UMMU HANI SEBAGAI 1ST LOVE NABI S.A.W.

Ada beberapa isu:

(1) Sahihkah kisah itu?

(2) Ulama mana dan kitab mana yang sebut sahih?

(3) Keringanan menggunakan kisah tidak sahih dalam sirah.


----

(1) Sahihkah kisah itu?

Apa yang tersebar?

2 kali pinangan Nabi s.a.w ditolak di zaman Jahiliyyah. Pertama, Ummu Hani' tolak sebab dah rasa Nabi s.a.w macam abang beliau sendiri sebab membesar bersama.

Kedua, Abu Talib menolak sebab Ummu Hani' sudah dipinang orang lain.

Kali ketiga, pula selepas Islam, Ummu Hani' menolak sebab beliau ada ramai anak.

Mari kita lihat apa yang ada dalam Sahih Muslim.

 عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، خَطَبَ أُمَّ هَانِئٍ، بِنْتَ أَبِي طَالِبٍ فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللهِ، إِنِّي قَدْ كَبِرْتُ، وَلِي عِيَالٌ، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «خَيْرُ نِسَاءٍ رَكِبْنَ» ثُمَّ ذَكَرَ بِمِثْلِ حَدِيثِ يُونُسَ غَيْرَ أَنَّهُ قَالَ «أَحْنَاهُ عَلَى وَلَدٍ فِي صِغَرِهِ»

Daripada Abu Hurairah r.a, bahawa Nabi s.a.w meminang Ummu Hani' binti Abi Thalib. Lalu Ummu Hani' menjawab: Wahai Rasulullah s.a.w. Saya ini telah tua, dan saya mempunyai ahli keluarga di bawah jagaan saya. Lalu Rasulullah s.a.w menjawab: Sebaik-baik wanita ialah yang menunggang (unta). [Sahih Muslim, Kitab Fadhail al-Sahabah, Bab Fadhail Nisa' Quraisy, no: 201].

Kisah peminangan Ummu Hani' di zaman jahiliyyah pula diriwayatkan oleh Ibnu Sa'ad dalam al-Thabaqat al-Kubra:

10321- أَخْبَرَنَا هِشَامُ بْنُ مُحَمَّدِ بْنِ السَّائِبِ الْكَلْبِيُّ ، عَنْ أَبِيهِ ، عَنْ أَبِي صَالِحٍ ، عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ : خَطَبَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى أَبِي طَالِبٍ ابْنَتَهُ أُمَّ هَانِئٍ فِي الْجَاهِلِيَّةِ وَخَطَبَهَا هُبَيْرَةُ بْنُ أَبِي وَهْبِ بْنِ عَمْرِو بْنِ عَائِذِ بْنِ عِمْرَانَ بْنِ مَخْزُومٍ فَتَزَوَّجَهَا هُبَيْرَةُ ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : يَا عَمُّ زَوَّجْتَ هُبَيْرَةَ وَتَرَكْتَنِي ، فَقَالَ : يَا ابْنَ أَخِي إِنَّا قَدْ صَاهَرْنَا إِلَيْهِمْ وَالْكَرِيمُ يُكَافِئُ الْكَرِيمَ .

10321- Hisyam bin Muhammad bin Saib al-Kalbi, daripada ayahnya, daripada Abi Salih, daripada Ibn Abbas berkata: Nabi Muhammad SAW meminang puteri Abu Talib, Ummi Hani, pada zaman jahiliah. Pada masa yang sama, Hubairah bin Abi Wahb bin Amru bin Aidh bin Imran bin Makhzum juga meminangnya, dan Ummi Hani berkahwin dengan Hubairah. Nabi Muhammad SAW berkata: "Wahai bapa saudaraku, engkau menikahkan Hubairah dan meninggalkan aku." Abu Talib menjawab: "Wahai anak saudaraku, kita telah mengadakan perkahwinan dengan mereka, dan orang yang mulia akan mengahwini orang yang mulia juga."


