MODUS OPERANDI AHLI BIDAAH DALAM MENJAWAB KRITIKAN SALAFĪ MENGENAI PENGAMALAN HADIS ḌA‘ĪF DAN PALSU DALAM AMALAN-AMALAN MEREKA
1. Mula-mula, mereka menggunakan kaedah “Hadis ḍa‘īf boleh digunakan dalam faḍā’il al-a‘māl” dan menukilkan ittifak ulama mengenainya, biasanya daripada kalam Imam al-Nawawī. Contohnya:
وقد اتفق العلماء على جواز العمل بالحديث الضعيف في فضائل الأعمال.
“Telah bersepakat ulama pada keharusan mengamalkan hadis ḍa‘īf dalam faḍā’il al-a‘māl."
2. Kemudian, jika dinyatakan bahawa hadis yang digunakan oleh mereka bukan ḍa‘īf biasa, tetapi terlampau lemah, seperti terdapat dua tiga rawi majhūl atau seorang rawi yang dituduh berdusta, mereka akan mengatakan ulama membolehkan mengamalkan hadis ḍa‘īf selagi tidak palsu. Antara kata-kata ulama yang akan dibawakan ialah kata-kata Imam al-Nawawī:
ويجوز عند أهل الحديث وغيرهم التساهل في الأسانيد ورواية ما سوى الموضوع من الضعيف والعمل به من غير بيان ضعفه في غير صفات الله تعالى والأحكام كالحلال والحرام وغيرهما وذلك كالقصص، وفضائل الأعمال، والمواعظ وغيرها مما لا تعلق له بالعقائد والأحكام، والله أعلم.
“Dan harus di sisi ahli hadis dan selain mereka bermudah-mudahan tentang sanad dan meriwayatkan selain hadis palsu daripada hadis-hadis ḍa‘īf dan mengamalkannya tanpa menjelaskan kelemahannya pada selain bab sifat-sifat Allah taala, hukum-hakam seperti halal haram dan selainnya, dan yang demikian itu seperti hikayat-hikayat, faḍā’il al-a‘māl, tazkirah, dan lain-lain yang tidak bersangkutan dengan akidah dan hukum-hakam. Wallahualam.”
3. Jika dinyatakan dan dibuktikan bahawa hadis tersebut palsu pula, mereka akan mengatakan bahawa ulama tidak bersepakat menghukumnya palsu. Mereka akan menukilkan nama-nama ulama yang mengatakan hadis tersebut ḍa‘īf sahaja, atau malah hasan dan sahih, kononnya mereka bertaqlid kepada ulama tersebut mengenai status hadis atau atas bahawa penilaian palsu itu masih belum muktamad, tanpa menjawab ta'lil yang dikemukakan oleh pihak yang menghukumnya palsu. Contohnya, al-Ḥākim dalam al-Mustadrak dan al-'Iraqi dalam al-Mughni.
4. Jika dinyatakan bahawa ulama bersepakat menghukumnya palsu, mereka akan mengatakan ada ulama yang menyebutkannya dalam kitab-kitab mereka dan mengamalkannya. Sikap amanah, warak, keilmuan, dan ketegasannya dalam bab meriwayatkan hadis-hadis palsu ulama berkenaan diceritakan untuk menggambarkan seolah-olah mustahil beliau tersilap meriwayatkan dan mengamalkan hadis palsu. Contoh ulama yang diperlakukan sedemikian ialah Abu Hamid al-Ghazālī.
5. Jika mereka tidak mampu menepis semua hujah tadi, mereka akan mendakwa bahawa amalan mereka dibina berdasarkan dalil-dalil atau keumuman nas yang lain. Contohnya, amalan membaca Yāsīn pada malam Jumaat dikatakan dibina di atas galakan membaca al-Quran dan berzikir secara umum.
Atau, mereka akan pergi kepada kaedah, "Setiap sesuatu adalah harus kecuali ada dalil yang melarang." Cara lain ialah dengan mengatakan hadis tersebut sahih berdasarkan kasyaf, walaupun kasyaf tidak diterima dalam disiplin ilmu hadis. Contoh, hadis:
من عرف نفسه فقد عرف ربه.
"Sesiapa yang mengenali dirinya, maka dia telah mengenali Tuhannya."
Begitulah gambaran permainan ahli bidaah. Segala yang dilakukan oleh mereka hanyalah untuk membela adat tradisi dan maruah ulama terpilih (atau lebih jujur, pangkat dan pendapatan) sahaja.
https://t.me/alkutawi91

Comments
Post a Comment