā`, antaranya ialah, Ādamiyyat al-Bahr (آدمية البحر), Syaikh al-Bahr (شيخ البحر), Banāt al-Rūm (بنات الروم), Hūriyyat al-Bahr (حورية البحر) dan lain-lain.

al-Imām ibn Qayyim (751h) menyebutkan:

وما من صنف من اصناف حيوان البر الا وفي البحر امثاله حتى الانسان، والفرس والبعير.

“Dan tidak dijadikan haiwan-haiwan di darat melainkan ada yang seumpamanya di lautan, bahkan (ada yang berupa) manusia, kuda, dan unta” (Miftāh Dār al-Sa‘ādah: 1/204).

Imam al-Bujairimi al-Syafi'īe menyebutkan:

بنات الروم سمك ببحر الروم شبيه بالنساء ذوات شعور سبطة ألوانهن إلى السمرة ذوات فروج عظام وثدي وكلام لا يفهم يضحكون ويقهقهون وربما يقعن في أيدي بعض أهل المراكب فينكحوهن ثم يعيدوهن إلى البحر.

“Banāt al-Rūm ialah seekor ikan di laut yang menyerupai wanita. Ia memiliki rambut panjang yang terurai, warnanya agak coklat (brown), memiliki kemaluan dan payudara. Ia boleh bercakap tetapi tidak dapat difahami, mereka juga boleh ketawa. Adakala para nelayan tertangkap ikan ini, kemudian ia dinikahi dan dikembalikan lagi ke laut” (Tuḥfat al-Ḥabīb ‘alā Sharḥ al-Khatīb: 4/325).

Dikhabarkan Imam al-Hattab al-Rauyānī al-Syafi'īe antara orang yang berpengalaman melihat makhluk ini:

أنه كان إذا أتاه صياد بسمكة على صورة المرأة حلفه أنه لم يطأها.

“Sesungguhnya ketika didatangkan kepada al-Rauyānī oleh nelayan, seekor ikan dalam berbentuk seorang wanita, maka beliau meminta sumpah dari nelayan itu bahawa dia tidak pernah menyetubuhinya” (Tuḥfat al-Ḥabīb ‘alā Sharḥ al-Khatīb: 4/325).

Selain beliau, Kamāluddīn al-Dimairī al-Syafi'īe berkata:

إنسان الماء يشبه الإنسان، إلا أن له ذنبا. قال القزويني: وقد جاء شخص بواحد منها في زماننا، مقدر كما ذكرنا. وقيل: إن في بحر الشام، في بعض الأوقات من شكله شكل إنسان وله لحية بيضاء، يسمونه شيخ البحر، فإذا رآه الناس استبشروا بالخصب.

“Manusia laut adalah haiwan yang menyerupai manusia, namun ia memiliki ekor. al-Qazwainī berkata: “Ada orang pada zaman kami telah datang membawa haiwan ini, dengan bentuk yang telah kami sebutkan”. Selain itu, diceritakan: Sesungguhnya di laut Syām, ada beberapa ketika akan muncul haiwan yang bentuknya menyerupai manusia dan ia memiliki janggut berwarna putih, dan mereka menamakannya dengan ‘Syaikh al-Bahr’. Jika ia dilihat oleh manusia maka mereka akan memohon kesenangan dengan kehadirannya” (Hayāt al-Hayawān: 1/46).

Imam al-Zurqānī al-Mālikī pernah ditanya:  

آدمية البحر إذا تزوجها إنسان تكون معه في الجنة؟

“Sekiranya manusia laut itu dinikahi oleh manusia, adakah ia akan bersama manusia itu di syurga kelak?”

Beliau menjawab:

آدمية البحر من جملة البهائم لا يصح تزوجها وفي وطئها الأدب وتكون يوما القيامة ترابا كغيرها من البهائم.

“Manusia laut itu termasuk dalam kalangan haiwan, maka ia tidak boleh dinikahi, dan jika disetubuhi, maka pelakunya mesti dikenakan ta’dib/ta’zīr. Ia juga pada hari kiamat akan menjadi debu seperti haiwan-haiwan yang lain” (Ajwibat al-Zurqānī: 46).

Syaikh Sālih Fawzān yang merupakan ‘ulamā` masakini juga pernah ditanya hukum memakan makhluk ini, beliau menjawab:

فيه شيء من السمك على شكل إنسان يسمونه إنسان البحر يؤكل كل صيد البحر يؤكل ولو كان على شكل رجل أو شكل إمرأة نعم.

“Terdapat ikan yang memiliki bentuk seperti manusia yang mereka namakannya dengan manusia laut. Setiap haiwan laut yang diburu, ia boleh dimakan walaupun berbentuk seperti seorang lelaki atau wanita. Na’am”.

Konklusinya, duyung boleh dimakan, dipanggang, digrill dan dijadikan gulai. Haram dinikahi, bahkan dihukum ta’zīr bagi pelakunya, maka yang single jangan pernah cuba-cuba mengoratnya. Boleh jadi juga ia telah pupus atau sudah berada jauh di laut dalam.


Syaiful izhan

Comments

Popular posts from this blog

DOSA DAN ANCAMAN TIDAK MELURUSKAN SAF

IMAM AL GHAZALI KEMBALI KE MAZHAB SALAF (english)

TEMPAT KEDIAMAN IBLIS DI BUMI : BILIK AIR