ثُمَّ أَسْلَمَتْ فَفَرَّقَ الْإِسْلاَمُ بَيْنَهَا وَبَيْنَ هُبَيْرَةَ فَخَطَبَهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى نَفْسِهَا فَقَالَتْ : وَاللَّهِ إِنْ كُنْتُ لَأُحِبُّكَ فِي الْجَاهِلِيَّةِ فَكَيْفَ فِي الْإِسْلاَمِ وَلَكِنِّي امْرَأَةٌ مُصْبِيَةٌ وَأَكْرَهُ أَنْ يُؤْذُوكَ ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ : خَيْرُ نِسَاءٍ رَكِبْنَ الْمَطَايَا نِسَاءُ قُرَيْشٍ أَحْنَاهُ عَلَى وَلَدٍ فِي صِغَرِهِ وَأَرْعَاهُ عَلَى زَوْجٍ فِي ذَاتِ يَدِهِ

Kemudian Ummi Hani memeluk Islam dan Islam memisahkan dia dan Hubairah. Rasulullah SAW meminangnya lagi dan Ummi Hani berkata: "Demi Allah, aku telah mencintaimu pada zaman jahiliah, jadi bagaimana pula pada zaman Islam? Tetapi aku adalah seorang wanita yang mempunyai anak kecil, dan aku tidak mahu mereka menyakiti kamu." Rasulullah SAW bersabda: "Sebaik-baik wanita yang menunggang unta ialah wanita Quraisy; mereka sangat penyayang kepada anak semasa kecilnya dan sangat menjaga suami dengan baik."

Dalam riwayat Ibnu Sa'ad ini, tidak ada disebutkan bahawa Ummu Hani' menolak pinangan Nabi s.a.w kerana mereka membesar bersama, anggap Nabi s.a.w macam abang.

Status riwayat Ibnu Sa'ad ini jelas *PALSU* kerana ia adalah riwayat daripada Muhammad bin Sa'ib al-Kalbiy daripada Abu Soleh.

Imam al-Bukhari dalam al-Tarikh al-Awsath meriwayatkan perkataan Abu Soleh kepada Muhammad bin Sa'ib al-Kalby. 

قال الكلبي: قال لي أبو صالح كل شيء حدثتك فهو كذب.

Al-Kalbiy berkata: Abu Soleh menyatakan kepada ku bahawa setiap apa yang dia sampaikan kepada aku adalah dusta! [al-Tarikh al-Awsath, 3:399].

Jadi cacatnya riwayat ini bukan sekadar kerana Muhammad bin Sa'ib al-Kalbiy. Beliau itu sendiri sepakat ulama hadis meninggalkan riwayatnya, bahkan ke tahap ada yang memang menganggap beliau kazzab atau pemalsu hadis.

Bahkan lebih parah lagi, riwayat ini adalah riwayat al-Kalbiy daripada Abu Soleh, dan Abu Soleh mengaku kepada al-Kalbiy bahawa segala yang dia sampaikan kepada al-Kalbiy adalah dusta!

Riwayat ini turut datang dengan jalur sanad yang lain sebagaimana diriwayatkan oleh Al-Hakim dalam Al-Mustadrak:

6871 - حَدَّثَنَا أَبُو عَبْدِ اللَّهِ الْأَصْبَهَانِيُّ، ثَنَا الْحَسَنُ بْنُ الْجَهْمِ، ثَنَا الْحُسَيْنُ بْنُ الْفَرَجِ، ثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ عُمَرَ، قَالَ: وَفِيمَا ذُكِرَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَطَبَ إِلَى عَمِّهِ أَبِي طَالِبٍ أُمَّ هَانِئٍ قَبْلَ أَنْ يُوحَى إِلَيْهِ، وَخَطَبَهَا مَعَهُ هُبَيْرَةُ بْنُ أَبِي وَهْبٍ فَزَوَّجَهَا هُبَيْرَةَ، فَقَالَ لَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «يَا عُمَرُ، زَوَّجْتَ هُبَيْرَةَ وَتَرَكْتَنِي» ، فَقَالَ: يَا ابْنَ أَخِي أَنَا صَاهَرْتُ إِلَيْهِمْ وَالْكَرِيمُ يُكَافِئُ الْكَرِيمَ، 

6871 - Abu Abdullah al-Asbahani meriwayatkan kepada kami, Hassan bin al-Jahm meriwayatkan kepada kami, Hussein bin al-Faraj meriwayatkan kepada kami, Muhammad bin Umar berkata: "Disebutkan bahawa Rasulullah SAW meminang Ummi Hani daripada bapa saudaranya, Abu Talib, sebelum wahyu diturunkan kepadanya. Pada masa yang sama, Hubairah bin Abi Wahb juga meminangnya dan Abu Talib menikahkan Ummi Hani dengan Hubairah. Nabi SAW berkata kepadanya: 'Wahai Umar, engkau menikahkan Hubairah dan meninggalkan aku.' Abu Talib menjawab: 'Wahai anak saudaraku, aku telah menjalin hubungan perkahwinan dengan mereka, dan orang yang mulia akan mengahwini orang yang mulia juga.'

