“MEMBIDAS HUJJAH PSEUDO-INTELLECTUAL HELMI EFFENDY”

Dakwaan:

[ 1. Dakwah yang terlalu keras membidaahkan segala-galanya amalan penduduk Nusantara yang telah di-Islam-kan oleh majoriti ulama Sufi. ]

.

Jawapan:

Bid'ah membid'ah ni dah lama wujud dalam dunia Islam, Wahai Helmi Effendy. Pernah tak buka mana-mana Kitab Tarikh, Kitab Sirah? Bukan Wahabi yang mulakan dulu. Sebagai contoh, kita petik kisah ini:

“Pada tahun 447 Hijah, pertelingkahan antara Asyairah dan Hanabilah bermula kembali.

.

Golongan Hanabilah melarangan Asyairah Shafi’iyah dari membaca doa qunut, tarji’ dalam azan (yakni mengulang dua kalimah syahadah 2 kali dalam azan) dan juga membaca Basmalah secara Jahar (secara terang). Orang ramai terbahagi kepada golongan yang menyokong antara dua kelompok ini.

.

Persidangan yang diadakan oleh wakil Khalifah untuk mendamaikan dua kelompok ini ternyata menemui kegagalan apabila mereka terus dengan pertelingkahan mereka.

.

Golongan Hanabilah kemudiannya masuk ke dalam Masjid Asyairah Shafi’iyah dan melarang Imam Masjid tersebut dari membaca Basmalah secara Jahar.

.

Imam tersebut pun mengeluarkan Mushaf Al-Quran dan menyatakan: “Padamlah ia (Basmalah) jika kamu tidak mahu aku melafazkannya”.

Tamat.

.

Kejadian ini kemudiannya berlarutan sehingga terjadinya pergaduhan antara golongan Hanabilah dan Asyairah Shafi’iyah sehingga golongan Asyairah Shafi’iyah tidak berani keluar dari rumah mereka untuk menunaikan Solat Jumaat atau mana-mana Solat secara berjemaah di masjid-masjid.

.

Sekilas pandang, pertelingkahan ini mungkin nampak lebih kepada pertelingkahan hal-hal furu’ kerana perbezaan pendapat fiqh.

.

Namun jika dikaji secara mendalam, pertelingkahan ini berasal dari pertelingkahan Aqidah yang bermula pada tahun 445 Hijrah di antara Qadhi Abu Ya’la dan golongan Asyairah ketika itu.

.

Ini boleh dilihat daripada Ibn Kathir dan Ibn Al-Jawzi yang menggunakan perkataan “Asyairah” bagi menamakan golongan Shafi’iyah yang bertengkar dengan golongan Hanabilah ketika itu.

.

Dalam pertelingkahan ini, bermula rusuhan dan pergaduhan antara dua aliran ini. Dan ianya akan bertambah buruk pada generasi seterusnya.

.

Sumber:

Ibn Al-Jawzi, [Al-Muntazam, Jilid 8, m/s 163]

Ibn Kathir, [Al-Bidayah wa An-Nihayah, Beirut, Maktaba Al-Ma’arif, jilid 12, m/s 66]

.

Ini hanya satu contoh pertelingkahan dalam isu bid’ah. Hakikatnya pelbagai lagi pertelingkahan dalam dunia Islam yang berlaku sejak zaman Salaf.

.

Satu lagi aku tak faham dengan puak-puak The Patriots ni yang sentiasa berangan bahawa Dunia Islam adalah utopia sebelum munculnya gerakan Salafism, seolah-seolah tidak ada di antara mereka yang pernah baca Kitab Sirah atau mana-mana Kitab Tarikh untuk mengetahui betapa hebatnya pertelingkahan antara Para Ulama, pergaduhan Mazhab dan Ahli Falsafah. Saya bagi lagi satu contoh:

.

“Seorang pendakwah Asyairah mengajar di Masjid Al-Mansur di Baghdad. Di dalam khutbahnya, dia melaga-lagakan golongan Asyairah dan kelompok Hanabilah. Dia menceritakan tentang kelebihan Abul Hasan Al-Asya’ari dan mereka yang mengikut jejak langkahnya, manakala dia menuduh golongan Ashabul Hadith dan Hanabilah sebagai Mujassimah dan Musyabihah yang menyamakan Allah dengan makhluk-Nya.

.

Maka penyokong Ashabul Hadith menariknya dari kerusi tempat dia sedang mengajar, tetapi dia kembali semula ke kerusi tersebut.

.

Kemudian mereka tariknya dari kerusi tersebut, pecahkan kerusi itu dan gantikan dengan pendakwah dari golongan Ashabul Hadith untuk mengajar di Masjid itu.”

.

Sumber:

Ibn Al-Banna [Yaumiyyat Ibn Al-Banna, Jilid 19, m/s 15]

.

.

.

Ini adalah legasi kita, baik dan buruk, kegemilangan dan rusuhan dalam agama ini sudah lama berlaku, kita harus terima hakikat ini, dan bukannya sapu kisah-kisah sebegini bawah karpet dan tuduh semua masalah dunia Islam hari ini berlaku sebab kemunculan Salafism.

.

Ini adalah pemikiran yang dangkal, cetek dan escapism.

