PERBEZAAN ISTIGHATHAH DAN TAWASSUL
Istighathah (اسْتِغَاثَةٌ) berasal daripada ghawth (ٌغَوْث) yang bermaksud pertolongan. Istighathah dibina atas wazan istif’al (اسْتِفْعَالٌ), sama seperti istighfar (اسْتِغْفَارٌ) dan isti’anah (اسْتِعَانَةٌ). Wazan ini umumnya digunakan dengan maksud memohon atau meminta. Jika istighfar bermaksud memohon keampunan dan isti’anah bermaksud memohon bantuan, maka istighathah bermaksud memohon pertolongan.
Ism fa’il bagi ghawth ialah mughith (مُغِيثٌ) yang bermaksud penolong atau pemberi pertolongan. Sebahagian ulama menganggap al-Mughith (المُغِيثُ) atau al-Ghayyath (الغَيَّاثُ) termasuk nama-nama Allah. Imam al-Sakhawi (902 H) menamakan sebuah kitabnya dengan Fath al-Mughith bi-Sharh Alfiyyah al-Hadith (فَتْحُ المُغِيثِ بِشَرْحِ أَلْفِيَّةِ الحَدِيثِ) sekali gus mengisbatkannya sebagai nama Allah, tetapi hal ini tidak sabit melalui nas.
Tawassul (تَوَسُّلٌ) pula berasal daripada wasilah (وَسِيلَةٌ) yang bermaksud perantaraan, media, medium, jalan, atau alat penyampai. Jamaknya wasa’il (وَسَائِلُ) seperti yang biasa disebut, wasa’il al-i’lam (وَسَائِلُ الإِعْلَامِ) iaitu media massa. Secara mudahnya, tawassul bermaksud perbuatan berperantaraan atau lebih jelas lagi, menggunakan perantaraan untuk sesuatu.
Jadi, jelas di sini perbezaan antara istighathah dengan tawassul. Wallahualam.
Comments
Post a Comment