Isu Khutbah Hari Raya Aidiladha Kelantan dan Hadis Batil/Palsu.

 Isu Khutbah Hari Raya Aidiladha Kelantan dan Hadis Batil/Palsu.

1. Beberapa rakan bertanya saya mengenai teks arab yang dikongksikan dalam teks khutbah negeri Kelantan.

2. Saya cuba menyemak isi kandungan khutbah berkenaan melalui online di platform E-MAIK. Setelah saya muat turun khutbah tersebut pada 7 Jun 2025 saya dapati lafaz tersebut memang ada dikongsikan cuma ia tidak dikatakan sebagai hadis.

3. Bagi saya ini agak pelik kerana ada pihak yang menunjukkan cetakan khutbah ini mempunyai lafaz tersebut dengan cara begini:




(Hadis Riwayat al-Dailami)


Ini menunjukkan bahawa lafaz tersebut dianggap hadis oleh pembuat khutbah.

4. Saya cuba semak beberapa khutbah yang dikongsikan secara livestreaming di negeri Kelantan. Hasil semakan saya, ada beberapa perkara saya dapati:

i. Ada khatib yang tidak membaca langsung lafaz hadis tersebut. 

ii. Ada khatib yang membaca lafaz tersebut dan terjemahannya tanpa mengatakan ia hadis.

iii. Terdapat khatib yang menjadikan lafaz ini sebagai hadis. Sebahagian mereka jelas-jelas menyandarkannya kepada Nabi sallallah alaih wasallam seperti khatib di sebuah masjid di Tumpat, sebuah masjid di Pasir Puteh dan sebuah masjid di Kota Bharu.

Saya tidak pasti kenapa perbezaan ini berlaku. Saya harap Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) dapat jelaskan isu ini.

5. Lafaz arab yang terdapat dalam teks khutbah tersebut diriwayatkan oleh al-Khatib al-Baghdadi dan al-Dailami melalui jalur Anas bin Malik. Lafaznya adalah seperti berikut:

طول الأمل رحمة من الله لأمتي. لولا الأمل ما أرضعت أم ولدا ولا غرس غارس شجرا

Maksudnya: Sesungguhnya panjang cita-cita adalah rahamat dari Allah kepada umatku. Jika tidak ada cita-cita seorang ibu tidak menyusukan anak dan seorang penanam tidak menanam pokok.

6. Dalam sanad hadis ini terdapat perawi bernama Muhammad bin Ismail bin Harun al-Razi  yang meriwayatkan dari Abu Hatim Muhammad bin Idris al-Razi dari Abu Nu'aim dari Al-A'mash dari Humaid dari Anas dari Nabi sallallah alaih wasallam.

7. Ulama menilai perawi ini seperti berikut:

i. Al-Khatib berkata beliau tidak boldh dipercayai. (Tarikh Baghdad, jil. 2, hal. 385)

ii. Abu al-Qasim Hibatullah bin al-Hasan bin Mansur al-Tabari menilainya sebagai pendusta dalam periwayatannya. (Tarikh Baghdad, jil. 2, hal. 388)

iii. Abu Muhammad Ghulam al-Zuhri berkata beliau daif.

iv. Ibn Iraq al-Kinani menilai beliau sebagai seorang yang dituduh berdusta. (Tanzih al-Shari'ah, jil. 1, hal. 101)

Jelas dari nukilan di atas bahawa perawi ini terlalu daif. Tidak ada percanggah antara pandangan yang mendaifkannya dengan yang menilainya daif berat kerana ia boleh diharmonikan kerana daif itu boleh ditafsirkan sebagai daif berat menurut majoriti ulama dalam isu ini.

8. Al-Khatib al-Baghdadi menilai hadis ini sebagai batil. (Tarikh Baghdad, jil. 2, hal. 386) Penilaian al-Khatib dinukilkan juga oleh Ibn al-Jauzi (al-'Ilal al-Mutanahiah, jil. 2, hal. 330) tanpa ada ulasan balas. Ia membayangkan Ibn al-Jauzi setuju dengan penilaian al-Khatib.

9. Al-Zahabi pula ketika mengulas tentang perawi ini mengatakan al-Khatib membawakan beberapa hadis rekaan perawi ini. Ini menunjukkan bahawa al-Zahabi menganggap perawi ini adalah pemalsu hadis. (Mizan al-I'tidal, 3, hal. 485)

10. Ulama moden semisal Ahmad al-Ghumari (al-Mughir, hal. 118, al-Mudawi, jil. 2, hal. 563), al-Albani (Silsilah al-Ahadith al-Dha'ifah wa al-Maudhu'ah, jil. 7, hal. 202) dan Abu Ishaq al-Huwaini (Is'af al-Labith, jil. 1, hal. 342) menilai hadis ini palsu. 

11. Kesimpulannya hadis ini batil dan palsu. Maka perlu berhati-hati menukilkannya. Moga MAIK dapat jelaskan bagaimana lafaz ini boleh masuk dalam teks khutbah di Kelantan.


Moga bermanfaat.

Dr Rozaimi Ramle



Comments

Popular posts from this blog

AKIDAH IMAM Abu Uthman al-Sobuni

ALLAH DIATAS LANGIT DAN BERTEMPAT DILANGIT?

KAJIAN TENTANG MAKNA HADIS JIKA KALIAN TIDAK BERBUAT DOSA ALLAH AKAN HILANGKAN KALIAN