ثُمَّ أَسْلَمَتْ فَفَرَّقَ الْإِسْلَامُ بَيْنَهَا وَبَيْنَ هُبَيْرَةَ، فَخَطَبَهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى نَفْسِهَا فَقَالَتْ: وَاللَّهِ إِنِّي كُنْتُ لَأُحِبُّكَ فِي الْجَاهِلِيَّةِ فَكَيْفَ فِي الْإِسْلَامِ لَكِنِّي امْرَأَةٌ مُصْبِيَةٌ فَأَكْرَهُ أَنْ يُؤْذُوكَ الْحَدِيثَ

Kemudian Ummi Hani memeluk Islam dan Islam memisahkan dia daripada Hubairah. Rasulullah SAW meminangnya lagi dan Ummi Hani berkata: 'Demi Allah, aku telah mencintaimu pada zaman jahiliah, jadi bagaimana pula pada zaman Islam? Tetapi aku adalah seorang wanita yang mempunyai anak kecil, dan aku tidak mahu mereka menyakiti kamu.'"

Riwayat al-Hakim ini datang daripada jalur Muhammad bin 'Umar al-Waqidi. Ulama sepakat meninggalkan hadis beliau, dan sebahagian mentohmah beliau sebagai pemalsu hadis.

Kita dapati di sini: 

Yang sahih hanyalah kisah pinangan selepas Islamnya, dan bukan di zaman jahiliyyah.

Kisah peminangan di zaman jahiliyyah pula, sudah sampai ke tahap palsu, khususnya lagi riwayat al-Kalbiy daripada Abu Soleh tadi. Riwayat al-Waqidi jua terlalu lemah bahkan dia dianggap kazzab di sisi sebahagian ulama hadis, daripada siapa dia dapat cerita ini jua tak diketahui.

Kisah yang tidak sahih [riwayat al-Kalbiy, dan al-Waqidi] pula tidak ada menyebutkan Ummu Hani' menolak pinangan Nabi s.a.w sebab mereka pernah membesar bersama.

Oleh itu persoalan sahih atau tidak kisah ini sudah terjawab. Yang sahih hanyalah kisah pinangan Nabi s.a.w di zaman Islam. Bukan di zaman jahiliyyah. 

Bahkan cerita yang disebarkan pula tentang peminangan di zaman jahiliyyah telah ditokok tambah. Sudahlah cerita itu diriwayatkan oleh perawi yang tertuduh berdusta, cerita itu ditokok tambah pula.

(2) Ada ulama yang kata sahih?

Selepas melihat kecacatan riwayat ini, siapa ulama yang akan kata sahih? Beban pembuktian di tangan pendakwa. Kecacatan yang sangat parah, perawi yang sepakat ditinggalkan riwayatnya, tiba-tiba ada ulama kata sahih? 

(3) Ia riwayat sirah.

Bab ini mungkin boleh dibincangkan, seluas manakah kelonggaran meriwayatkan riwayat-riwayat sirah, adakah termasuk di dalamnya kisah-kisah yang hanya diriwayatkan oleh perawi yang ke tahap sepakat ditinggalkan, dan ditohmah pemalsu hadis. Seandainya diterima sekalipun, tiada siapa akan menganggap ia sahih, sebagaimana dakwaan bahawa ada ulama kata sahih.

#MMMR

Comments

Popular posts from this blog

AKIDAH IMAM Abu Uthman al-Sobuni

ALLAH DIATAS LANGIT DAN BERTEMPAT DILANGIT?

KAJIAN TENTANG MAKNA HADIS JIKA KALIAN TIDAK BERBUAT DOSA ALLAH AKAN HILANGKAN KALIAN