.

.

.

==============

Dakwaan:

[ 2. Tidak dapat menerima bahawa falsafah Yunani itu adalah tiang peradaban dunia dan pembentukan ilmu seperti sains dan kemudian mempengaruhi tamadun Islam. ]

Jawapan:

Falsafah Yunani tiang peradaban dunia? Dari mana dakwaan ini datang?

.

Bagaimana pula denga peradaban Cina yang dihalang untuk berjumpa dengan Orang-orang Greek dan Orang-Orang Rom oleh Orang-Orang Parthian?

.

Bagaimana pula dengan peradaban Mayan, Aztec, di Benua Amerika Selatan?

.

Bagaimana pula dengan peradaban Sassanid Parsi yang membina University Gundishapur, di mana darinya lahir pelbagai tabib-tabib dan doktor-doktor yang hebat sehingga Khalifah-Khalifah Bani Abbasiyah banyak menggunakan khidmat mereka?

.

Bagaimana dengan peradaban Mesir?

.

Bagaimana pula dengan peradaban India yang juga melahirkan tabib-tabib hebat yang mana banyak Maharaja Cina Dynasty Tang menggunakan khidmat mereka?

.

Dunia moden yang wujud hari ini adalah hasil dari campuran dan tapisan dari semua ilmu-ilmu peradaban dunia hari ini.

.

Tiada peradaban purba yang mampu mendakwa merekalah satu-satunya yang menyumbang kepada dunia moden hari ini. Ini adalah fahaman asas bagi mereka yang kaji sejarah dan dunia zaman moden.

.

Manakala Empayar Islam pula banyak mengambil ilmu dari seluruh dunia, Yunani (Falsafah, Fizik, Matematik), Parsi (Perubatan, Fizik, Matematik) , India (Perubatan, Matematik, Metallurgy yang menghasilkan besi terkenal, Damascus Steel) dan China (Teknik membuat kertas dan teknik menghasilkan gunpowder).

.

Hanya pada zaman Khalifah Al-Ma’mun, dengan pembinaan Bayt Al-Hikmah pada tahun 832 Masihi yang di mana Empayar Islam mula cenderung kepada falsafah Yunani. Itupun hanya sementara, kerana selepas zaman Khalifah Al-Mutawakil, Bani Abbasiyah tidak lagi cenderung kepada falsafah Yunani, dan terus mengambil manfaat dari pelbagai peradaban di sekitar mereka.

.

.

.

Sungguh amat dangkal dan cetek pemikiran mereka yang memikirkan bahawa adanya satu-satu peradaban atau falsafah yang merupakan “tiang peradaban dunia”.

.

.

.

==========================

Dakwaan:

[ 3. Tindakan ulama-ulama mutakallimin seperti Al-Imam Abul Hasan Al-Asy’ari dan Al-Ghazali membersihkan falsafah Yunani yang melahirkan Muktazilah. ]

Imam-imam ini dengan menggunakan method dan cara fikir falsafah Yunani untuk melawannya sehingga lahir seperti sifat 20 yang dilabelkan mereka sebagai bidaah dan menolak Al-Ashʿarī sebahagian ahlul sunnah wal-jamaah padahal ini ialah akidah empayar-empayar Islam seperti Uthmaniyah (sebenarnya lebih kepada Maturidiah, tetapi pemikiran aliran ini adalah kembar kepada Ashariah), Mamluk, Mughal, dan banyak lagi. Bahkan ada yang paling dasyat mengkafirkan akidah Ashari ini membuatkan aku jauh dengan mereka. 

.

Jawapan:

Ini lagi satu bukti yang saudara Helmi Effendy tidak pernah membaca atau meneliti kitab-kitab sejarah Islam. Abul Hassan Al-Asy’ari dan Abu Hamid Al-Ghazali dikecam teruk semasa hayat mereka, dan tiada Ulama-ulama Ahli Sunnah yang suka dengan cara mereka yang menggunakan falsafah Yunani untuk melawan hujjah Mu’tazilah. Buktinya? Mari kita lihat:

.

“Ketika Abul Hassan Al-Asy’ari mula tiba di Baghdad, Abu Muhammad Al-Hassan Al-Barbahari, seorang Ulama Hanbali ketika itu, amat benci dengan kaedah falsafah Abul Hassan Al-Asy’ari dalam membela fahaman Ahli Sunnah sehingga apabila Abul Hassan Al-Asy’ari datang berjumpa dengan Al-Barbahari untuk memberikan Kitab Al-Ibanah, Al-Barbahari menolak dan menyatakan tidak perlu dengan Kitab tersebut untuk membela fahaman Ahli Sunnah.”


Sumber: Ibn Al-Jawzi, [Al-Muntazam, Jilid 6, m/s 332]

.

Selepas wafatnya Abul Hassan Al-Asy’ari, fahaman Asyairah diharamkan oleh Khalifah Bani Abbasiyah:


“Khalifah Al-Qadir Billah telah mengeluarkan satu perintah pada tahun 408 Hijrah yang mewajibkan golongan Mu'tazilah untuk bertaubat dari pegangan mereka, dan melarang SEMUA jenis perbincangan Ilmu Kalam. Sesiapa yang melawan perintah ini akan dihukum, sama ada dibuang negeri atau hukuman ta'zir yang lain akan dikenakan terhadap mereka.

