SELAWAT 1000 KALI SEHARI
Sahihkah Hadis 'Sesiapa Selawat 1000 kali sehari, maka dia tidak akan mati sehingga dia melihat tempatnya di syurga' ?
.
Hadis ini diriwayatkan oleh Al-Imam Ibnu Syahin di dalam Al-Targhib Fi Fadhail al-'Amal (19), dan Ibnu Sam'un dalam Amalinya (56) dengan sanadnya daripada 'Utsman bin Ahmad, daripada Muhammad bin Ahmad al-Bara', daripada Muhammad bin Abdul Aziz al-Dinawariy, daripada Qurrah bin Habib al-Qanawiy, daripada Al-Hakam bin 'Athiyyah, daripada Tsabit, daripada Anas bin Malik, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
.
«مَنْ صَلَّى عَلَيَّ فِي يَوْمٍ أَلْفَ مَرَّةٍ، لَمْ يَمُتْ حَتَّى يَرَى مَقْعَدَهُ مِنَ الْجَنَّةِ»
Sesiapa yang berselawat ke atas ku sebanyak 1000 kali dalam sehari, dia tidak akan mati sehinggalah dia melihat tempatnya di dalam syurga.
.
Pada riwayat di atas terdapat beberapa kelemahan:
(1) Al-Hakam bin 'Athiyyah: Imam al-Bukhari menyatakan bahawa Abu al-Walid mendhaifkannya. Imam Ahmad menyatakan: La Ba'sa Bih, akan tetapi Abu Daud meriwayatkan daripadanya riwayat-riwayat Munkar. [Adz-Dzahabi, Mizan al-I'tidal, 1:577].
(2) Muhammad bin Abdul Aziz al-Dinawariy: Munkarul Hadis [Adz-Dzahabi, Mizan al-I'tidal, 3:629].
.
Al-Imam Al-Ashbahani dalam Al-Targhib wa Al-Tarhib (910) meriwayatkan daripada Muhammad bin Abdullah al-Kadziy, daripada Al-Hussain bin Muhammad al-Hasyimiy, daripada Abdullah bin Ya'qub al-Qasamiliy, daripada Muhammad bin Ustadz, daripada Ja'far bin Muhammad bin al-Hasan, daripada Muhammad bin Abdullaah bin Sinan, daripada Qurrah bin Habib, daripada Al-Hakam bin 'Athiyyah, daripada Tsabit, daripada Anas r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
.
«من صلى علي في يوم الجمعة ألف مرة لم يمت حتى يرى مقعده من الجنة»
Sesiapa berselawat ke atas ku pada hari Jumaat sebanyak 1000 kali, dia tidak akan mati sampai dia melihat tempatnya di syurga.
.
(1) Pada sanadnya Al-Hakam bin 'Athiyyah yang telah disebutkan di atas.
.
Imam al-Sakhawi dalam Al-Qawl Al-Badi' menyatakan:
.
وبالجملة فهو حديث منكر كما قاله شيخنا.
Secara keseluruhannya, ia adalah hadis munkar, sebagaimana kata shaikh kami (iaitu Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani). [Al-Qawl Al-Badi', 131].
.
Ibnu al-Qayyim menyatakan dalam Jalaul Afham:
.
قال الحافظ أبو عبد الله المقدسي في كتاب الصلاة على النبي لا أعرفه إلا من حديث الحكم بن عطية قال الدار قطني حدث عن ثابت أحاديث لا يتابع عليها
Al-Hafiz Abu Abdillah Al-Maqdisi menyatakan dalam kitabnya 'Al-Solat 'Alan Nabiy': "Aku tidak mengetahuinya melainkan daripada hadis Al-Hakam bin 'Athiyyah. Al-Daraquthni berkata: Dia menyampaikan daripada Tsabit hadis-hadis yang tiada sokongan. [Jalaul Afham, 67].
.
Al-Albani menyatakan bahawa ia dhaif jiddan. [Al-Silsilah Al-Dhaifah, no: 5110].
.
Kesimpulan:
Hadis ini Munkar. Ia tersangat lemah. Tidak boleh disebarkan hatta untuk fadhail al-'Amal.
.
Disclaimer:
Ini bukan menafikan kelebihan selawat yang banyak disebutkan dalam hadis² yang sahih.
.
#MMMR

Comments
Post a Comment