TAUHID TIGA VS HARUS SUJUD KEPADA MAKHLUK
Tauhid Tiga diperangi sungguh-sungguh sehinggakan video tazkirah Imam al-Masjid al-Haram yang mengandungi penekanan berkaitan Tauhid Tiga dibuang daripada pelbagai platform media sosial, sedangkan beliau adalah tetamu kehormat yang dipanggil untuk memberi tazkirah di sebuah masjid yang berstatus Masjid Negeri.
Alih-alih, hari ini tular pasal hukum HARUS sujud kepada makhluk jika bukan dengan niat menyembah sebagaimana menyembah Allah SWT!
Tuan-tuan dan puan-puan nampak tak?
Di sisi sebahagian orang, memang Tauhid Tiga (terutamanya Tauhid Uluhiyyah) perlu diperangi terlebih dahulu, barulah pintu akan terbuka luas untuk membolehkan amalan (baca: bid’ah) dilakukan secara giat di kuburan.
Itu pun ada orang marah dan melenting jika dipanggil Quburi.
***
Memang isu sujud ada dua komponen utama iaitu melibatkan iktikad dan perbuatan. Oleh sebab itu, majoriti ulama telah memberikan hukum berdasarkan kepada pendetilan kepada dua komponen utama ini:
1. Jika sujud kepada makhluk (seperti syaikh dan orang soleh) dengan iktikad ibadah dan membesarkan seperti sujud kepada Allah SWT: Dia melalukan syirik, jatuh kafir dan murtad tanpa khilaf di sisi para ulama (setahu saya).
2. Jika perbuatan sujud kepada makhluk (seperti syaikh dan orang soleh) tidak mengandungi unsur iktikad begitu: maka ia adalah kemungkaran dan dosa besar yang perlu diperangi dan bukannya untuk dinormalisasikan!
***
Antara nukilan para ulama berkaitan dua situasi ini (nukilan ini saya kena cek lagi dalam kitab-kitab asal):
1. Al-Zayla'i dalam Tabyin al-Haqa'iq berkata: "Apa yang mereka lakukan iaitu mencium tanah/bumi di hadapan para ulama adalah haram, dan pelaku serta orang yang meredhainya adalah berdosa kerana ia menyerupai penyembahan berhala. Dan menurut al-Sadr al-Syahid: orang yang melakukan sedemikian tidak menjadi kafir dengan sujud ini kerana maksudnya adalah sebagai penghormatan."
2. Al-Rahaybani berkata dalam bab hukum orang yang murtad dalam Matalib Uli al-Nuha: "Jika seseorang sujud kepada berhala atau kepada bintang seperti matahari atau bulan, maka dia menjadi kafir kerana dia telah menyekutukan Allah. Sujud kepada pemerintah atau orang yang sudah mati dengan niat ibadah hukumnya juga (sepatutnya) adalah kafir dengan kesepakatan seluruh umat Islam. Sujud sebagai penghormatan kepada makhluk adalah dosa besar daripada dosa-dosa besar. Dan sujud kepada makhluk yang hidup atau mati secara umum yang tidak ada spesifikasi samada ia untuk Allah atau makhluk, maka ia adalah dosa yang lebih besar kerana sujud hanyalah untuk Allah."
3. Al-Bujayrami berkata dalam Tuhfah al-Habib: "Semata-mata sujud di hadapan para masyaikh tidaklah bererti memuliakan syaikh itu seperti memuliakan Allah SWT sekira-kiranya menjadikannya sebagai Tuhan, dan kufur hanya akan berlaku jika pelakunya memang berniat sedemikian."
4. Al-Ramli dalam Nihayah al-Muhtaj berkata: "Ibn al-Salah berkata: "Apa yang dilakukan oleh orang-orang awam dari kalangan para fuqara' (sufi) iaitu sujud di hadapan para masyaikh adalah antara (dosa) yang sangat besar. Jika sujud tersebut dilakukan dengan taharah dan menghadap ke arah kiblat, saya khuatir ini adalah kekufuran."
Al-Sharwani telah mengulas kenyataan di atas dalam Hashiyah Tuhfah al-Muhtaj dengan kata-katanya: "Dia berkata sedemikian (khuatir ini adalah kekufuran) tanpa menyatakannya sebagai kekufuran secara jelas, kerana sekadar sujud di hadapan para masyaikh tidak semestinya beerti penghormatan kepada syaikh seperti penghormatan kepada Allah, dan kufur hanya berlaku jika niatnya memang sebegitu."
5. Al-Nawawi berkata dalam al-Majmu' dan al-Raudhah: "Apa yang dilakukan oleh ramai orang jahil iaitu sujud di hadapan para masyaikh adalah haram secara pasti (tanpa khilaf), tidak kira sama ada menghadap ke arah kiblat atau tidak, sama ada dengan niat sujud kepada Allah atau dalam keadaan lalai (daripada niat tersebut), dan dalam beberapa keadaan sujud tersebut boleh menjatuhkan ke dalam kekufuran atau hampir kepadanya."
Al-Sharwani mengulas hal ini dengan berkata: "Pensyarah (nak kena semak siapa) berkata dalam al-A'lam selepas menukilkan apa yang terdapat dalam al-Raudhah: "Ini menunjukkan bahawa ia boleh menjadi kufur jika pelakunya niatkan (dengan sujud itu) untuk menyembah makhluk atau mendekatkan diri kepadanya, atau ia boleh jadi hanya haram jika tujuannya hanyalah untuk menghormati makhluk tersebut, atau merendah diri kepadanya, atau dia itlaqkan (tidak spesifikan tujuan sujudnya). Begitulah juga hukumnya berkaitan (sujud) kepada ibu bapa atau para ulama."
***
Kesimpulan sebagaimana dalam Al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah: "Para fuqaha telah berijmak (sepakat) bahawa sujud kepada selain berhala dan seumpamanya, seperti sujud kepada salah seorang pemerintah atau raja atau makhluk lain adalah daripada perkara yang diharamkan dan merupakan salah satu dosa daripada dosa-dosa besar.
Jika orang yang sujud itu berniat dengan sujud tersebut sebagai ibadah kepada makhluk tersebut, maka dia telah menjadi kafir dan terkeluar daripada agama Islam dengan kesepakatan para ulama.
Namun, jika dia tidak berniat dengan sujud tersebut sebagai ibadah (kepada makhluk yang dia sujud kepadanya), maka terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan fuqaha. Sebahagian ulama bermazhab Hanafi berkata: "Dia kafir secara mutlak samaada dia mempunyai niat atau tidak." Sebahagian yang lain pula berpendapat: "Jika niatnya adalah untuk penghormatan, maka dia tidak menjadi kafir."
Wallahu a'lam
* Nauzubillah daripada kesesatan selepas hidayah, kejahilan selepas ilmu, kegelapan selepas cahaya, dan bid’ah selepas sunnah.
Nasaie hanafi
Comments
Post a Comment