.

Pada tahun 409 Hijrah, Khalifah Al-Qadir Billah mengeluarkan satu lagi perintah yang mengisytiharkan bahawa sesiapa yang menyatakan bahawa Al-Quran itu makhluk adalah kafir.

.

Perintah ini didukung oleh Sultan Tugril Beg, dan juga Mahmud Ibn Sabuktakin, yang memerintahkan agar perintah ini dilaksanakan. Mahmud ibn Sabuktakin dengan pantasnya menjalankan perintah Khalifah ini dan menghukum sesiapa sahaja yang melanggar perintah ini, termasuk golongan yang dihukum oleh Mahmud ibn Sabuktakin adalah golongan Mu'tazilah, Rafidah, Qaramitah dan juga Asyairah!

.

Daripada mimbar-mimbar seluruh Negeri Kesultanan Seljuk, di Khurasan, Fars, Sidjistan, di kota-kota megah Nisapur sehinggalah di pekan-pekan kecil, para khatib mencela Abul Hasan Al-Asyari dan pengikut fahaman Asyairah, dan mengkafirkan sebahagian pengikut Asyairah! Ini berlaku pada awal kurun ke 5 Hijriyah, dan berterusan sehingga ke tahun 456 Hijrah

.

Perintah-perintah dari Khalifah yang dikeluarkan selepas tahun 420 Hijrah yang menjadi asas kepada I’tiqad Al-Qadiri yang disusun oleh anaknya, Khalifah Al-Qaim Billah. Perintah-perintah ini dipersetujui oleh satu persidangan ulama-ulama ketika itu, antara yang hadir dan mempersetujui perintah itu adalah Qadhi al-Qudhat ketika itu, Ibn Al-Shawarib.

.

Pada tahun 430 Hijrah, penggantinya, yakni Khalifah Al-Qaim Billah, telah menyusun perintah-perintah Khalifah Al-Qadir Billah dan membuat satu perintah yang dinamakan sebagai “I’tiqad Al-Qadiri”.

.

Di samping mengecam fahaman Mu’tazilah, perintah ini juga membantah fahaman Asyairah, lebih-lebih lagi berkaitan dengan isu Sifat Allah. Di hadapan Khalifah, Ulama-ulama telah berkumpul dan tanda tangan perintah ini, orang pertama yang tanda tangan mempersetujui perintah ini ialah Abul Hassan Al-Qaznawi, ulama tersohor Mazhab Shafi’i ketika itu. Ianya diikuti oleh ulama-ulama Hanafiyyah, kemudiannya ulama-ulama Hanabilah.

.

Sumber:

[Ibn Al-Jawzi Al-Muntazam fil Tarikh, Jilid 8, 25; Jilid 7, 287]

[Ibn Al-Athir, Al-Kamil fi At-Tarikh, Jilid 7, 299 (Tahun 408 Hijrah)]

[Ibn Al-Imad, Shadzarat al-Dzahab, Jilid 3, 186]

.

Maka tidaklah seperti yang disangka oleh Helmi Effendy, bahawa Asyairah diterima oleh semua kaum Muslimin sehinggalah pada zaman kewujudan gerakan Salafism. Kerajaan Bani Abbasiyah dan Kerajaan Turki yang berdekatan, seperti Kerajaan Ghaznawi pimpinan Sabuktigin dan Kerajaan Seljuk pimpinan Tughril Beg semuanya mengharamkan fahaman Mu’tazilah dan Asyairah. 

.

Hanya pada pemerintahan Sultan Alp Arslan dan Nizam Al-Mulk di mana fahaman Asyairah mula dibenarkan, namun begitu, mereka masih dalam kelompok kecil. Sehingga apabila kitab Maathalib Al-Asy'ari yang dikarang oleh Al-Ahwazi, Al-Ahwazi mencemuh Abul Hasan Al-Asy'ari hanya mempunyai empat (4) pengikut. Bukan 400, bukan 40, tetapi hanya empat (4) pengikut!

.

Apakah balasan Ibn Asakir (seorang ulama Asyairah terkemuka) terhadap tuduhan ini?

Di dalam kitab Tabyin Kadhib Al-Muftarid, Ibn Asakir membalas tuduhan ini dengan menyatakan:

يكفي اعتراف اساطين الاشعرية بقلة اتباعهم و بأن السواد الاعظم يخالفهم حتى قال ابن عساكر في تبيين المفتري :

( فإن قيل أن الجم الغفير في سائر الأزمان وأكثر العامة في جميع البلدان لا يقتدون بالأشعري ولا يقلدونه ولا يرون مذهبه ولا يعتقدونه وهم السواد الأعظم وسبيلهم السبيل الأقوم قيل لا عبرة بكثرة العوام ولا التفات إلى الجهال الغتام وإنما الإعتبار بأرباب العلم والاقتداء بأصحاب البصيرة والفهم وأولئك في أصحابه أكثر ممن سواهم ولهم الفضل والتقدم على من عداهم على ان الله عزوجل قال وما آمن من معه إلا قليل وقال عز من قائل وقليل من عبادي الشكور )

Secara mafhumnya, Ibn asakir berkata:

"Jikalau dikatakan kepada kami bahawa kebanyakkan orang, pada setiap zaman dan setiap tempat, tidak beriman kepada Aqidah (Abul Hasan) Al-Asy'ari, dan mereka tidak bertaqlid kepadanya, dan jumlah mereka adalah besar dan jalan mereka adalah lebih teguh,"

.

