[Hadis Daif Bukan Hadis Palsu? Suatu Perbincangan]
Ada orang berkongsi kepada saya tulisan ringkas ini. Secara dasarnya saya seronok jika ada orang cuma mendalami ilmu hadis. Bagus untuk orang yang bukan bidang hadis cuba menjadi pandai dalam ilmu hadis. Cuma menjadi "pandai" berbeza dengan "memandai-mandai". "Mengambil tahu" juga berbeza dengan "palatao".
Jelas dari kuliah ringkas beliau ada maklumat yang dikongsikan ini tidak tepat walaupun gaya penulisannya begitu confident. Kuliah ringkas beliau memberi maksud tidak ada kaitan langsung antara hadis daif dan palsu. Ini adalah kekeliruan.
Di zaman ini, golongan yang tidak mendalami ilmu hadis akan terjebak dalam salah satu isu ini:
1. Mengatakan semua hadis daif adalah palsu. Ini salah.
Atau
2. Mengatakan tidak ada kaitan langsung antara hadis daif dan palsu. Ini juga kesimpulan yang tidak cermat.
Saya huraikan seperti berikut:
1. Hadis palsu adalah salah satu bahagian dari hadis daif.
Ibn al-Solah berkata:
اعلم أن الحديث الموضوع شر الأحاديث الضعيفة
Maksudnya: Ketahuilah bahawa hadis palsu ialah seburuk-buruk hadis daif.
(Ibn al-Solah, 'Ulum al-Hadith, hal. 99)
Al-Suyuti berkata:
الموضوع هو المختلق المصنوع وشر الضعيف
Maksudnya: Hadis palsu ialah sesuatu yang dicipta dan direka dan ia adalah seburuk-buruk hadis daif.
(Al-Suyuti, Tadrib al-Rawi, jil. 1, hal. 323)
Nukilan di atas menunjukkan hadis palsu adalah sebahagian dari jenis-jenis hadis daif. Maka tidak boleh dibuat kesimpulan mudah kononnya tidak ada kaitan langsung antara hadis daif dan palsu.
Maka penulis kuliah ringkas ini telah keliru dan tersalah faham.
2. Kemudian di bahagian komen, dengan confident penulis status ini menyandarkan pandangan salahnya kepada Imam Nawawi. Persoalannya betulkah Imam Nawawi membezakan terus antara daif dan palsu? Mari kita lihat apa kata Imam Nawawi dalam kitabnya sendiri:
وأما الضعيف فهو ما لم يوجد فيه شروط الصحة ولا شروط الحسن وأنواعه كثيرة منها الموضوع والمقلوب والشاذ والمنكر والمعلل والمضطرب وغير ذلك ولهذه الانواع حدود وأحكام وتفريعات معروفة عند أهل هذه الصنعة
Maksudnya: Adapun hadis daif sesuatu yang tidak ada padanya syarat-syarat sahih dan juga syarat hasan. Bahagian hadis daif ini banyak antaranya MAUDHU' (PALSU), maqlub, syaz, munkar, mu'allal, mudhtarib, dan selainnya. Bagi setiap bahagian-bahagian ini ada had, hukum-hakam dan cabang-cabang yang diketahui di sisi orang bidang ini.
(Al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, jil. 1, hal. 29)
Jelas dari nukilan di atas bahawa Imam Nawawi berpegang kepada pendapat hadis palsu adalah sebahagian dari hadis daif. Amatlah keliru dan pening bagi orang yang membaca teks Imam Nawawi yang menghuraikan syarat beramal dengan hadis daif kemudian buat kesimpulan hadis daif tidak sama dengan hadis palsu atau dengan kata lain tidak ada persamaan antara palsu dan daif. Ini keliru dan pening. Mungkin perlu makan kismis minda banyak sikit.
3. Sebenarnya hadis daif itu luas dan banyak bahagiannya. Hadis palsu adalah salah satu dari bahagian daif. Jadi, kita katakan semua palsu itu adalah daif, tetapi bukan semua hadis daif adalah palsu.
4. Nak bagi mudah faham biar saya bagi contoh lain:
Manusia itu ada banyak jenis bangsanya. Melayu salah satu dari jenis bangsa bagi manusia.
Maka semua Melayu adalah manusia tetapi bukan semua manusia adalah Melayu.
Kalau tiba-tiba ada orang dengan bangganya buat kaedah:
"Hadis daif bukan hadis palsu"
Maka ketahuilah keadaan dia sama seperti orang yang kata:
Manusia bukan melayu.
Boleh faham? Biasa orang yang susah faham akan minta saya lukis. Saya lukis rajah di bawah untuk memberikan kefahaman jelas hubungkait jenis-jenis sebahagian hadis palsu dengan hadis daif. Tapi saya letak sebahagian jenis sahaja sebagai contoh.
4. Kita juga perlu bezakan antara perbincangan pembahagian jenis-jenis hadis dan cara berinteraksi dengan sesuatu hadis.
Dari segi pembahagian, hadis palsu termasuk dalam cabang hadis daif.
Namun dari segi hukum terhadapnya, ia satu perkara yang lain pula. Sewaktu berinteraksi dengan hadis daif, kita perlu mengenal pasti jenis kedaifannya. Jika palsu maka tidak boleh diterima secara mutlak.
Tetapi ada hadis daif yang boleh diamalkan dengan syaratnya iaitu hadis daif ringan dengan syarat-syarat lain. Bahkan saya juga berpegang boleh beramal dengan hadis daif sejak dahulu lagi namun dengan syaratnya. Bahkan ada hadis yang sanadnya daif boleh diangkat menjadi hasan. Adapun berkaitan dengan hadis palsu pula, ia tidak boleh dinisbahkan langsung kepada Rasulullah.
Kesimpulan:
I. Hadis palsu termasuk dalam pembahagian hadis daif menurut al-Nawawi dan lain-lain.
II. Hukum ke atas hadis palsu tidak boleh disamakan dengan hadis daif ringan. Hadis daif ringan masih boleh diamalkan dengan syarat-syaratnya.
Moga bermanfaat.
Dr Rozaimi Ramle



Comments
Post a Comment