MAKSUD IKHLAS
Apa Maksud Ikhlas Sebenarnya?
Kita selalu dengar orang sebut tentang ikhlas—tapi apa sebenarnya maksud ikhlas? Apa maksudnya bila kita kata “buat sesuatu kerana Allah semata-mata”?
Maksud Ikhlas dari Sudut Bahasa
Dalam bahasa Arab, perkataan ikhlas datang dari akar kata khalāṣ, yang bermaksud bersih, tulen, atau suci. Bila orang Arab kata sesuatu itu “khāliṣ”, maksudnya benda itu dah disaring, dah jernih, dan dah tak bercampur dengan apa-apa yang mengotorinya.
Ibn Fāris, seorang ulama bahasa Arab, kata maksud asal ikhlas adalah: “membersihkan dan menyucikan sesuatu daripada segala kekotoran.”
Jadi, bila kita kata seseorang itu “mengikhlaskan agamanya kepada Allah”, maksudnya dia betul-betul serahkan seluruh hidup dan ibadahnya hanya untuk Allah. Tak ada niat tersembunyi. Tak ada riyak. Tak harapkan pujian. Hanya mengharapkan reda Allah.
Orang yang mukhlis ialah orang yang benar-benar mengesakan Allah dengan niat yang bersih. Manakala orang yang mukhlas pula ialah orang yang Allah sendiri bersihkan hatinya dan pilih untuk jadi istimewa.
Sebab itu, kalimah ikhlas juga sering dikaitkan dengan kalimah tawhid—“La ilaha illallah” — kerana ia melambangkan penyerahan sepenuhnya kepada Allah.
Maksud Ikhlas dari Sudut Agama
Para ulama bagi pelbagai definisi ikhlas, tapi semuanya berlegar di sekitar satu perkara:
• Buat sesuatu semata-mata kerana Allah.
• Tak harapkan balasan atau perhatian dari orang lain.
• Tak campur aduk niat dengan pujian manusia, ganjaran dunia, atau kepentingan diri.
Ada ulama kata: Ikhlas itu bila hati dan perbuatan luar kita selari—dua-dua kerana Allah.
Sahl al-Tustarī, seorang ahli tasawuf, kata:
“Orang-orang bijak pernah cuba tafsirkan ikhlas, tapi akhirnya mereka setuju satu perkara: setiap gerak-geri kita, sama ada dalam diam atau terang-terangan, semuanya mesti kerana Allah. Tak boleh bercampur dengan nafsu, keinginan dunia, atau apa-apa selain Dia.”
Ada juga yang kata:
“Ikhlas itu bila kau tak perlukan saksi untuk amalan kau melainkan Allah. Tak harapkan balasan pun dari sesiapa selain Dia.
Ringkasnya…
Imam Ibn al-Qayyim simpulkan ikhlas macam ni:
Ikhlas adalah bila kita bersihkan amalan daripada semua jenis ‘penyakit hati’ — contohnya:
• Nak nampak baik depan orang.
• Nak orang puji.
• Takut orang kutuk.
• Nak dihormati.
• Nak harta, pengaruh, perhatian atau balasan dunia.
Semua itu adalah syirik kecil—bila niat kita mula campurkan elemen-elemen selain Allah dalam ibadah kita.
Jadi, Apa Itu Ikhlas Sebenarnya?
Ikhlas adalah memusatkan seluruh niat dan tujuan kita hanya kepada Allah. Tak pandang kiri kanan. Tak kisah orang nampak atau tak nampak. Tak harapkan like, pujian atau ucapan “terbaik bro!”
Bila kita ikhlas, kita tahu—walaupun tak ada orang nampak, Allah nampak. Walaupun tak ada orang balas, Allah tetap membalas.
Ikhlas bukan sekadar buat baik. Tapi buat baik hanya kerana Allah.
Diterjemah dan diolah semula dari kitab Aʿmāl al-Qulūb oleh Shaykh Khālid bin ʿUthmān al-Sabt, j. 1, h. 65-66.
FB: Abdullah izzat
Comments
Post a Comment