Ibn Asakir menjawab bahawa mereka yang berada di jalan yang benar adalah sedikit, dengan menggunakan dalil Ayat Al-Quran:

"...Dan hanya sedikit sahaja yang beriman kepadanya" [11:40] 

"...tetapi hanya sedikit sahaja hamba-Ku yang bersyukur! [34:13]

[Tamat petikan]

.

Dan ini adalah bukti yang nyata bahawa Asyairah bukanlah golongan majoriti;

.

Ibn Asakir tidak membidas kenyataan Al-Ahwazi yang menyatakan bahawa Al-Asy'ari hanya mempunyai 4 orang pengikut, malahan dia bersetuju dengan dakwaan itu dan menyatakan bahawa golongan minoriti Asyairah inilah yang berada di pihak yang benar.

.

.

.

Dari sini kita dapat lihat bahawa:

1. Pengaruh Asyairah adalah kecil sepanjang zaman Umat Islam sehinggalah ajaran mereka di dukung oleh Sultan Salahuddin Al-Ayyubi di Mesir dan Syam, manakala fahaman Asyairah pula disebarkan menggunakan kuasa tentera Ibn Tumart di Maghrib dan Andalus.

.

2. Al-Ahwazi adalah pengikut Ahmad ibn Salim dalam fahaman Salimiyyah, pecahan dari fahaman Ibn Kullab.

.

.

.

==================================

Dakwaan:

[ 4. Cara ulama-ulama Ashariah berhadapan dengan falsafah Yunani lebih dilihat murni pada mata aku sebab ia meraihkan perbahasan yang sebenar. Mereka terjun ke dalam falsafah untuk membersihkan falsafah, bukan menolak dari luar. ]

.

Jawapan:

Lebih murni? Kalau begitu, mengapa Ulama-ulama sezaman dengan Imam Ghazali menolak fahaman beliau? Perlu diingat, bukan sahaja Ulama-ulama Athari yang menolak fahaman falsafah Imam Ghazali, tetapi Ulama-ulama Maliki Asyairah juga menolak fahaman Falsafah Imam Ghazali. Kita lihat contoh:

.

Sheikh Rashid Ibn Rashid Al-Waidi Al Maliki: (wafat pada 675H) menyatakan di dalam kitabnya “Al Halal Wal Haram” bahawa dia mendengar Imam Abdullah Ibn Musa Al-Fasytali Al-Maliki berkata:


“Jika aku bertemu dengan kitab-kitab Al-Qushayri, aku akan membuangnya ke dalam laut; begitu juga dengan kitab-kitab Al-Ghazali.”

.

Qadhi Iyad berkata tentang Imam Ghazali dan Kitab Ihya Ulumuddin:


“(mengenai) Sheikh Abu Hamid (Al-Ghazali), ada beberapa berita buruk mengenainya, dan dia pengarang kitab-kitab yang teruk. Dia melampaui batas dalam Kesufian, dia berusaha untuk menyokong mereka (Sufi), dan menjadi Daei’ kepadanya, dan dia mengarang beberapa kitab-kitab terkenal mengenainya.

.

Sebahagian kandungan kitab-kitab ini digunakan sebagai hujjah untuk melawan dirinya, dan seluruh negeri bersangka buruk terhadapnya. Dan Allah lebih tahu tentang keadaan dirinya.

.

Perintah Sultan dan fatwa para ulama di Barat (yakni kawasan pemerintahan Kerajaan Murabitun, Maghreb, Andalus dan Tunis) terhadapnya adalah kitabnya dibakar dan disimpan jauh (dari orang awam). Perintah ini semuanya dilaksanakan”

[Siyar A’lam An-Nubala’ 19/327.]

.

Imam Muhammad Ibn Al Walid Al Zardhushi (wafat pada tahun 520 Hijrah) berkata di dalam suratnya terhadap Ibn Al Muzzafar mengenai Al-Ghazali (Rahimahullah):


“Kemudian dia (Abu Hamid Al-Ghazali) mendalami fahaman Sufi, dia meninggalkan ilmu (agama) dan ahlinya, dia menyelami fahaman ilmu-ilmu mistik (maaf, tak tahu cara lain nak terjemah), melibatkan diri dalam masalah-masalah ghaib, bisikan-bisikan syaitan, dan kemudiannya dia merosakkannya lagi dengan fahaman falsafah dan mistik Al-Hallaj, dan dia membiasakan dirinya mencemuh para fuqaha.

.

Dia memenuhi kitabnya dengan hadith palsu yang tercipta akibat pengaruh ahli falsafah dan surat-surat dari kalangan Ikhwan As-Suffah; Pemisalan orang yang ingin membela Islam dengan fahaman-fahaman ahli falsafah adalah ibarat orang membasuh air dengan air kencing. Dia mendalami kaedah memahami makna-makna tersembunyi, dan ini adalah kaedah golongan Batiniyah”

.

