BERINGATLAH AKAN DOA ORANG YANG DIZALIMI

Imam al-Bukhari رحمه الله membawakan satu kisah di dalam Sahih beliau melalui riwayat Jābir bin Samurah رضي الله عنه. Kata Jābir:

شَكَا أَهْلُ الْكُوفَةِ سَعْدًا إِلَى عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، فَعَزَلَهُ وَاسْتَعْمَلَ عَلَيْهِمْ عَمَّارًا

Ada penduduk Kufah mengadu perihal Sa’d bin Abi Waqqās رضي الله عنه kepada ‘Umar رضي الله عنه. Lalu ‘Umar ambil keputusan untuk berhentikan Sa’d dan gantikan dengan ‘Ammār رضي الله عنه sebagai gabenor Kufah.

فَشَكَوْا حَتَّى ذَكَرُوا أَنَّهُ لَا يُحْسِنُ يُصَلِّي، فَأَرْسَلَ إِلَيْهِ فَقَالَ : يَا أَبَا إِسْحَاقَ، إِنَّ هَؤُلَاءِ يَزْعُمُونَ أَنَّكَ لَا تُحْسِنُ تُصَلِّي، قَالَ أَبُو إِسْحَاقَ : أَمَّا أَنَا وَاللَّهِ فَإِنِّي كُنْتُ أُصَلِّي بِهِمْ صَلَاةَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا أَخْرِمُ عَنْهَا، أُصَلِّي صَلَاةَ الْعِشَاءِ فَأَرْكُدُ فِي الْأُولَيَيْنِ، وَأُخِفُّ فِي الْأُخْرَيَيْنِ، قَالَ : ذَاكَ الظَّنُّ بِكَ يَا أَبَا إِسْحَاقَ

Mereka terus-menerus mengadu sehinggalah mereka mengatakan bahawa Sa’d ini tidak pandai menunaikan solat. Lalu ‘Umar pun mengutuskan seseorang untuk bertemu dengan Sa’d. Utusan itu pun berkata:

“Wahai Abu Ishāq! Sesungguhnya ada dalam kalangan penduduk Kufah telah mendakwa bahawa kamu tidak pandai menunaikan solat.”

Lalu Sa’d pun menjawab:

“Adapun begitu, maka demi Allah aku bersolat bersama mereka seperti mana solat Rasulullah صلى الله عليه وسلم dan aku tak kurangkan walaupun sedikit. Ketika aku menunaikan solat Isyak, aku memanjangkan 2 rakaat pertama dan memendekkan 2 rakaat terakhir.”

‘Umar pun berkata:

“Begitulah sangkaan baik diriku kepadamu wahai Sa’d.”

فَأَرْسَلَ مَعَهُ رَجُلًا - أَوْ رِجَالًا - إِلَى الْكُوفَةِ فَسَأَلَ عَنْهُ أَهْلَ الْكُوفَةِ، وَلَمْ يَدَعْ مَسْجِدًا إِلَّا سَأَلَ عَنْهُ، وَيُثْنُونَ مَعْرُوفًا 

Lalu ‘Umar ambil keputusan untuk hantar beberapa orang penyiasat ke Kufah. Mereka menanyakan penduduk Kufah berkaitan Sa’d. Tidak ada sebuah masjid pun di Kufah kecuali mereka tanya berkenaan Sa’d dan kesemuanya memuji Sa’d dengan pujian yang baik.

حَتَّى دَخَلَ مَسْجِدًا لِبَنِي عَبْسٍ، فَقَامَ رَجُلٌ مِنْهُمْ يُقَالُ لَهُ : أُسَامَةُ بْنُ قَتَادَةَ يُكْنَى أَبَا سَعْدَةَ

Sehinggalah apabila mereka masuk ke sebuah masjid yang berada dalam perkampungan Bani ‘Abs, tiba-tiba bangun seorang lelaki dalam kalangan mereka yang bernama Usāmah bin Qatādah atau dikenali sebagai Abū Sa’dah.

قَالَ : أَمَّا إِذْ نَشَدْتَنَا، فَإِنَّ سَعْدًا كَانَ لَا يَسِيرُ بِالسَّرِيَّةِ ، وَلَا يَقْسِمُ بِالسَّوِيَّةِ، وَلَا يَعْدِلُ فِي الْقَضِيَّةِ، قَالَ سَعْدٌ : أَمَا وَاللَّهِ لَأَدْعُوَنَّ بِثَلَاثٍ : اللَّهُمَّ إِنْ كَانَ عَبْدُكَ هَذَا كَاذِبًا، قَامَ رِيَاءً وَسُمْعَةً، فَأَطِلْ عُمْرَهُ، وَأَطِلْ فَقْرَهُ، وَعَرِّضْهُ بِالْفِتَنِ

Dia berkata:

“Memandangkan kamu pun tanya kami, maka Sa’d ini tak pernah turun berperang, tidak membahagikan ghanimah dengan samarata dan tidak adil dalam menjatuhkan hukuman.”

Sa’d pun membalas:

“Adapun bagitu, maka demi Allah aku akan berdoa 3 perkara. Ya Allah! Kalau hamba-Mu ini Abu Sa’dah berbohong dan bangun dalam keadaan riya’ dan sum’ah, maka panjangkanlah umurnya, panjangkanlah kemiskinannya dan dedahkanlah dia kepada fitnah.”

وَكَانَ بَعْدُ إِذَا سُئِلَ يَقُولُ : شَيْخٌ كَبِيرٌ مَفْتُونٌ أَصَابَتْنِي دَعْوَةُ سَعْدٍ، قَالَ عَبْدُ الْمَلِكِ : فَأَنَا رَأَيْتُهُ بَعْدُ قَدْ سَقَطَ حَاجِبَاهُ عَلَى عَيْنَيْهِ مِنَ الْكِبَرِ، وَإِنَّهُ لَيَتَعَرَّضُ لِلْجَوَارِي فِي الطُّرُقِ يَغْمِزُهُنَّ.

Setelah daripada doa Sa’d tadi apabila ditanyakan Abu Sa’dah tentang dirinya maka dia pun berkata:

“Aku ini orang tua kerepot lagi terkena fitnah. Aku telah pun ditimpa oleh doa Sa’d”.

Kata Abdul Malik:

“Aku melihatnya - iaitu Abu Sa’dah - selepas beberapa ketika telah jatuh kedua-dua keningnya menutupi mata kerana terlalu tua. Dia berada di tepi-tepi jalan mengusik dan mengacau anak-anak dara yang lalu lalang.”

.

.

Lihatlah bagaimana Allah mengabulkan doa hamba-hamba yang dizalimi apatah lagi difitnah. Orang yang zalim dan memfitnah boleh tidur lena tetapi siapa tahu yang dizalimi dan yang difitnah itu mengangkat tangan berdoa kepada Allah untuk membalas kejahatannya.

Fb amirul bazlan

Comments

Popular posts from this blog

ALLAH DIATAS LANGIT DAN BERTEMPAT DILANGIT?

AKIDAH IMAM Abu Uthman al-Sobuni

MALAIKAT MAUT BERNAMA IZRAIL?