KAEDAH MANDI YANG TIDAK SUNNAH

 Benarkah Rasulullah Ajar Ketika Hendak Mandi Mulakan Basuh Daripada Bawah Iaitu Kaki Terlebih Dahulu, Kemudian Baru Naik Ke Atas?

1. Saya diberikan gambar ini yang mengatakan bahawa Rasulullah mengajarkan kita berkaitan mandi, mula membasuh dari bawah iaitu dari kaki naik ke betis, peha, perut, bahu, kemudian berhenti sejenak beberapa saat, lalu mandi seperti biasa.

2. Jawapan ringkas saya, saya tidak menemukan hadis anjuran baginda memerintah agar memulakan basuhan ketika mandi mula dari kaki, betis dan naik ke atas. Sebaliknya yang saya jumpa dalam hadis, kaki merupakan anggota terakhir yang baginda basuh. Apa dalilnya?

Dalam Sahih al-Bukhari, Maimunah berkata:

وَضَعْتُ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَاءً لِلْغُسْلِ فَغَسَلَ يَدَيْهِ مَرَّتَيْنِ أَوْ ثَلَاثًا ثُمَّ أَفْرَغَ عَلَى شِمَالِهِ فَغَسَلَ مَذَاكِيرَهُ  ثُمَّ مَسَحَ يَدَهُ بِالْأَرْضِ ثُمَّ مَضْمَضَ وَاسْتَنْشَقَ وَغَسَلَ وَجْهَهُ وَيَدَيْهِ ثُمَّ أَفَاضَ عَلَى جَسَدِهِ ثُمَّ تَحَوَّلَ مِنْ مَكَانِهِ فَغَسَلَ قَدَمَيْهِ

"Aku menyediakan kepada baginda air untuk baginda mandi. Lalu baginda membasuh kedua tangannya dua kali atau tiga kali. Kemudian baginda menuangkan air pada tangan kiri baginda. Lalu baginda membasuh pada bahagian kemaluannya. Setelah itu baginda menyapu (menggosok) tangan baginda ke lantai (tanah). Lalu baginda berkumur dan istinsyaq (sedut air ke dalam hidung), membasuh muka dan kedua tangan. Lalu baginda mencurahkan air ke atas badan baginda. Kemudian baginda beralih mengubah dari tempat baginda mandi tersebut lalu membasuh kedua kakinya"

(Sahih al-Bukhari)

Bahkan terdapat lagi riwayat-riwayat lain yang berbeza, namun tetap tidak menunjukkan terdapat anjuran daripada Rasulullah memerintahkan agar memulakan basuhan daripada bawah kemudian naik ke atas seperti kaifiat dalam gambar ini.


3. Berhati-hati untuk sandarkan sesuatu kepada Rasulullah. Walaupun sesuatu perkara itu benar dari sudut perubatan atau fakta, tapi jika ia tidak pernah disebutkan atau dilakukan oleh baginda, maka haram menisbahkan perkara itu kepada Rasulullah.

Contohnya, fakta bahawa Dr Harris Ismail (protagonis insight) diperintahkan oleh mahkamah untuk membayar kos tertentu kepada Rozaimi Ramle. Ini fakta.

Namun tidak boleh kita katakan Rasulullah bersabda bahawa mahkamah memerintahkan Dr Haris Ismail bayar pada Rozaimi. Tidak boleh, ini haram dan berdosa besar. 

4. Komentar saya, untuk sandarkan sesuatu kepada baginda, memerlukan kepada dalil. Ini kepentingan bertanya dalil. Orang awam bertanya dalil bukan untuk istinbat hukum, namun untuk mengetahui tentang amalan-amalan Rasulullah sebegini untuk diikuti berdasarkan syarahan ulamak muktabar.

Ketahuilah, menyebarkan hadis palsu tanpa diterangkan kepalsuannya merupakan salah satu dosa besar dalam Islam.

Dr Rozaimi Ramle




Comments

Popular posts from this blog

AKIDAH IMAM Abu Uthman al-Sobuni

ALLAH DIATAS LANGIT DAN BERTEMPAT DILANGIT?

KAJIAN TENTANG MAKNA HADIS JIKA KALIAN TIDAK BERBUAT DOSA ALLAH AKAN HILANGKAN KALIAN