Sumber:

[Al Mi’yar Al Mu’arab Jilid 12 m/s 186,]

[Adz-Dzahabi, Tarikh Al Islam m/s 122]

[As-Subki, Tabaqat Ash-Shafi’iya Al Kubra Jilid 6 m/s 243]

.

Kita lihat di sini bahawa Ulama-ulama Maliki Asyairah sendiri menolak fahaman Falsafah Imam Ghazali, dan mereka semua menyokong untuk membakar kitab Ihya Ulumuddin.

.

Malahan mereka mengutuk tindakan Al-Ghazali yang menggunakan falsafah untuk menegakkan Islam, menyamakan perbuatan itu dengan membersihkan sesuatu dengan air kencing.

.

Mungkin ada yang akan bertanya, jika Imam Ghazali dihukum sesat dan dicemuh oleh Ulama-ulama Asyairah dan Athari pada zamannya, bagaimana pula dia menjadi terkenal hari ini?

.

Kita boleh rujuk kepada sejarah:

“Hakikat fahaman yang di bawa oleh Al-Asy’ari – rahimahullah – adalah dia mengikut jalan di antara menta’thil sifat-sifat (Allah), yang berasal dari fahaman Mu’tazilah, dan mengithbat sifat-sifat (Allah), yang berasal dari fahaman Mujassimah, dia kemudiannya berdebat tentang kepercayaan ini dan mendukung fahaman dia ini dengan hujjah. Kemudiannya, segelintir ahli kalam cenederung dan bergantung kepada fahaman dia ini; di kalangan mereka adalah Qadhi Abu Bakar Muhammad ibn al-Thayyib al-Baqillani, Abu Bakar Muhammad ibn al-Hasan ibn Furak (Ibn Furak), Sheikh Abu Ishak Ibrahim ibn Muhammad ibn Mihran al-Isfarani, Sheikh Abu Ishak Ibrahim ibn Ali ibn Yusuf al-Shirazi, Sheikh Abu Hamid Muhammad al-Ghazali (Imam Ghazali), Abu al-Fath Muhammad ibn Abd al-Karim ibn Ahmad al-Shahrastani, Imam Fakhr al-Din Muhammad ibn ‘Umar ibn al-Hussein al-Razi (Fakhruddin Ar-Razi, penulis kitab Tafsir Ar-Razi) dan lain-lainnya, di mana akan memakan masa yang panjang untuk senaraikan nama-nama mereka. 

.

Mereka menjulang fahaman dia (Abul Hassan Al-Asy’ari), berdebat dan berselisih mengenainya, dan menyokong fahaman Abul Hassan Al-Asy’ari dengan hujjah melalui karya-karya yang tidak terkira jumlahnya. Atasa usaha mereka, fahaman Abul Hassan Al-Asy’ari tersebar ke Iraq pada sekitar tahun 380 Hijriyah, dan dari situ ianya tersebar ke Syam.

.

Kemudiannya al-Malik al-Nasir Salahuddin Yusuf ibn Ayyub (Salahuddin Al-Ayubi) memegang tampuk pemerintahan di Mesir, di mana dia bersama qadhi ketika itu, Sadruddin Abdul Malik ibn Isa ibn Darbas al-Marani adalah kedua-duanya pengikut fahaman ini (Asyairah), kerana mereka dididik dan diterap dengan fahaman ini sejak mereka berkhidmat di bawah Sultan Nuruddin Az-Zanki di Damsyiq. Salahuddin Al-Ayyubi telah menghafal sebuah kitab panduan akidah ketika beliau masih kecil, yang dikarang untuknya oleh Qutb al-Din Abu al-Ma’ali Mas’ud ibn Muhammad ibn Mas’ud al-Nisaburi, di mana ianya kemudian menyuruh pula anak-anaknya menghafal kitab panduan tersebut.

.

Atas sebab ini, mereka (pemerintah Kerajaan Ayyubiah) mementingkan fahaman Asyairah melebihi semua perkara dan berpegang teguh dengan fahaman ini, dan kemudiannya mereka mewajibkan orang awam untuk mengikut fahaman ini.

.

Dan keadaan ini berterusan pada seluruh zaman Kerajaan Ayyubiah, dan kemudiannya diwarisi oleh mawla (hamba-hamba yang dibebaskan), yakni Gabenor-Gabenor Turki (yang kemudiannya mengambil alih pemerintahan Kerajaan Ayyubiah).

.

Pada tempoh yang sama, Abu ‘Abdullah Muhammad ibn Tumart menempuh perjalanan dari Maghreb ke Iraq di mana dia mempelajari fahaman Asyairah dari Abu Hamid al-Ghazali (Imam Al-Ghazali). Sekembalinya dia ke Maghreb, dia mula mengajar dan mendidik puak Masamida (salah satu kelompok utama di kalangan puak Imazighen) dan mengarang kitab panduan aqidah untuk mereka, di mana orang-orang awam menerima ajaran itu dengan pantas (tanpa ragu-ragu). Dia kemudiannya meninggal dunia dan kerajaannya diwarisi oleh Abdul Mu’min ibn Ali al-Qaysi, yang digelar sebagai “Amirul Mu’minin”, di mana dia juga teruskan usaha menawan kerajaan-kerajaan di kawasan Maghreb, dan usahanya ini diteruskan oleh keturunannya dalam jangka waktu tempoh yang panjang. Mereka dikenali sebagai “al-Muwahidun”, dan kemudiannya, Kerajaan al-Muwahiddun ini menghalalkan darah sesiapa sahaja yang menentang fahaman Ibn Tumart, kerana bagi mereka dia adalah pemimpin yang terulung, Al-Mahdi yang ma’sum. Berapa banyakkah darah yang mereka tumpahkan oleh sebab ini, hanyalah diketahui oleh Allah Al-Khaliq – Subhanuhuataa’la – seperti yang termaktub dalam kitab-kitab tarikh.

.

Maka, inilah sebab masyhurnya fahaman Asyairah dan penyebarannya yang luas di daerah-daerah Islam, sehingga fahaman-fahaman lain hilang atau dilupakan (dari lipatan sejarah); sehinga tiadanya fahaman lain yang menentang fahaman Asyairah kecuali fahaman Hanabilah – pengikut-pengikut Imam Abu Abdullah Ahmad ibn Muhammad ibn Hanbal (Ahmad ibn Hanbal) – semoga Allah meredhainya. Di mana mereka mengikut jejak langkah para Salaf, yakni mengelakkan ta’wilan majaz berkenaan untuk nas-nas yang menceritakan tentang sifat-sifat Allah. Keadaan ini berterusan sehingga sekitar tahun 700 Hijriyah, di mana di kawasan Damsyik dan sekitarnya, munculnya seorang yang masyhur, yakni Taqiyuddin Abul Abbas Ahmad ibn Abdul Halim ibn Abdul Salam ibn Taymiyyah al-Harrani. Dia memperjuangkan fahaman Salaf dan mengerahkan sepenuh usahanya untuk membantah fahaman Asyairah dan mencela mereka secara terbuka, di samping celaan beliau terhadap golongan Rafidah dan Sufi. 

.

Kemudiannya, pandangan orang ramai terhadapnya terbahagi kepada dua kumpulan. 


Satu kumpulan yang mengikut jejaknya, bergantung kepada ijtihadnya, dan bertindak sesuai dengan ijtihadnya, mengangkatnya sebagai Sheikh Al-Islam dan penegak agama (Islam) yang paling masyhur di daerah-daerah Islam.

.

Satu kelompok pula mengisytiharkan dia seorang zindiq; sesat, membantah beliau dalam masalah ithbat sifat-sifat (Allah), dan mencela ijtihad dan pandangan fiqh beliau, di mana ada pandangan fiqhnya itu dipegang oleh ulama Salaf, dan ada beberapa pandangan fiqh-nya yang didakwa oleh mereka (penentang Ibn Taymiyyah) sebagai menentang ijma’ dan tidak dipegang atau diamalkan oleh mana-mana ulama Salaf. Dia dan penentangnya, kedua-duanya mempunyai kesilapan masing-masing, dan (sebaik-baiknya) perkiraan dan pertengkaran masalah di antara mereka diserahkan kepada Allah, di mana tiada yang di langit mahupun di bumi yang tersembunyi dari-Nya. Dia (Ibn Taymiyyah), sehingga kini, masih mempunyai ramai pengikut di Syam dan juga beberapa pengikut di Mesir. ”

[Al-Maqrizi, al-Khatat al-Maqriziyya 4/184-5]

.

Lagi maklumat tentang Ibn Tumart:

Pada zaman Kerajaan Murabitun yang menguasai Andalus dan Maghreb, rakyatnya kebanyakkan berfahaman mengikut Salaf, walaupun ada wujudnya kelompok uilama Asyairah yang kecil. 

.

Kemudiannya, muncul seorang yang berfahaman Asyairah dari Maghrib, yang mana menurut kisah yang masyhur, belajar Aqidah dari Imam Ghazali, Muhammad Ibn Tumart Al-Masmudi

.

Muhammad ibn Tumart Al-Masmudi menyebarkan fahaman Asyairah, mengkafirkan sesiapa sahaja yang melawan dakwahnya, menuduh musuhnya Mujassimah dan menyamakan Allah dengan makhluk, menghalalkan darah dan harta mereka.

.

Ini menyebabkan Kerajaan Murabitun berperang dengan Gerakan “Muwahidun” Ibn Tumart, yang banyak menumpahkan darah dan menjadi fitnah kepada Dunia Islam di kawasan Maghreb.

.

Setelah pengikutnya berjaya menumbangkan Kerajaan Murabitun dan menubuhkan kerajaan Muwahidun, mereka memaksa agar rakyat yang dibawah pemerintahannya untuk memeluk fahaman Asyairah.

.

Ibn Tumart juga mengaku dirinya sebagai Al-Mahdi. Pada tahun 541 Hijrah, mereka memasuki Kota Marrakesh dan melakukan penyembelihan besar-besaran terhadap warga kota itu, dan diriwayatkan bahawa 70,000 Muslim yang maut di Kota itu atas perbuatan mereka ini.

.

Ibn Al-Qayyim menceritakan tentang Ibn Tumart dan kelakuannya seperti berikut:

“Seorang Kadhab (Penipu) dan zalim yang memaksa fahaman batilnya kepada orang ramai.

.

Dia membunuh manusia, menghalalkan isteri-isteri kaum Muslimin, menjadikan anak-anak mereka tawanan dan mengambil harta mereka. Dia telah merosakkan agama ini lebih dari Hajjaj ibn Yusuf, dan menghalalkan darah ulama-ulama yang menentangnya.

.

Dia memanggil pengikut dan sahabatnya dengan gelaran “Muwahidin” (orang yang mentauhidkan Allah), akan tetapi hakikatnya mereka adalah Jahmi yang menolak Sifat-Sifat Allah.”

.

Sumber:

Adz-Dzahabi, [Siyar Al-A’lam Al-Nubula’ Beirut, Muassasa Al-Risala, jilid 19, m/s 645-646]

Ibn Al-Qayyim [Al-Manar Al-Munif, Riyad, Dar Al-Asima, 1998, m/s 153]

.

.

Maka kita dapat lihat dari sini bahawa fahaman falsafah Imam Ghazali disebarkan secara paksa oleh muridnya Ibn Tumart, bukan secara debat intelek yang puak-puak The Patriots angan-angankan.

.

.

========================

Dakwaan:

[5. Mungkin sebab itu banyak SAINTIS ISLAM hebat lahir dari kalangan Ashariah selepas Muktazilah berbanding pseudo-salafist ini kerana betapa mereka menutup ruang untuk akal bercambah berbanding Ashariah dan Muktazilah. Fakhrudin Ar-Razi, Ibn al-Haytham, (nama beliau ada dalam buku baru TP), Ibn Khaldun dan banyak lagi nama-nama hebat adalah dari cabang Ashariah.]

.

Jawapan:

Saya baru teringat, salah satu lagi taktik penipuan golongan Asy'ari untuk mendakwa bahawa mereka adalah golongan majoriti adalah seperti yang dinyatakan oleh Ibn Al-Mabrid, di mana dia menjelaskan penipuan golongan Ashari yang kononnya semua orang yang percaya kepada Aqidah yang tulen adalah seorang Ashari di dalam Kitab nya Kashf 'l-Ghita `An Mahd 'l-Khata (كشف الغطا عن محض الخطا).

.

وكنت مرة عند رجل من أكابر الحنفية، فدخل رجل آخر من الحنفية، فمدحني، وقال: الشيخ رجل مليح أشعري الاعتقاد

فقال له ذلك الرجل: لأي شيء قلت أشعري العقيدة؟

فقال: لأن الاعتقاد الصحيح ينسب إلى الأشعري

فالله الله، فوالله قد كذب علي، وأنا بريء من قوله، لا أكون عليه إلا أن يزول عقلي، أو يذهب ديني


Terjemahan:

"Aku bertemu dengan seorang Sheikh Hanafi.

Kemudian seorang Hanafi yang lain datang. Sheikh itu memuji aku: 

"Dia adalah orang yang sangat disenangi dan seorang Ashari"

Lelaki itu bertanya:

"Mengapakah engkau mengatakan yang dia seorang Ashari"

Sheikh itu menjawab:

"Kerana berada di Aqidah yang benar itu dinisbahkan kepada Al-Ashari."

(Aku [Ibn I-Mabrid] berkata): "Allah! Allah! (Takut lah kepada Allah!), Demi Allah, dia telah berdusta atas nama ku. Aku bebas dari apa yang dikatakan oleh dia. 

Aku tidak akan menjadi seorang Ashari melainkan jikalau aku hilang akal ataupun hilang agama!!"

[Kashf 'l-Ghita `An Mahd 'l-Khata]

.

Seperti yang dilakukan oleh sheikh dalam kisah ini, Helmi Effendy juga cuba nak dakwa kebanyakkan Saintis Hebat dalam Islam berfahaman Asyairah.

.

Logik dia macam ini, oleh kerana kebanyakan tokoh-tokoh ini belajar di system institusi pendidikan yang ditubuhkan oleh Sultan-Sultan berfahaman Asyairah, maka secara semulajadinya mereka adalah tokoh Asyairah juga.

.

Baiklah, kita andaikan dakwaan ini benar, cuba kita kaji tokoh yang dia sebut, antaranya adalah Fakhrudin Ar-Razi:

Imam Adz-Dzahabi menyatakan tentang Fakhrudin Ar-Razi:

"Dia adalah pengarang As-Sir al-Maktum Fi Mukhatabat An-Nujum (Rahsia yang tersembunyi dalam melihat bintang). Ianya (yakni kitab itu) adalah bukti kesesatannya, kerana ianya adalah sihir yang nyata. Semoga dia bertaubat darinya"

.

Ibn Kathir berkata tentang Fakhruddin Ar-Razi:

"Dia telah dituduh atas kesalahan yang berat, seperti memanggil Rasulullah S.A.W dengan gelaran Muhammad Si Badwi, manakala dia memanggil dirinya sendiri dengan panggilan Muhammad Ar-Razi.

Dia juga biasanya menghuraikan perkara syubhat dengan sangat teliti; kemudian dia membantah perkara syubhat itu dengan cara yang tidak jelas."

[Adz-Dzahabi, Al-Mughni, 4889]

[Ibn Kathir, Al-Bidayah wa An-Nihayah, 13/6]

.

Inikah tokoh Asyairah yang mereka banggakan? Bukan sahaja dia mengamalkan sihir, tetapi juga menghina Rasulullah S.A.W dengan memanggil Baginda dengan gelaran "Muhammad si Badwi".

.

Maka benarlah kata-kata Ulama-Ulama Salaf, orang yang belajar ilmu kalam tidak akan beruntung buat selama-lamanya. Fakhruddin Ar-Razi belajar ilmu kalam sehingga terjebak kepada sihir dan menghina Rasulullah S.A.W.; Ibn Khaldun pula menolak akan kedatangan Imam Mahdi. Ini lebih menguatkan hujjah Ulama-ulama Salaf yang melarang orang Islam mempelajari ilmu Kalam

.

Gerakan Salafi Hanabilah juga mempunyai tokoh-tokoh saintis dan falsafah, antaranya:

I. Ibn Qayyim Al-Jawziyyah, seorang tokoh fahaman Salafi Hanabilah yang masyhur, banyak membincangkan tentang ilmu sains seperti ilmu kimia dan astronomy, malah beliau juga memisahkan fahaman Astronomy dan Astrology, dan juga memisahkan fahaman Chemistry dan Alchemy dalam karyanya Miftah Dar Al-Sa'adah.

.

Beliau membincangkan tentang ilmu astronomy dan ilmu chemistry secara objektif, dan beliau juga membantah fahaman palsu alchemy dan astrology, seperti dakwaan boleh mengubah plumbum kepada emas, dan juga dakwaan bahawa bintang-bintang di langit mempengaruhi masa depan sesorang itu.

.

Selain itu, beliau juga menulis tentang perubatan, di dalam Kitabnya At-Tibb An-Nabawi, di mana beliau membandingkan cara perubatan Rasulullah S.A.W dan cara rawatan dan perubatan Yunani, India dan Parsi.

.

II. Ibn Aqil Az-Zahiri, beliau adalah Ulama Saudi yang pernah berdebat dengan Tokoh Atheist Arab, Abdullah Al-Qasimi. Abdullah Al-Qasimi ini bukan tokoh atheist yang biasa, beliau semasa masih Islam, pernah menggunakan hujjah saintifik untuk membela hadith Nabi dan Al-Quran, dan beliau menghafaz Al-Quran dan banyak hadith, selain menguasai ilmu falsafah dari theory John Locke, John Stuart Mills dan Immanuel Kant.

.

Apabila Abdullah Al-Qasimi berdebat dengan Ibn Aqil Az-Zahiri, Ibn Aqil Az-Zahiri menunjukkan penguasaan beliau terhadap pelbagai bidang ilmu, beliau membantah idea falsafah Immanuel Kant dan John Stuart Mill yang dibawa oleh Abdullah Al-Qasimi, sehingga setiap kali Abdullah Al-Qasimi tidak mampu menjawab bantahan Ibn Aqil Az-Zahiri, Abdullah Al-Qasimi mengubah topik perbualan.

.

Kalau Helmi Effendy nak dakwa wujudnya banyak saintis dan pemikir adalah kerana fahaman Asyairah yang "terbuka", maka fahaman Asyairah dan Maturidi juga perlu dipertanggungjawabkan atas kemunduran umat Islam.

.

Sebagai contoh, Ubaidillah As-Sindi, seorang Ulama Deoband, mencatitkan dalam Syarh Hujjatul Balaghah, ketika beliau pergi ke Turki, ramai Ulama-ulama Turki yang beliau temui mengharamkan mencetak Al-Quran, dan mewajibkan Al-Quran ditulis dengan tangan. Soalan di sini, adakah Helmi Effendy hendak mempertanggungjawabkan kejumudan ini kepada fahaman Asyairah dan Maturid yang dipegang oleh Ulama-ulama di Turki ketika itu?

.

Kejumudan dan Keterbukaan seseorang untuk menerima idea saintifik atau idea baru tidak dipengaruhi dengan fahaman Aqidah, ianya bergantung dengan persekitaran dan keadaan di mana orang-orang itu. Ulama-Ulama Salafi ada yang berfikiran konservatif (Bin Baz, Ibn Uthaymeen), dan ada juga berfikiran terbuka (Yahya Al-Muallimi, Abdul Razak Hamza). Begitu juga dengan Ulama-ulama Asyairah dan Maturidi, ada yang berfikiran konservatif, dan ada yang terbuka. Dunia bukan hitam putih, wahai Helmi Effendy.

.

Wallahualam.

.

Oleh - Su Han Wen Shu


Sumber: https://msu-my.academia.edu/JaberSohe


Comments

Popular posts from this blog

DOSA DAN ANCAMAN TIDAK MELURUSKAN SAF

IMAM AL GHAZALI KEMBALI KE MAZHAB SALAF (english)

TEMPAT KEDIAMAN IBLIS DI BUMI : BILIK AIR